6 kisah legenda untuk teater tarik pelancong
Satu cadangan buat Kementerian Pelajaran
TAHUN 2023 menjanjikan pemerkasaan semula industri pelancongan. Inilah peluang terbaik memberi sokongan demi merancakkan semula warisan seni dan budaya tradisi Melayu kembali ke arus perdana untuk membangunkan industri ini.
Kita mempunyai warisan tradisi pementasan hebat seperti Wayang Kulit, Makyung, Persembahan Dramatari Klasik Kontemporari, Pementasan Drama Teater dan bermacam lagi.
Teringat zaman di bangku sekolah, bapa saudara saya, karyawan dan pemuisi berjiwa besar Yassin Salleh membawa saya dan ibu saudara, ke Universiti Malaya untuk menonton drama teater.
Saya begitu asyik dengan pengalaman tersebut. Dan membayangkan seribu satu kisah yang patut dipentaskan.
Malah saya yakin, hingga ke hari ini, budaya pementasan itu sangat penting dalam membangunkan jati diri generasi muda.
Pada masa yang sama, kita sering terdengar desas desus perbincangan, sektor kreatif tidak terhad kepada seni dan budaya Melayu. Ini kita akui bersama.
Memanglah Malaysia ini begitu berwarna-warni kebudayaannya. Namun itu tidak bermaksud budaya Melayu terus tenggelam. Kita boleh terus majukan seiring dengan semua bentuk seni kreatif yang ada.
Kita sangat ingin melihat pementasan teater di sekolah-sekolah, di pentas-pentas di bandar utama seperti Kuala Lumpur, Kuching dan Pulau Pinang. Di Istana Budaya dan Dewan Filharmonik Petronas.
Namun, pada tahun 80an dan 90an, sastera dan kemahiran bidang kreatif tidak begitu dipentingkan. Di sekolah-sekolah, kepakaran sains diutamakan. Kurang kedengaran hiruk-pikuk di pentas.
Tarian dan nyanyian masih bersahutan tetapi produksi besar-besaran memerlukan kemahiran tenaga pengajar, dana, masa latihan, kepakaran membuat set teater, kostum dan pelbagai lagi.
Tetapi, jika kita lihat manfaat dari projek pementasan teater begitu banyak iaitu:
1. Pembangunan Jati Diri dalam kalangan generasi muda
2. Keyakinan Diri
3. Teamwork atau sikap permuafakatan
4. Kemahiran reka bentuk dan kreativiti membuat prop
5. Kemahiran lukisan tradisional atau digital
6. Kemahiran bahasa
7. Kemahiran penulisan
8. Mengenal legenda dan tempat menarik seluruh tanah air
Tentu kesemua di atas adalah kemahiran dan manfaat yang begitu menguntungkan pihak sekolah, guru-guru dan para pelajar.
Di sini dicadangkan 6 kisah legenda yang memang sesuai dibawa ke sekolah-sekolah:
1. Walinong Sari
2. Puteri Santubong
3. Huminodun
4. Cik Siti Wan Kembang
5. Makyung Anak Raja Gondang
6. Mek Mulung Putera Cahaya Bulan
Malaysia sebenarnya sangat tersohor di peringkat antarabangsa dengan keunikan pementasan teaternya.
WALINONG SARI
Kisah Puteri Walinong Sari merupakan seorang srikandi hebat tanpa saingan, mahir bermain keris, tombak dan lembing.
Tibalah masanya, ayahandanya membuka kata-kata kepada puteri, untuk mencari jodoh. Puteri telah mengadakan syarat untuk sanggup berkahwin dengan seorang yang dapat mengalahkannya dalam satu pertempuran.
Kisah dari Pahang dapat menonjolkan tarikan negeri Pahang seperti Sungai Pahang, bandar diRaja Pekan, Gunung Tahan dan pelbagai lagi.
KISAH MEK MULUNG PUTERA CAHAYA BULAN
Raja Besar memerintah kerajaan di utara Semenanjung Tanah Melayu. Setelah bertahun-tahun tanpa waris, Raja dan Ratu Besar dikurniakan seorang putera dan puteri, kembar seiras, jiwa seiring, suara sehati. Putera, diberi nama Putera Cahaya Bulan. Puterinya, Puteri Nang Mara.
Mereka berdua amat rapat dan apabila akhirnya menjadi Raja Besar, Putera Cahaya Bulan membina Istana Cahaya Bulan, yang bersinar apabila bulan purnama tinggi di langit serta menyinari alam semesta untuk adindanya.
Masalah melanda apabila Raja Siam mendapat berita tentang kecantikan Puteri Nang Mara.
KISAH HUMINODUN
Kisah dari Sabah ini menceritakan kisah Kinoingan dan Suminundu hidup bahagia dan mempunyai seorang anak gadis diberi nama Ponompuan – cantik berseri bagai sinar pagi dan seorang anak lelaki, Ponompulan yang berjaya menawan hati manusia dengan sikapnya yang peramah dan nakal.
Pada satu hari, Kinoingan menghadiahkan bulan kepada rakyat jelata supaya dapat melihat pada malam hari. Dalam diam, hal ini menimbulkan perasaan dengki dan kemarahan Ponompulan apabila ayahnya memberi manusia segala-galanya, bulan hari ini dan mungkin matahari esoknya.
Akibat dendam membara ini, Ponompulan nekad merosakkan hati dan minda manusia di bumi. Pada siang hari, dia membisikkan kata-kata supaya manusia menjadi malas dan pada malam hari, melontar kebencian dan jenayah berleluasa.
Bermulalah kisah menyayat hati pengorbanan Ponompuan demi menyelamatkan manusia dari malapetaka hebat silih berganti.
PUTERI SANTUBONG PUTERI SEJINJANG
Sarawak, merupakan bumi tercinta. Langit membiru menadah keagungan. Begitu hebat dengan legenda Puteri kayangan, penuh keajaiban.
Puteri Santubung dan Puteri Sejinjang telah sama-sama turun ke bumi melihat kehidupan seharian manusia serta memastikan keharmonian yang berterusan dan kedamaian sejagat.
Pada suatu hari, Raja Kayangan memanggil Puteri Santubong dan Sejinjang ke istana. “Lihat di sana,” kata raja sambil menuding jari ke cermin ajaib. Tiba-tiba terlihat kesemua kejadian di bumi. “Sesungguhnya manusia bertelagah merugikan semua makhluk alam. Di Pasir Kuning, padi di sawah dibiarkan. Di Pasir Puteh, tenunan tidak terusik. Hentikan pertempuran yang merugikan dan tidak bermakna itu. Rebutkan tanah tiada kesudahannya.”
“Tetapi ingat, jangan sehingga berbalah kekuatan sesama sendiri – nanti bala menimpa dan anakanda puteri berdua tidak dapat pulang ke kayangan ini.”
Santubong dan Sejinjang kemudian memakai baju lelayang dan meluncur di angin turun ke bumi. Kisah kedua Puteri inilah antara legenda teragung Sarawak menzahirkan Gunung Santubong yang menawan.
Tamadun yang kaya biasanya boleh dikesan kepada kesusasteraan yang sama kaya. Dan harta kita memang luar biasa kaya. Terdapat Irama kepada bahasa kita. Ia menggemakan Irama kehidupan kita.
Hikayat dan legenda adalah kenangan tamadun purba kita dan mesti dipulihara. Dipelihara. Diperkasa.
Bersambung minggu hadapan…
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA