Ke manakah hilangnya adab dan perikemanusiaan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 09 Jan 2023 07:57 AM

KE MANAKAH HILANGNYA ADAB DAN PERIKEMANUSIAAN?

 

Tanah runtuh Batang Kali: Penjawat awam ditahan curi barangan milik mangsa…

 

Bom bungkusan yang membunuh pelayan di Pandan Indah diletupkan secara maya, kata polis…

 

Kanak-kanak OKU dibunuh, disumbat ke dalam guni sebelum dibuang ke dalam semak

 

 

 

MINGGU pertama 2023 niat hati ingin menulis tentang tempat menarik di Malaysia terutamanya di negeri Pahang. Kini berada di Fraser’s Hill dan segala keindahan alam semulajadi memang begitu menenangkan. 

 

Namun tersentap melihat tajuk utama media yang begitu menyayat hati dan perasaan hingga terpaksa kembali ke alam nyata. 

 

apabila mata hati
tertutup  pada segala 
tidak mengenal dosa
tiada sesalan atau 
keikhlasan luhur

 

tiada kemudian hari
mengejar manisnya pahala 
apatah lagi,  budi bicara
tiada pegangan ugama
ketandusan moral…

apa yang diharapkan lagi…

 

Apakah yang menjadi penyebab utama keruntuhan moral, gejala sosial dan  kehancuran akhlak berleluasa? Kemana hilangnya akal budi masyarakat?

 

Sudah tentu, kejadian sedemikian begitu pahit untuk ditelan dan dihadapi oleh masyarakat. 

 

Sistem pemerintahan dan sosio-ekonomi amat menjengkelkan - di mana puncanya?

 

PENDIDIKAN

Bermulalah dengan pendidikan. 


 

sekolah

 


Sistem pendidikan negara bagai bahtera yang terumbang ambing sekian lama, asyik bertukar haluan. Pemerkasaan semula pendidikan nasional ini mungkin mengambil masa yang lama tetapi mesti dilakukan demi masa depan generasi muda kita. Bakal pemimpin kita. Penyinar masa hadapan. Harapan negara. 

 

Pendidikan bermula dari tadika dan sekolah rendah. Kemudian terutamanya di iinstitusi pengajian tinggi, dan peranan institusi sebegini dalam membangun dan membentuk generasi akan datang. 

 

Adakah anak muda kita kenal ‘Sustainable Development Goals’ yang menjadi visi sedunia masa ini? Bagaimanakah ke-17 SDG ini memberi impak pada kehidupan kita? 

 

Seorang pemimpin Malaysia, seorang wanita  Melayu yang dihasilkan sistem pendidikan kita sebenarnya menerajui UN Habitat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) Iaitu Dato’ Seri Paduka Maimunah Mohd Sharif selaku Pengarah Eksekutif sejak 2018. 

 

Dato’ Seri Paduka Maimunah mendapat sokongan penuh daripada negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan bertanggungjawab di atas pencapaian SDG sedunia. 

 

Sepatutnya, anak-anak Malaysia turut cemerlang dalam menerajui visi SDG. Namun adakah sistem pendidikan kita menggapai aspirasi ini? 


 

Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak
               Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak

 


Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak dari IIUM membuka mata saya kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berbunyi begini:

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) menjadi petunjuk pendidikan di Malaysia bagi melahirkan individu berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

 

Kita tidak mahu FPK ini terperangkap antara realiti dan aspirasi. ‘KPI’ utama FPK ialah aspirasi ‘Sejahtera’ – malangnya konsensus umum ialah konsep Sejahtera masih sukar untuk dihuraikan atau difahami. 

 

Aspirasi ini dapat membentuk ‘individu berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri…’

 

Inilah insan yang akan mementingkan komuniti dan tidak akan melakukan segala kedajalan. Menjadi pemimpin berwibawa membentuk dunia. Kita sebagai ibu. Cikgu. Ketua Kampung. Pemimpin negara. Mengimpikan Insan Sejahtera dalam masyarakat. 

 

JIWA ROHANI

Allahyarham Tan Sri P Ramlee pernah mendendangkan peribahasa ini:

Buang yang keruh. Ambil yang jernih. 

 

Apakah yang dimaksudkan dengan ‘jernih’? Jernih bermaksud ketenangan. Keseimbangan. Kesejahteraan.  

 

Sekali lagi, kita  mencari kesejahteraan jiwa rohani, ketenangan hati dan nurani. Dalam perjalanan hidup ini, kita akan cuba mencapai tahap optimum fizikal dan akal budi supaya dapat menjalankan peranan dan tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.


 

ninot aziz

 


Adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk  mencapai kesejahteraan demi membangunkan negara, membentuk individu yang sempurna dari segi fizikal, akal budi dan kemasyarakatan. 

 

Individu yang  memenuhi potensi sendiri,  dapat menghadapi cabaran kehidupan, boleh bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat.

 

Untuk ini, adalah penting seseorang itu dapat menikmati keindahan - dari segi silaturahim, alam semulajadi, budaya dan warisan bangsa. 

 

AKIDAH DAN PEGANGAN

Apabila kita melihat perbuatan durjana, sudah tentu ada elemen kehilangan akidah dan pegangan - mana-mana ugama sekalipun menolak kekejaman dan sifat keji. 

 

Contohnya, kebanyakan ugama termasuk Islam menegah amalan yang boleh memudaratkan seperti arak, dadah dan sebarang elemen yang memudaratkan. Islam menegah daripada melakukan sebarang perbuatan dosa dan maksiat di mana kesannya mengotori hati serta kesihatan rohani.

 

Hatilah punca segala kerohanian kita. 

 

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)." Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)


 

heart

 


Bahkan dalam sesetengah situasi, tekanan dan cabaran di luar kawalan menyebabkan pelbagai tindakan luar tabii - ini jelas dibincangkan sepanjang cabaran pandemik COVID-19 di mana kita lihat kemurungan meningkat di mana ada individu sanggup mengambil keputusan membunuh diri atau ahli keluarga sendiri.

 

Pada tahun lepas bahaya kesihatan  mental diberi perhatian oleh pelbagai pihak termasuk media kerana peningkatan yang semakin membimbangkan di Malaysia.

 

Aspek keagamaan perlu diterapkan dalam pengisian jiwa dan ruhani kerana ia begitu penting dalam kehidupan seharian. 

 

Sebagai masyarakat, kita perlu bersedia mengukur tanda aras masyarakat kita yang semakin terhakis. Kurang adab. Kurang akal. Kurang ajar. 


 

ninot aziz

 


Kita perlu mengakui kekurangan ini supaya kita boleh sama tangani keadaan ini bersama-sama. Amanat inilah yang mesti didukung oleh pemimpin. Ahli sastera. Para saintis. Para ilmuwan.  Ahli ulama. Para seniman. Para ekonomi. Ahli perniagaan. Para pelajar. Masyarakat dan kaum keluarga yang membentuk setiap komuniti. 

 

Kesejahteraan bersama yang dicari. 

 

Kembalikan adab dan perikemanusiaan.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA