2023 - Terus membawa Hikayat ke persada dunia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 19 Dec 2022 07:55 AM

2023 - TERUS MEMBAWA HIKAYAT KE PERSADA DUNIA

 

 

DARI hari pertama saya membuat keputusan menulis antologi, novel dan segala penulisan meraikan hikayat dan legenda Melayu, aspirasi  saya tertulis di CV sendiri.

 

Visi: Membawa Hikayat Melayu ke Persada Dunia

 

Baru-baru ini, saya ditanya oleh moderator Hafiz Latif di sesi bual bicara di SIBF2022, “Menurut Kak Ninot, apakah yang dianggap legenda dari Kepulauan Melayu?


 

ninot aziz
                    NINOT AZIZ

 


Saya katakan. Sejarahnya. Geopolitiknya. Bahasanya.

 

Apabila kita berbicara tentang Kepulauan Melayu, kita harus ingat kita pada dasarnya membincangkan tentang sebuah kawasan yang sangat berbeza dari seluruh dunia.  Dari tanah besar Asia, Eropah, Amerika.

 

Dunia Alam Melayu.

 

Pulau-pulau yang membentuk Kepulauan Melayu terdiri dari kerajaan-kerajaan kecil.  Kadaram.  Muar.  Melaka.  Majapahit.  Sriwijaya. Pasai. Acheh. Deli. Pagar Ruyung. Beruas. Kerajaan yang menghiasi hamparan luas laut biru kehijauan -  Cinta.  Kebencian.  Pergolakan.  Ini menimbulkan penceritaan lagenda indah.

 

Hari ini, Malaysia berada di tengah-tengah Kepulauan Melayu, terutamanya Semenanjung Tanah Melayu yang menghubungkan Euro-Asia dan kepulauan di Laut Selatan – dan dari sini, kisah-kisah indah telah dikongsi generasi ke generasi sekurang-kurangnya dua ribu tahun sejak Ptolemy melukis  peta beliau, “Geographia“ di mana Aurea Chernosese digambarkan.

 

Di sinilah letak Hikayat, lagenda Melayu di mana pemikiran dan keilmuan lama dicetuskan.  Hikayat Melayu mewakili kesusasteraan yang kaya, warisan dan cara hidup kosmopolitan yang diamalkan berabad-abad yang lalu - merangkumi jiwa, cara hidup dan nilai intrinsik rakyat kita.


 

ninot aziz


 

Legenda ini adalah kekunci untuk memahami dan menggambarkan dunia purba kita.  Mereka mempunyai nilai yang besar untuk memahami diri kita sendiri, dari mana kita berasal dan hala tuju bangsa.

 

Selain itu, Hikayat, lagenda dan cerita rakyat mengandungi kekayaan ilmu pengetahuan Melayu.  Ia memberi kita gambaran sekilas tentang kehidupan zaman dahulukala.  Ia mungkin bukan sejarah seperti yang kita ketahui, namun ia tetap sejarah. Ia adalah bukti bahawa masyarakat purba di negara kita mempunyai idea dan kreativiti yang berkonsep tinggi.

 

Hafiz, dałam temubual tersebut di atas, terus bertanya.

 

Berdasarkan karya-karya yang dihasilkan, mengapa Puan Ninot memilih genre ini? Apa yang mahu diperjuangkan? Bagaimana proses pengkaryaan Puan Ninot? Mengapa menulis karya-karya ini dalam bahasa Inggeris?

 

Setiap tamadun yang hebat mempunyai legenda yang hebat. Kita perlu menjemput dunia untuk mengenali kisah kita, menjadikannya sebahagian dari memori dunia –mempamerkannya di Netflix, di Disney, di semua platform tempatan dan antarabangsa.

 

Hikayat Melayu, adalah cara terbaik untuk melakukan ini, kerana lagenda kita, lagenda dan cerita rakyat adalah benar-benar kenangan keberadaan tamadun lama kita.

 

Sememangnya saya menulis dalam bahasa Inggeris pada mulanya kerana saya ingin mendekati pembaca bukan-Melayu supaya mereka mengenali Hikayat.

 

Dan buku Hikayat – From The Ancient Malay Kingdom sebenarnya menjadi pencetus minat ramai keluarga tidak mengira bangsa untuk mengenali Hikayat dengan lebih dekat.


 

ninot aziz

 


Kini, kita mencari pembaca dunia seperti di Jerman, Itali, Mesir, Turkiye, Korea dan sebagainya!

 

Tambah Hafiz, Ketika di Pesta Buku Frankfurt (Oktober 2022), Siri Hikayat Fandom iaitu Seri Gumum: Puteri Tasik Cini, Legenda Bidasari: Dari Syair Agung Puteri Kembayat, Bentala Naga: Kisah Dari Makyong dan Puteri Saadong: Srikandi Sekebun Bunga Cerang Tegayung dipinang oleh Letterrarie Menti, penerbit dari Itali.

Apa yang menjadi kekuatan kepada siri ini sehingga menarik minat mereka? Mengapa penting untuk ia diketengahkan di peringkat antarabangsa seterusnya diterjemahkan kepada pelbagai bahasa?

 

Bermulanya pengenalan saya pada penterjemahan karya Alam Melayu:

 

 Pulau Pandan jauh ke Tengah

 Gunung Daik bercabang Tiga

 Hancur badan dikandung tanah

 Budi yang baik dikenang juga

 

L'isola di Pandan è molto al largo

 Il monte Daik ha tre cime

Molto tempo dopo

che saremo sepolti nel terreno

 Le buone maniere saranno ricordate

 

L'île de Pandan est loin de la mer

Le mont Daik avec trois sommets

Longtemps après que nous soyons oubliés

Les bonnes manières restent

 

Legenda dan Cerita Rakyat memeterai ketamadunan sesebuah bangsa sama seperti kitab dan manuskrip lama, ilmu dan kearifan nenek moyang kita serta bangunan bersejarah tersergam indah.


 

ninot aziz

 


Kosa bahasa yang tersemat dalam bahasa membayangkan naluri dan nurani, menceritakan hal-hal terdahulu yang patut menjadi ingatan.

 

Namun, jika kita lihat pengkisahan tamadun lama dunia, kita tidak melihat kisah Dunia Alam Melayu. Kita lihat Yunani. Roma. Mesir. China. India. Maya. Kenapa tidak Dunia Melayu yang bertapak di sub-benua diperakui begitu indah – Kepulauan Melayu diangkat semula dalam memori dunia?

 

Menjadi tanggungjawab bersama meraikan sejarah dan tamadun ini untuk semua.
 

 

ninot aziz

 


Saya Ninot binti Abdul Aziz bin Salehuddin bin  Awang Pekan, bin Tok Nit bin Tok Tunggal bin Tok Sabur bin Tok Aji bin Tok Ghaffur berketurunan tukang cerita dan pahlawan zaman dahulu - merupakan anak Melayu jati Kepulauan Melayu berasal dari kerajaan lama Pahang, Patani dan Sumatera. 

 

Saya percaya memori yang terpendam  seolah-olah semua kisah ini baru berlaku semalam di Tanah Melayu…

 

Saya menulis dan terus menulis kerana cerita-cerita itu memberontak ingin diceritakan untuk mengenali kekuatan unik bangsa.

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA