Kembara Lipur Lara ke Frankfurter Buchmesse 2022 | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 10 Oct 2022 09:17 AM

KEMBARA LIPUR LARA KE FRANKFURTER BUCHMESSE 2022

Buat Pertama Kali ke Pesta Buku Terulung Dunia

 

 

 

SEWAKTU dunia terus menghadapi cabaran globalisasi, ekonomi dan pendigitalan, tradisi budaya memainkan peranan penting dalam mengekalkan keunikan dan kewujudan bersama.

 

Hikayat, legenda dan cerita rakyat adalah antara kesusasteraan paling penting dan genting untuk dipelihara.

 

Hikayat, bagi saya, merupakan kunci utama untuk memahami dan membayangkan semula dunia zaman silam kita.

 

Justeru, ia mempunyai potensi besar untuk memperkasa identiti nasional kita dan memartabatkan pembangunan budaya kebangsaan kita.

 

Pada tahun ini, Alhamdulillah, dua buku saya, iaitu Bentala Naga dan Lipur Lara Alam Melayu, terpilih dalam senarai 50 Buku Terbaik Malaysia untuk Hak Antarabangsa 2021/2022 oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), pihak yang bertanggungjawab di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan Malaysia.


 

hikayat

 


Saya sangat bersyukur dipilih oleh Majlis Buku Kebangsaan Malaysia untuk bersembang Hikayat di Pavilion Malaysia mengenai buku dan cerita-cerita  Malaysia di bawah usaha MBKM iaitu MALAYSIA RECONNECTS | STORIES WAITING TO UNFOLD.

 

Namun, begitu banyak yang saya perlu dan telah pelajari untuk ke Frankfurt ni. Perjalanan ini mengambil proses agak lama, lebih kurang setahun sebelum ini.

 

Ia bermula dengan satu temubual di Hof secara maya tahun lepas atas jemputan Majlis Buku Kebangsaan Malaysia. The Hof boleh dikatakan portal digital paling popular pesta buku terbesar di dunia, Pesta Buku Frankfurt.

 

Hos Felix Zeltner dari New York, berkenalan dengan kisah Hikayat Dunia Melayu di mana sempat saya memberitahu beliau, untuk memahami Dunia Alam Melayu, sebaik-baiknya kenali dan cintailah Hikayat Melayu.

 

hikayat

 

 

Pada bulan Disember 2021, saya menyiapkan Buku Bentala Naga Kisah Dari Makyung dan juga Lipur Lara Alam Melayu semasa bercuti hujung tahun di Langkawi anjuran  bzBee Consult.

 

Buku Bentala Naga diterbitkan oleh Hikayat Fandom dan Lipur Lara Alam Melayu pula oleh Patriots Publishing pada tahun ini.

 

Langkah kedua adalah untuk mencalonkan kedua-dua buku ini ke MBKM ke senarai 50 Best Malaysian Books for International Rights. Bersyukur saya apabila kedua-duanya diterima sebagai antara 50 buku terbaik tahun ini!


 

irsyad

 

 

Setelah itu saya mula merancang promosi yang diperlukan. Promosi Lipur Lara Alam Melayu di bawah kelolaan Patriots Publishing lalu saya menumpukan perhatian mempromosi Siri Hikayat Fandom yang sulung iaitu Bentala Naga, Puteri Saadong, Lagenda Bidasari dan Seri Gumum.

 

Khidmat penyunting dan pakar buku Raman Krishnan tersohor banyak membantu saya dalam hal ini.

 

Beliau melaburkan dana dan tenaga untuk menerbitkan Siri Hikayat Fandom. MBKM pula mengadakan sesi perangkaian (networking) secara dalam talian dan Rights Clinic untuk memberi tunjuk ajar dalam bidang ini.

 

Sepanjang tahun ini, saya berpeluang bekerjasama dengan pelbagai pengamal budaya dan kreatif tersohor dalam bidang animasi, perfileman, seni dan budaya serta industri kreatif.  

 

Ini mendapat sokongan dari pelbagai agensi dan ramai di antara mereka hadir di majlis Hikayat Fandom Arts, Books & Cultural Showcase untuk melancarkan Siri Hikayat Fandom– bermula dengan Arts for All Seasons (ArtsFAS) Yayasan Hasanah; Majlis Buku Kebangsaan Malaysia; Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Perpustakaan Negara Malaysia serta majikan saya sendiri, bzBee Consult Sdn Bhd.


 

hikayat

 


Saya bersyukur tidak terhingga dan mengucapkan ribuan terima kasih mendapat sokongan moral dan galakan dari agensi seperti Malaysian Technology Development Corporation (MTDC), Malaysian Digital Economy Corporation (MDEC), MyCReative Ventures, JKKN dan Kementerian Pendidikan.

 

Bukan mudah untuk pengamal kreatif menumpukan sepenuhnya kepada seni. Sokongan dari pelbagai pihak seperti ini merupakan inspirasi yang membolehkan saya terus berkarya.

 

Menurut Prof Said Bani, Pengasas bzBee Consult dan Presiden PRCA Malaysia, beliau percaya bahawa cerita tradisi dan kandungan digital memberi nafas baharu kepada cerita rakyat tradisional Malaysia dalam landskap teknologi baharu masyarakat.

 

Penceritaan boleh memainkan peranan penting dalam menggambarkan budaya dan identiti dengan cara yang akan menarik minat generasi muda.

 

Keyakinan inilah saya rasa sebab utama beliau begitu menyokong usaha saya dalam hal ini.


 

FRANKFURTER BUCHMESSE 2022

 


Persiapan ke Frankfurt

Kini saya sedang membuat persiapan terakhir untuk ke Frankfurt. Masa itu emas. Saya terpaksa belajar ‘pitching’ dalam masa seminit supaya dapat menarik perhatian ejen buku yang bersesuaian di Frankfurt.

 

Bagaimana ingin menyediakan ‘sell sheets’ untuk memberikan gambaran tentang buku-buku saya. Dan juga mendaftar sebagai pempamer untuk dapat memanfaatkan rangkaian di FBM 2022.

 

Sebagai penulis, ini bukanlah sesuatu yang mudah bagi saya. Saya lebih suka untuk berjalan-jalan memikirkan buku baru yang bakal ditulis untuk tahun hadapan pula.

 

Namun, demi membawa Hikayat lebih jauh ke persada dunia, saya terpaksa lakukan ini. Sekurang-kurangnya saya dapat menambah pengalaman untuk pesta buku tahun hadapan pula di Beijing, Bologna dan Jakarta.


 

FRANKFURTER BUCHMESSE 2022

 


Mereka yang jauh lebih berpengalaman seperti Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh, pengarang Nisah Haron, pengkarya seni, Emila Yusof dan Raman Krishnan terus memberikan semangat.

 

Berbekalkan keyakinan bahawa Hikayat  merupakan khazanah tidak ternilai yang boleh menyedarkan generasi muda tentang keindahan kebudayaan yang kita miliki, sejarah, pemikiran kreatif dan juga keilmuan sains yang diwarisi dari nenek moyang kita, impian dan harapan saya bahawa kita dapat memupuk generasi serba berkebolehan yang menghargai dan mencintai  seni dan budaya serta kreativiti lama.

 

Oleh itu, penyertaan di pesta buku terbesar dunia tahun ini sesuatu yang terancang demi menunjukkan keindahan, kemakmuran, kreativiti, dan keunikan negara kita.

 

Bajet 2023 baru diumumkan dan kita perlu yakin bahawa industri kreatif yang didorong oleh kepelbagaian seni dan budaya di negara kita adalah pemangkin ekonomi yang sebenar.

hikayat

 

Melalui Rancangan Malaysia Ke-12, kerajaan menyasarkan industri kreatif bakal menyumbang RM31.9 bilion kepada KDNK 2025. Inilah usaha kecil saya untuk memperkayakan industri kreatif.

 

Jika berada di Frankfurt musim Pesta Buku terbesar dunia ini, mari sertai saya di FBM, dan jemput kita bersembang Hikayat!

 

Pavilion Malaysia, FBM

Khamis, 20 Oktober 2022

11.00 pagi

Halle 6.0, C13

Jumpa di sana!   – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA