Menyantuni amanat Sasterawan Negara Prof Muhammad Hj Salleh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 03 Apr 2023 07:00 AM

MENYANTUNI AMANAT SASTERAWAN NEGARA PROF MUHAMMAD HJ SALLEH

Di umur setahun jagung, darah setampuk pinang

 

 

“Alam in mencerminkan atau menjadi lambang untuk manusia. Alam terkembang jadi guru, kata peribahasa Minangkabau. Kalau nak tau tentang manusia, masuklah ke dalam belantara. Dalam hutan dan citra dan ada teladan. Alam mengajar kita. Dan inilah ajaran agung daripada bumi, pohon, sungai dan gunung-ganang yang menjadi jiran kita, malah yang membantu kita hidupi dunia yang beragam, sulit, tetapi juga indah dan beralun dengan peristiwanya.”

Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh

 

 

LEBIH setahun yang lepas, bermulalah perjalanan menjinakkan diri dengan dunia Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PERSALIMA).

 

Prof Muhammad Hj Salleh  menyatakan hasrat ingin lebih ramai lagi menyumbang tenaga dan idea, demi melestarikan sastera lisan. Beliau inginkan PERSALIMA ini bergerak memperkenalkan Malaysia ini setanding dengan persatuan sastera lisan Indonesia, Vietnam dan seantaro dunia.


 

persa5

 


Mula berkenalan dengan ‘gergasi’ dunia sastera tanah air di Persidangan Antarabangsa Folklor Asia Jogjakarta, Indonesia pada tahun 2012,  Prof Muhammad amat terkenal garang dan tajam pemerhatiannya, apatah lagi tajam kata-katanya.

 

Pada pertemuan pertama, setelah membaca buku saya sedikit sebanyak, nasihat beliau - perbanyakan membaca buku-buku yang tidak biasa dibaca. Dekatkan diri dengan penulis bertaraf dunia.

 

Sungguh halus tegurannya.

 

Saya pun mulalah membaca buku-buku Perancis, Korea dan juga Jepun. Amerika Selatan dan juga India. Rusia dan puisi dari China. Saya gigih mempelajari semula bahasa seperti Perancis dan Itali, dan juga belajar bahasa Mandarin.

 

Dari tahun ke tahun, Prof Muhammad mula memberikan nasihat dan maklum balas kepada penulisan saya. Nasihatnya masih menyeluruh, tetapi kurang tajam tidak seperti ketika baru berkenalan.

 

Yang pasti, kami sehaluan apabila bercerita tentang sastera Melayu. Cerita epik dan cerita rakyat yang diwarisi dari zaman ke zaman memelihara khazanah adat resam, ilmu, nilai murni, hal-hal penjagaan tanah dan harta, perdagangan dan ekonomi zaman purba.

 

Mungkin, jika penceritaan folklor tiada lagi, sesuatu tamadun itu akan lenyap sama sekali. Malah, hingga hari ini, Prof Muhammad mengajar saya ada konflik yang terpaksa dileraikan mengambil kira warisan budaya dan adat resam lama. Itulah kepentingan sastera lisan. Saling memahami naluri dan adat.

 

Apa pula aspirasi yang diperturunkan Sasterawan Negara?


 

ninot aziz
Ninot Aziz (dua dari kiri) dan Prof Muhammad Hj Salleh bergambar kenangan bersama dua penulis.

 


MERAKYATKAN SEMULA SASTERA LAMA

Dalam kisah-kisah cerita rakyat ini, tersimpan rahsia dan kebijaksanaan nenek moyang. Walaupun sekadar pulut panggang yang dibungkus dan disalai di dalam daun pisang disemat lidi. Ada pengajarannya.

 

Ada juga satu kisah hikayat di mana puteranya membawa nasi dibungkus dalam daun kelapa, tujuh kesemuanya buat bekal semasa merantau. Ia disimpan pula di dalam peti dibawa belayar.

 

Cara penyimpanan makanan tahan lama yang lestari - menggunakan bahan yang tidak memudaratkan alam.

 

Kediaman yang mengambil kira kesejahteraan persekitaran dan menyamankan suasana.

 

Orang Melayu sudah lama arif konsep ‘kelestarian alam’.

 

Teringat juga kisah Ratu Mandudari yang ‘mengklonkan’ dirinya sebagai Mandudaki supaya tidak disedari oleh Maharaja Wana  - Kisah dari Wayang Kulit. Bukankah ini daya kreativiti zaman silam membayangkan manusia boleh diklon dari bahan DNA dari badan kita?

 

Begitu mengasyikkan daya cipta zaman lalu jika kita terfikir lebih mendalam. Betapa ‘saintifik’ pemikiran Orang Melayu yang terzahir dari renungan, pemahaman bumi dań laut, perjalanan angin dań ombak.

 

Angin terhenti ditiup jin.

Kapal disumpah menjadi batu.

Ikan seribu rasa.

Delima dilempar ke bumi menjadi puteri.

Baju lelayang bukan buatan orang di sini.

Buatan orang dari Kayangan

 

Jika anak-anak kita boleh leka dengan Manhua, Manga atau Anime, kenapa tidak dengan Hikayat?

 

MEMULIHARA RAHSIA BAHASA DAN ILMU

seratus suara

seratus bahasa

sehati sejiwa

 

Prof Muhammad juga mengingatkan saya, di rantau Kepulauan Melayu ini  terdapat lebih 100 dialek bahasa mewakili pelbagai etnik.

 

Setiap satunya pula menyimpan seribu cerita. Setiap cerita menyimpan rahsia. Setiap rahsia itu mungkin berupa falsafah, keindahan, perubatan, kepimpinan, rahsia alam, bumi dan langit.


 

tnb
Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh menunjukkan buku koleksi pantun tulisan beliau.

 


Jika sastera dan bahasa ini pupus dan hilang begitu saja, rahsia termasuk perubatan, khasiat alam, dan semua kearifan itu akan juga turut lenyap.

 

Inilah kerugian besar yang tidak terlihat.

 

Kalau bahasa itu Hang Nadim dan nasihatnya kepada Raja itu sastera,, amat malang bagi kita membiarkan Hang Nadim yang terpancar kebijaksanaannya, dibunuh begitu saja.

 

Tan Sri Syed Naquib Al-Attas cuba menghentikan pembunuhan aksara Jawi supaya tidak hilang semua ilmu Orang Melayu yang termaktub dalam Manuskrip Melayu Agung. Namun tidak kesampaian.


 

Tan Sri Syed Naquib Al-Attas
Tan Sri Syed Naquib Al-Attas

 


Sebenarnya yang menjadi ‘lingua franca’ di Kepulauan Melayu - di Riau Lingga, di Patani, di Kedah Tua, di Melaka, di Cebu, di Sulu, di Saribas, di Pahang, di Johor, di Pasai, di Acheh, di Champa itu bukan sahaja bahasanya. Malah adat dan adabnya. Kerana adab itulah Dunia Melayu itu begitu indah.

 

Jika kita mula mengenali bahasa, budaya dan warisan bangsa yang pada satu masa dulu menjadi keutamaan, mungkin kita boleh kembali ke peradaban yang bertata susila, yang dihormati dan disegani. - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA