14 harapan Belanjawan 2023 untuk sektor Seni dan Budaya Malaysia Madani | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 20 Feb 2023 11:27 AM

14 HARAPAN BELANJAWAN 2023 

Peranan Sektor Seni & Budaya dalam Pembangunan Sosio-Ekonomi

 

 

 

MASYARAKAT Madani menjamin keseimbangan antara kebebasan individu dan kestabilan masyarakat. Ia mementingkan nilai-nilai kerohanian, keterbukaan, ketinggian moral dan etika, kesenian dan kebebasan seiring kepelbagaian budaya dan nilai kemajmukan.

 

Tentunya Seni dan Budaya satu landasan yang dapat diterapkan untuk perpaduan semua lapisan masyarakat. Malangnya, sepanjang pandemik pada tahun 2020 dan 2021, industri kreatif terutamanya sektor seni dan budaya terus lumpuh dan hampir terkubur.

 

Lebih 70% dari sektor ini hilang sebahagian atau seluruh mata pencarian. Untuk membangkitkan semula Seni & Budaya, penggiat seni dan budaya diberi bantuan melalui skim Penjana dan Pemulih dan ini sedikit sebanyak membantu merancakkan semula aktiviti mereka.

 

Kita lihat pameran, persembahan dan aktiviti jualan bazar kembali meriah di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Melaka, Kuching dan Kota KInabalu dibantu MOTAC, serta agensi kerajaan seperti MyCreative, JKKN dan Think City. Namun, ini lebih merupakan bantuan adhoc sewaktu ‘Darurat’.

irsyad

Kini, industri pelancongan mula bergiat rancak dan semua negeri mulai merancang kempen dan aktiviti pelancongan. Ini juga satu petanda baik kerana ini memberi peluang untuk penggiat seni dan budaya kembali menjalankan aktiviti mereka.

 

Namun persoalan yang patut dibincangkan adalah - adakah ini hala tuju seni dan budaya? Adakah seni dan budaya itu semata-mata penyumbang ekonomi dan mata pencarian penggiat seni? Adakah ini  sebab utama untuk membangunkan semula sektor seni dan budaya?

 

Atau seni dan budaya mempunyai kepentingan yang lebih besar dalam pembangunan sosio-ekonomi masyarakat?

 

Hala Tuju Sektor Seni & Budaya

Di kolum ini, seringkali kita ketengahkan isu jatidiri bangsa dan negara. Sebenarnya, seni dan budaya ini merupakan tunggak kepada perpaduan dan keharmonian Negara. Langkah Tunku Abdul Rahman mementingkan aspek Seni dan Budaya sewaktu Negara mencapai kemerdekaan amatlah tepat. Beliau ingin rakyat yang berbilang kaum menjiwai identiti negara ini.

 

Pada tahun 1971, Dasar Budaya Kebangsaan dibentuk dan sepanjang dekad 1970an dan 1980an, budaya begitu dipentingkan di sekolah-sekolah. Pertandingan teater, tarian dan koir diadakan diseluruh peringkat desa, negeri dan nasional.

 

Hari ini, hanya sekolah terpilih  dapat mengadakan pertunjukan seni dan budaya, Sekolah Seni dan Genius dikhaskan untuk pelajar yang layak. Ini tidak memberi peluang kepada pelajar secara menyeluruh berkecimpung dalam aktiviti seni dan budaya jika sekolah mereka tiada kelab budaya. Antara lain, pelajaran sains, agama dan akademik lebih mendapat kepentingan.

 

Tahun demi tahun, Bajet Negara tidak dilihat memberi kepentingan kepada sektor Seni dan Budaya secara menyeluruh. Peranan Seni dan Budaya dalam pembentukan jatidiri tidak dilihat sebagai dasar negara.

 

Seni dan Budaya termasuk aspek Bahasa, Seni Pementasan, Seni Visual, dan Kraf. Adiguru, Artisan, Pengkarya  dan Sasterawan memerlukan sokongan supaya dapat meneruskan daya cipta, perkongsian dengan generasi baru, dan kajian serta pembukuan. Belanjawan amat penting demi memulihara segala khazanah seni dan budaya.

 

Di sini, disertakan beberapa cadangan dan harapan demi Bajet yang bakal dibahaskan minggu ini dan juga buat masa hadapan demi memperkasa Seni dan Budaya terutamanya dalam kalangan generasi muda.

 

JATIDIRI BAHASA DAN BUDAYA

1. Peruntukan demi penguasaan Bahasa Melayu lebih meluas sebagai pengantara dan bahasa perpaduan.
 

Saya cadangkan pembelajaran pantun dan gurindam dalam bahasa jawi diwajibkan di Sekolah Kebangsaan sebagaimana Chengyu diwajibkan di SRJK Cina untuk menanam nilai murni dan kesusasteraan di kalangan pelajar. Kesusasteraan sebegini mencerminkan nilai kehidupan dan bersesuaian dengan Konsep Malaysia Madani.

 

2. Geran untuk penterjemahan karya Bahasa Melayu ke Bahasa Antarabangsa.
 

Di kebanyakan Pesta Buku Antarabangsa tersohor dunia, terdapat negara yang membantu sektor penerbitan dengan memberikan geran kepada negara lain menterjemahkan karya . Ini secara langsung melebarkan pemasaran buku-buku tempatan ke pasaran antarabangsa. Majlis Buku Kebangsaan Malaysia mengambil langkah positif dan proaktif memperkenalkan hasil terbitan 50 Buku Terbaik Malaysia untuk terjemahan antarabangsa.

 

3. Aktiviti senaman berbentuk tarian Malaysia seperti Silat Bunga, Zapin, Ngajat, Tarian Singa dan  Tarian India di semua komuniti.

Muhibah merupakan satu cara hidup Malaysia sejak berzaman yang kini tergugat kerana rakyat Malaysia tidak bercampur gaul disebabkan pelbagai faktor termasuk jurang pendapatan, polarisasi dan sebagainya. Sediakan peruntukan untuk sesi senamrobik berdasarkan tarian Malaysia di sekolah dan universiti.

 

PENDIDIKAN

  1. Pendidikan menitikberatkan teater dan kreativiti - Makyung, Mek Mulung, Wayang Kulit dan Penglipur Lara. Jurulatih Seni dan Budaya diberi latihan dan elaun untuk meningkatkan pensijilan dan tahap dan kemahiran seni.

 

  1. Pertandingan Teater, Kraf dan Budaya Persembahan di peringkat sekolah – Adakan pertandingan peringkat wilayah, negeri dan nasional di peringkat sekolah di bawah naungan kementerian Pelajaran untuk menggalakkan kreativiti, budaya tinggi dan daya saing yang sihat.

 

  1. Muzik tradisi seperti gamelan, angklung, kompang dan gendang dibekalkan  ke sekolah rendah dan menengah. Berikan peruntukkan untuk jurulatih muzik. Perkasakan muzik tradisional selain piano dan biola yang begitu popular. Galakkan pertandingan muzik tradisional di peringkat wilayah, negeri dan nasional di peringkat sekolah.

 

  1. Pertandingan Permainan Tradisional di peringkat sekolah – Adakan pertandingan peringkat wilayah, negeri dan nasional di peringkat sekolah di bawah naungan kementerian Pelajaran untuk menggalakkan kreativiti, budaya tinggi dan daya saing yang sihat.

 

  1. Perpustakaan Desa dan Sekolah menyokong penerbitan tempatan dan sastera.

 

PEMULIHARAAN SENI & BUDAYA

  1. Jabatan Kebudayaan dan Kesenian diberi sokongan termasuk dana untuk kesemua aktiviti pemuliharaan seni dan budaya serta festival budaya seluruh negara dari peringkat sekolah hingga aktiviti perniagaan.

 

  1. Geran buat adiguru dan penggiat seni untuk memastikan seni & budaya tidak luput ditelan zaman. Pastikan juga terdapat sistem menggalakkan ‘apprentice’ atau penyambung warisan.

 

  1. Pusat Kreatif swasta seperti  GMBB Mall dan Central Market diberikan insentif supaya berkembang maju seluruh negara sebagai teraju industri dan juga pusat daya tarikan pelancong.

 

PROMOSI SENI & BUDAYA

  1. Aktiviti promosi buat semua program Seni & Budaya terutamanya melalui digital sosial media. Agensi seperti MyCreative, Istana Budaya, MaTIC  diberi sokongan termasuk dana untuk kesemua aktiviti promosi seni dan budaya ke seluruh negara dan di dunia global.

 

  1. Majlis Buku Kebangsaan Malaysia yang dinamik terus menyokong Industri Buku Negara di dalam dan luar negara demi memartabat budaya ilmu yang tinggi.

 

  1. Sokongan terhadap dunia perfileman.

 

 

Majulah Seni dan Budaya untuk Negara!

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA