Kehidupan “Sandwic”:  Apa Penyelesaiannya? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Volatiliti - 6 March 2023

Kehidupan “Sandwic”:  Apa Penyelesaiannya?

 

 

 

MEMILIKI kediaman sendiri merupakan impian bagi semua manusia atau rakyat Malaysia. Rumah atau tempat tinggal juga merupakan keperluan asas manusia yang digunakan untuk pelbagai tujuan sama ada sebagai tempat tinggal ataupun untuk kepentingan ekonomi.

 

Berdasarkan Teori Hierarki Keperluan Maslow (1943), tempat tinggal tergolong sebagai satu keperluan fisiologi yang mesti dilunaskan terlebih dahulu berbanding keperluan lain seperti keperluan keselamatan, keperluan untuk berkasih sayang, keperluan untuk penghargaan dan lain-lain.

 

Punca kenaikan harga rumah

Pada tahun 2023 ini, kebanyakan harga rumah dijangka akan mencatatkan kenaikan. Banyak faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga rumah ini. Antaranya:

  • Sebelum ini disebabkan COVID-19, jumlah pelancaran unit baru menjadi kurang di pasaran hartanah. Banyak pemaju dan kontraktor yang ‘tersungkur’ di tengah jalan tidak dapat meneruskan projek sedia. Banyak rumah terbengkalai. Akhirnya pilihan yang sedia menjadi kurang untuk kalangan pembeli hartanah di Malaysia.
     
  • Perang Ukraine-Rusia juga telah menyebabkan rantaian sumber bahan, pengeluaran bahan binaan menjadi terbatas menyebabkan lonjakan harga bahan binaan seperti kenaikan harga logam, kenaikan harga simen naik dan  kenaikan harga pasir dan akhirnya membawa kos pembinaan menjadi meningkat.
     
  • Perang tarif antara dua kuasa besar dunia antara negara seperti Amerika Syarikat dan China masih lagi tidak berkesudahan dan turut memberikan impak dan kesan teruk kepada rantaian bekalan dunia termasuk barang-barang pembinaan.

 

Dek kerana kesan daripada bahan binaan yang semakin tinggi, margin keuntungan pemaju semakin berkurang yang mana akhirnya beban tersebut akan dipulangkan dan dialihkan kepada kalangan pembeli mereka dengan meletakkan harga rumah yang tinggi.


 

tnb

 


Mampukah memiliki kediaman di masa kini?

Atas kenaikan harga rumah ini, pastinya memiliki rumah sendiri yang merupakan suatu hasrat dan matlamat terutama oleh setiap rakyat Malaysia terutamanya anak muda semakin sukar.

 

Dengan situasi semasa, pastinya golongan muda kini tidak mampu untuk memiliki kediaman sendiri. Jika ibu bapa mereka dahulu masih mampu untuk memiliki rumah kerana harga rumah 10 atau 15 tahun dahulu masih lagi agak murah dan mampu milik.

 

Kehidupan “sandwich” sampai bila?

Kini, banyak golongan muda yang sudah berkeluarga masih duduk bersama ibu bapa. Dalam satu rumah, tinggal beberapa keluarga pula kerana untuk memiliki kediaman sendiri masih belum mampu.

 

Ini lah realiti kehidupan masa kini. Kehidupan “sandwic” yang sudah menjadi kebiasaanya bagai banyak keluarga. Sandwic pun sandwic lah, janji ada tempat bertedup.

 

Kita tidak mahu melihat kehidupan “sandwic’ akan menjadi perkara biasa di Malaysia. Kerajaan perlu melakukan sesuatu bagi memastikan rakyat Malaysia mampu memiliki rumah sendiri bagi kehidupan yang lebih baik.


 

tnb

 


Terperangkap antara kesian dan kewajipan

Ibu bapa yang “mengizinkan” anak-anak mereka tinggal bersama terperangkap antara kewajipan membantu  anak-anak mereka dan kesian dengan anak-anak yang masih “bergelut” untuk membina kehidupan.  Ibu bapa merasakan anak-anak masih memerlukan sokongan emosi, fizikal, dan kewangan.

 

Akhirnya secara tidak sedar ibu bapa membenarkan kehidupan sandwic untuk anak-anak dan diri mereka sendiri. Namun, mereka tiada pilihan!

 

Kesan negatif terhadap kesihatan mental

Kehidupan sandwic ini sebenarnya boleh membawa kepada kesihatan mental tanpa sedar. Generasi sandwic pasti akan mengalami tekanan emosi yang lebih besar akibatnya.

 

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh Universiti South Carolina mengenai cabaran dan strategi mengatasi generasi sandwic, mereka berisiko mengalami keadaan kesihatan mental yang berpotensi disebabkan oleh peningkatan tekanan bahkan konflik antara generasi yang semakin meningkat.

 

Ini satu kesan negatif yang akan berlaku kepada kesihatan mental. Kesihatan mental ini merupakan satu isu kesihatan yang perlu diberi perhatian kerana ia boleh mengganggu gugat kehidupan dan sosial masyarakat.

 

Perbandingan harga rumah dan tangga gaji

Banyak juga “suara” yang menyatakan bahawa generasi muda kini yang tidak kental dan masih bergantung kepada ibu bapa dan membentuk kehidupan sandwic ini.

 

Namun kita perlu realistik dan melihat kemampuan mereka untuk memiliki rumah sendiri. Jika kita buat perbandingan antara harga rumah dan gaji dengan mengambil kira golongan muda sebagai pembeli rumah pertama.

 

Apakah golongan muda yang berpendapatan RM3,000 sebulan mampu membeli rumah berharga RM400,000 yang mana bayaran ansuran bulanan kira-kira RM1,800 sebulan bagi tempoh pembayaran 30 tahun?

 

Itu belum lagi jika diambil kira aspek jumlah deposit 10%, bayaran kos guaman untuk perjanjian sewa beli serta dokumentasi pinjaman, kos luar jangka dan sebagainya.

 

Jika rumah teres di Lembah Klang atau bandar-bandar utama, harga rumah pastikan boleh mencecah sehingga RM 700,000. Mampu ke golongan muda yang baru mahu memulakan kerjaya dan kehidupan ingin membelinya?


 

tnb

 


Harga rumah akan terus naik untuk 10 tahun akan datang

Harga rumah juga dijangka akan terus naik untuk 10 tahun akan datang.  Kenaikan harga rumah ini dianggarkan antara 10% -45% untuk tempoh akan datang. Binaan rumah juga akan semakin kecil berikutan kos yang semakin meningkat.

 

Sebagai contohnya saiz rumah teres setingkat akan banyak ditawarkan 18 x 65 atau 18 x 60 berbanding keluasan 20×70 atau 22×70 seperti yang ditawarkan sekarang kerana pemaju terpaksa mengecilkan saiz rumah memandangkan kos yang akan semakin naik.

 

Adakah kerajaan perlu menanggung subsidi juga?

Apakah tindakan kerajaan bagi menyelesaikan isu ini? Adakah kerajaan perlu memberi subsidi juga?

 

Untuk meletakkan bebanan  kepada kerajaan untuk menanggung subsidi kepada bahan-bahan binaan adalah sesuatu yang tidak adil. Semua masalah, akhirnya kita letakkan bebanan kepada kerajaan.

 

Banyak lagi subsidi yang perlu ditanggung oleh kerajaan demi kelangsungan hidup rakyat. Namun begitu kerajaan boleh “mengawal” harga bahan-bahan binaan daripada terus naik dan naik.

 

Memang ia bergantung kepada penawaran dan permintaan tetapi sekurang-kurang ada “control mechanisme” daripada pihak kerajaan.

 

Jika kerajaan “memandang remeh” perkara ini, harga rumah pasti akan terus naik dan naik tanpa mampu dibeli orang rakyat.


 

tnb

 


Dasar Perumahan Negara perlu dikaji semula

Untuk langkah jangka masa panjang, Dasar Perumahan Negara (DPN) perlu dikaji semula oleh kerajaan berdasarkan rangkuman intisari Madani supaya ia dapat diterjemahkan kepada nilai kesejahteraan dan keseimbangan untuk semua kumpulan rakyat Malaysia

 

Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu meneliti DPN melalui dasar perumahan baharu itu dan perancangan yang lebih teratur.

 

KPKT perlu menyediakan sekurang-kurangnya 500,000 rumah mampu milik menjelang 2025 dengan kerjasama semua agensi perumahan di peringkat persekutuan, negeri dan pemaju swasta bagi membantu rakyat Malaysia memiliki kediaman sendiri bagi mengelak kehidupan sandwic terus “berleluasa”.

 

Malaysia boleh contohi Singapura

Selain itu, Malaysia juga  boleh mencontohi Singapura dalam menyelesaikan isu perumahan untuk rakyatnya. Apa yang Singapura buat dengan menyediakan perumahan awam mampu milik kepada rakyatnya yang layak tanpa mengira bangsa.

 

Model kejayaan Singapura dalam menangani isu perumahan ini boleh dilihat oleh Malaysia menerusi  DPN kelak dengan mengambil kira pelbagai keperluan rakyat yang perlu di realisasikan atas nama Pembangunan Malaysia Madani.   - DagangNews.com

 

Syamsyul Samsudin adalah Pensyarah Kanan (Kewangan dan Pelaburan) Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM
Portfolio Tags