TNB, PLUS bekerjasama sediakan 18 stesen pengecas EV di Lebuhraya PLUS menjelang hujung 2023 | DagangNews Skip to main content

TNB, PLUS bekerjasama sediakan 18 stesen pengecas EV di Lebuhraya PLUS menjelang hujung 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Pemilik kenderaan elektrik yang menggunakan rangkaian Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menikmati perjalanan lebih selesa apabila 18 kemudahan pengecas TNB Electron disediakan kepada mereka menjelang hujung tahun ini, hasil kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan PLUS dengan sokongan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

 

Pada ketika ini, kemudahan pengecas TNB Electron disediakan di 3 buah Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) iaitu Ayer Keroh (arah utara), Tapah (arah utara) di Lebuhraya Utara-Selatan dan Paka (arah utara) di Lebuhraya Pantai Timur 2.

 

Enam lagi TNB Electron sedang dibangunkan di R&R Machap (arah selatan), Rawang (arah utara), Gunung Semanggol (arah selatan), Gurun (arah utara dan selatan) dan Paka (arah selatan) yang dijangka siap pada tahun ini.

 

Kerjasama TNB dan PLUS ini adalah sejajar dengan aspirasi Malaysia menuju negara neutral karbon.

 

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din, penggunaan tenaga elektrik di 9 TNB Electron itu yang dianggarkan sebanyak 99,000 kilowatt jam (kWh) elektrik sepanjang tahun 2023 akan dapat menghindari pelepasan 7.2 tan metrik karbon dioksida dalam tempoh sama. 

 

Katanya, ini adalah bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 8.5 ekar hutan setahun.

 

“Pembangunan industri EV adalah sebahagian daripada komitmen TNB untuk memberi tumpuan terhadap usaha penyelesaian tenaga lestari di peringkat nasional dan antarabangsa. 

 

 

TNB
Pengguna EV kini boleh mengecas kenderaan mereka di TNB Electron di R&R Ayer Keroh (arah utara), Melaka

 

 

"Agenda Peralihan Tenaga TNB menyasarkan tenaga sifar bersih pada tahun 2050 melalui pengurangan 35% intensiti pelepasan karbon menjelang 2035,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Terdahulu, majlis pelancaran operasi kemudahan pengecas kenderaan elektrik TNB Electron pertama di R&R Ayer Keroh (arah utara) di Lebuhraya PLUS telah disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi hari ini.

 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman; Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Pembangunan) KKR, Datuk Zahrul Hakim Abdullah; Ketua Pengarah LLM, Datuk Mohd Shuhaimi Hassan dan Ketua Pegawai Strategi dan Usaha Niaga (Chief Strategy & Ventures Officer) TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan.

 

 

TNB

 

 

Baharin berkata, TNB telah menjadikan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) sebagai antara empat inisiatif mempercepatkan pacuan Peralihan Tenaganya dalam usaha meningkatkan komitmen terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.

 

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah PLUS dan Pengarah Urusan Kumpulan UEM, Datuk Mohd Izani Ghani pula berkata, PLUS sebagai pengendali infrakstruktur lebuh raya yang utama negara berganding bahu bersama TNB dan menggunakan kepakaran teknologi sumber tenaga mereka untuk ditawarkan dan dinikmati oleh pengguna lebuh raya.

 

“Sehingga Januari tahun ini, sebanyak 20 kemudahan pengecas pantas telahpun beroperasi di sepanjang Lebuhraya PLUS. PLUS juga bersedia untuk menambah lebih banyak kemudahan ini di R&R yang lain,” katanya.

 

 

TNB
Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (kiri) dibantu oleh Datuk Baharin Din menguji pengecas DC berkuasa 90kW selepas merasmikan Pengecas Berkelajuan Tinggi TNB Electron di kawasan R&R Ayer Keroh (arah utara) Melaka pada16 Februari 2023.

 

 

Tambah Mohd Izani, pihaknya juga yakin bahawa Pengecas TNB Electron ini akan dapat memberikan lebih pilihan kepada pemilik kenderaan elektrik di Lebuhraya PLUS dengan kos yang lebih efektif.

 

Sementara itu, beberapa inisiatif turut dilaksanakan melalui kerjasama kedua-dua belah pihak dengan tumpuan memperluaskan lagi penyelesaian kWh, EV, tenaga boleh diperbaharui (RE) serta inisiatif tenaga hijau termasuk pemasangan bumbung solar dan sistem pemantauan tenaga sebagai pelengkap inisiatif Kelestarian Alam Sekitar PLUS.

 

PLUS dan TNB akan meneruskan perbincangan berkaitan mobiliti rendah karbon dan meningkatkan kecekapan tenaga dengan mengoptimumkan kos elektrik di samping menyokong sumber tenaga hijau.

 

Bagi penggunaan TNB Electron, sila muat turun aplikasi 'GO TO-U' dan sebarang maklumat lanjut, layari https://www.tnbx.com.my/ev-charging-platform. - DagangNews.com