Bandar meraikan seni kebudayaan Malaysia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 26 Dec 2022 07:00 AM

BANDAR MERAIKAN SENI KEBUDAYAAN MALAYSIA

 

 

Adakah seni budaya mesti menjadi teras pembangunan mampan?

 

Budaya adalah jatidiri.  Segala yang kita lakukan demi cita-cita yang ingin digapai.  Seni, sastera dan warisan budaya mencetus kreativiti, yang membolehkan kita memenuhi aspirasi pembangunan. 

 

Pasukan Petugas Global Tempatan dan Wilayah (difasilitasi oleh UCLG) atau Global Taskforce of Local and Regional Governments mengakui keperluan memastikan seni budaya dalam paradigma bandar mampan dan berpendapat bahawa, budaya akan menjadi kunci dalam kejayaan dasar pembangunan mampan, sebagai pemacu dan pemboleh pembangunan dan komuniti urban.


 

Global Taskforce of Local and Regional Governments

 


Pendekatan pembangunan yang holistik dan bersepadu perlu mengambil kira kreativiti, warisan, kearifan lokal dan kepelbagaian.  Kemiskinan bukan hanya soal keadaan material dan pendapatan, tetapi kekurangan keupayaan dan peluang, termasuk dari segi budaya.

 

Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa  - Tanpa budaya, hancurlah masa depan. 

 

Mungkin dengan ini, kita faham mengapa bandar boleh ‘merosot’ dan 'mati' tanpa kekuatan budaya. Gaya hidup bermakna, identiti dan inovasi, adalah penting, bagai menghirup udara segar dalam proses urbanisasi dan udara segar ini  dipengaruhi seni budaya.

 

Memandangkan tahun 2022 akan berakhir, saya ingin mengimbas kembali beberapa detik yang mencerminkan mengapa budaya sangat penting untuk memberi suntikan semula bandar-bandar. 

 

INSKRIPSI YUNANI DI BANDAR FRANKFURT

ΠΛΕΩΝ ΕΠΙ ΟΙΝΟΠΑ ΠΟΝΤΟΝ ΕΠ ΑΛΛΟΘΡΟΟΥΣ ΑΝΘΡΩΠΟΥΣ

…belayar di atas laut yang gelap gelitalah orang-orang yang pelbagai bangsa dan bahasa…

 

Di Sungai Main, di jambatan Eiserner Steg sebuah inskripsi terletak pada gerbang jambatan.  Tiada siapa yang benar-benar tahu maksudnya lalu saya bertanya kepada wanita di kaunter tiket menaiki bot apa maksudnya.  Dia berkata, "Saya tidak pasti tetapi ia adalah bahasa Yunani lama tentang bagaimana perairan dunia menyatukan semua bangsa".


 

ninot aziz

 


Begitu indah mutiara kata yang telah dilupakan. Petikan itu sebenarnya dari Odyssey karya falsafah Homer - kata-kata dizahirkqn pemikir Greek, kata-kata ini dipilih sebagai memperingati Museumsuferfest pada tahun 2001, ketika Greece menjadi negara tetamu Frankfurter Buchmesse 2022.

 

Prasasti di jambatan dipercayai telah dipilih untuk jambatan itu sebagai penghormatan kepada penduduk Frankfurt yang pelbagai pelbagai bangsa. Ia menandakan bagaimana orang ramai merentasi badan air yang besar untuk berkumpul di bandar yang dibina.

 

Pemikiran demi mencetus kemanusiaan adalah penghargaan terhadap kesusasteraan lama yang meraikan kepelbagaian.

 

PERBUALAN SASTERA DI PULAU PINANG

Tahun ini saya dijemput sebagai ahli panel dan juga moderator di Festival Sastera Georgetown - detik yang membanggakan bagi saya kerana selalu membayangkan apabila dijemput GTLF, maka barulah bolehlah dianggap sebagai penulis Malaysia yang serius!

 

Di sini saya bertemu dengan pelbagai penulis dan personaliti yang mengujakan - Dr Kathrina Abu Bakar dari Brunei, aktivis Nandar dari Myanmar, penulis Semua Ikan di Langit Ziggy Zezsyazeoviennazabrizkie dari Indonesia, Saqina Latiff yang menakjubkan dan ramai lagi termasuk Pauline Fan  dan Eddin Khoo, duo yang menjayakan GTLF 2022 bersama pasukan GTLF yang serba boleh. 


 

ninot aziz

 


Perbincangan rancak dari topik perlindungan haiwan kepada kemanusiaan, daripada bahaya kehilangan legenda dan folklor dunia begitu ikhlas, mendalam dan NYATA.

 

Rama-rama ISTANBUL

Istanbul adalah kota ajaib di mana ´serendipity’ dibenarkan menari di setiap pertemuan, setiap saat, setiap momen membuahkan inspirasi. 

 

Saya disambut bagai mimpi oleh rama-rama ketika saya tiba di Istanbul.  Rama-rama di bandar.  Di muzium Al Fateh Panorama. Dan di muzium yang merealisasi buku penulis tersohor Orhan Pamuk, Museum of Innocence. 

 

Kenangan di Istanbul bagai satu kembara indah tiada penghujung, masih ternyiang-nyiang dalam fikiran mengajak saya kembali ke pangkuannya. Menyusuri Bosphorus bersejarah. Spice Bazaar dan Grand Bazaar di mana saya memilih cenderahati yang membawa Istanbul pulang ke rumah. 


 

ninot aziz

 


BORNEO CULTURES MUSEUM DI KUCHING

Muzium tersergam indah ini melambangkan betapa pentingnya kepelbagaian Seni Budaya memacu industri pelancongan di Sarawak. 

 

Seseorang pelawat memerlukan sehari suntuk untuk melawat muzium lima tingkat di mana setiap tingkat adalah satu pengkhususan: 

Galeri Kanak-kanak dan Kraf
Keharmonian Alam dan Manusia
Peredaran Masa
Objek Idaman

 

Muzium ini meletakan Sarawak sebagai Destinasi Bandar Budaya (Culture Capital) di jaringan serantau. Dengan aplikasi digital, Muzium ini salah satu tarikan di samping pelbagai usaha Kerajaan Negeri yang ‘agresif’ menerajui industri pelancongan Sarawak sekaligus mengangkat industri pelancongan Negara. 


 

ninot aziz

 


Budaya hospitaliti pengalaman di bandar bandar ini menjadi pendorong untuk terus kembali lagi di masa hadapan.

 

Namun banyak boleh dipelajari dari bandar seperti Istanbul contohnya di mana industri pelancongan itu nadi dan penggerak bandar, menjadi darah daging jati diri warga kota serta penggiat budaya dan sasterawan mencari rezeki di kota terletak antara dua benua itu. 

 

Memperkasa sektor pelancongan berteras seni budaya.


 

ninot aziz

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA