Tanggungjawab berat PM baharu, menurut akhbar Cina utama | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 26 Nov 2022 07:00 AM

TANGGUNGJAWAB BERAT PM BAHARU, MENURUT AKHBAR CINA UTAMA

Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao dan Oriental Daily

 

 

SELEPAS lima hari penantian yang sukar, negara kini ditadbir oleh kerajaan baharu. Pakatan Harapan (PH) akhirnya mendapat mandat membentuk kerajaan perpaduan, impian Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri (PM) juga menjadi kenyataan.

 

Sebaik sahaja nama beliau diumumkan, keyakinan pelabur terus meningkat dan sekelip mata pasaran saham Malaysia penuh dengan kegembiraan. Sudah tentu kegembiraan ini juga adalah satu tekanan kepada kerajaan baharu.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa politik adalah indikator kepada pasaran. Sebanyak mana pun ‘berita’ daripada media, tidak dapat menandingi respons paling cepat dan tepat bursa saham negara.

 

Sebelum pengumuman rasmi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM, FBM KLCI telah melantun kukuh pada dagangan awal. Khususnya saham berkaitan syarikat alkohol dan perjudian yang sudah beberapa hari lesu.

 

Jalan masih panjang

Walaupun ini adalah satu permulaan yang baik, namun jalannya masih panjang.

 

Apa yang perlu kita ingat ialah meskipun PH berada di hadapan namun kerusi yang dipegang hanya 82 daripada 222 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) berada di belakang mereka dengan memegang 73 kerusi. PH tiada majoriti mutlak malah tidak juga memegang majoriti mudah.

 

 

anwar

 

 

Dalam situasi ini, pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke-10 adalah hasil daripada beberapa siri perundingan barulah mendapat kejayaan.

 

Selain itu, mediasi daripada pihak Istana Negara juga membawa kepada pengakhirnya konflik. Maka tidak hairanlah, jika ada yang masih meragui kekukuhan kedudukan beliau sebagai PM.

 

Sudah tentu sebahagian besar rakyat tidak mahu sebarang perubahan yang membawa kepada ketidakstabilan. Lagipun kita telah merasainya tiga tahun yang lalu sehingga menyebabkan hala tuju keseluruhan pembangunan negara bercelaru.

 

Selain itu dalam keadaan imej negara terjejas di mata dunia, keadaan ekonomi kita juga menjadi kucar-kacir dan ringgit menjadi begitu lemah. Meskipun rakyat kelihatan tenang dan ada yang bersyukur kerana menerima bantuan daripada kerajaan, hakikatnya perasaan cemas dengan keadaan semasa ekonomi global tetap dirasai.

 

Selepas berjuang selama 24 tahun, Anwar Ibrahim akhirnya dibenarkan untuk menjadi kapten kapal. Satu tugas besar dan berat baginya untuk mengemudi kapal yang telah menyimpang jauh dari laluan landasan.

 

Antara sebab utamanya adalah kerajaan yang ditubuhkan ini adalah ‘kerajaan perpaduan’ dan kejayaan pembentukannya adalah melalui usaha Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

 

Jadi, permulaan langkah Anwar Ibrahim boleh dikatakan lancar. Namun pergelutan sebenar adalah apabila kabinet dibentuk. Tiada yang percuma di dunia ini, dan begitu juga tiada perkara seperti ‘sokongan tanpa syarat’.

 

Apa yang kita lihat sekarang adalah selepas YDPA mengadakan mesyuarat khas Raja-Raja Melayu, ada sebab kepentingan dan kesejahteraan negara dan rakyatnya, maka keputusan terbaik yang dicapai adalah melantik Anwar Ibrahim sebagai PM.

 

Tak semua menang, tak semua kalah

Titah YDPA juga memperingatkan bahawa ‘dalam pilihan raya umum kali ini, yang menang tidak semua menang dan yang kalah tidak semua kalah’.  Pesanan ini sudah cukup menunjukkan bahawa kabinet kali ini adalah ‘kabinet kompromi’.

 

 

majlis raja

 

 

Hari ini, setiap parti politik memainkan peranan yang berbeza untuk membentuk kerajaan perpaduan. Politik Malaysia telah memasuki wilayah yang baharu, tidak lagi dikuasai oleh satu parti seperti dahulu tetapi kali ini suara yang berbeza akan kedengaran.

 

Profesor Fakulti Ekonomi Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) Wong Chin Yoon berpendapat, keutamaan kerajaan baharu adalah untuk menyelesaikan situasi hutang syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan terus memerangi rasuah. Ini adalah tugas yang sukar dan paling paradoks adalah pendirian PH dan Barisan Nasional (BN) yang jelas bertentangan mengenai isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

 

Pemansuhan GST oleh kerajaan terdahulu menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan sebanyak RM20 bilion. Jika ia tidak dimansuhkan dulu, sudah tentu hasil pendapatan kerajaan boleh mencecah RM90 bilion. Hasil ini sebenarnya membolehkan negara tidak perlu meminjam wang semasa pandemik melanda atau juga boleh menggandakan jumlah pelaburan dalam pembangunan negara. Jika kerajaan baharu mahu melaksanakan semula GST, nescaya rundingan meja bulat akan memakan masa yang sangat panjang.

 

Sementara itu, Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berharap kerajaan baharu dapat merancakkan lagi ekonomi Malaysia dan mengembalikan industri kepada kedudukan yang kompetitif dalam pasaran global. Menjadikan negara sebagai destinasi pelaburan yang digemari.

 

Kawal selia yang mesra akan memastikan perniagaan dapat dijalankan dengan lebih mudah dan membolehkan setiap industri kekal berdaya saing dan mampan. Hasrat ini hanya boleh dicapai jika peraturan kerajaan mudah, telus, boleh dipercayai, konsisten dan adil.

 

Pemulihan ekonomi

Pemulihan ekonomi bergantung kepada empat prinsip utama iaitu kredibiliti, kejelasan, konsisten dan kepastian. Kerajaan perlu mengukuhkan asas ekonomi termasuklah mengurangkan kos operasi yang merupakan halangan utama kepada pemulihan perniagaan.

 

Pembaharuan institusi juga merupakan kunci kepada pemulihan ekonomi. Kerajaan baharu perlu terus menumpukan kepada kecekapan pengurusan dan memastikan tahap integriti tertinggi, meningkatkan kuasa membeli rakyat dan mengurangkan kos sara hidup, seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat.

 

 

anwar

 

 

Tiada tempoh berbulan madu untuk PM baru kita ini. Tanpa kekuatan lebih daripada separuh kerusi di Parlimen, beliau perlu lebih merendah diri dan bermusyawarah untuk menyelesaikan konflik dalaman yang mungkin timbul dalam kabinet kerajaan perpaduan.

 

Sebagai sebuah kerajaan untuk seluruh rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan perpaduan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memastikan enjin ekonomi negara terus berjalan.

 

Sama ada Anwar Ibrahim adalah ‘penyelamat negara’, biarlah masa yang menentukan. Begitu juga, sudah tiba masanya setiap parti mengetepikan segala bentuk fitnah dan politik kebencian.

 

Ayuh mulakan persaingan yang sihat dalam merangka dasar ekonomi agar Malaysia boleh bangkit semula sebagai Harimau Asia! - DagangNews.com

 

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, Nanyang Siang Pao dan Oriental Dailu 21-25 November 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA