Bilakah kita sedari nilai kekayaan warisan - Adakah ini layak dipilih UNESCO? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 26 Feb 2024 07:00 AM

BILAKAH KITA SEDARI NILAI KEKAYAAN WARISAN - ADAKAH INI LAYAK DIPILIH UNESCO?

 

 

Garuda diserang Ayun-ayunan

Jatuh terbang ke awangan

Merajuk ke pulau seberang

Diam tinggi di gunung ganang 

 

 

DICERITAKAN dalam Hikayat Merong Mahawangsa bahawa Kedah Zamin Turan itu kaya dengan sejarah dan keunikan tersendiri.

 

Bermula dengan Langkasuka, kerajaan lama hebat didirikan Raja Merong Mahawangsa menjalin hubungan baik dengan Siam, mendirikan Patani dan seluruh wilayah di utara Semenanjung Tanah Melayu. 

 

Satu daripada tapak warisan yang penting diiktiraf UNESCO di utara Semenanjung adalah Tapak Warisan Dunia Lenggong, sebuah kawasan bersejarah yang terletak di Perak.

 

Lenggong memang sangat indah, berlatarbelakangkan gunung-ganang dan Tasik Raban dipenuhi teratai. 

 

Kawasan ini terkenal dengan kepelbagaian artifak prasejarah yang ditemui di dalam Gua Gunung Runtuh, Gua Harimau, dan lukisan purba di Gua Badak.

 

 

unesco

 

 

Objek-objek yang ditemui merupakan bukti kehidupan manusia purba sejak zaman Batu Paleolitik, Neolitik, dan Logam di rantau ini termasuk penemuan paling tersohor iaitu Perak Man di Gua Gunung Runtuh oleh pakar arkeologi, Datuk Siti Zuraina Abdul Majid. 

 

Di Lenggong kita juga berkenalan dengan legenda Tok Temong dan Tun Saban, dan kisah sejarah penuh legenda disulami warisan dan hikayat lama.

 

 

unesco

 

 

Dari kisah ini, kita kenali Sultan Perak yang pertama Sultan Muzzafar  Syah dan Megat Terawis yang berwibawa, berani dan diangkat menjadi Bendahara Perak. 

 

Sejak sedekad yang lalu, Sungai Batu, Kedah, benar-benar membuka mata kita kepada tapak warisan seawal 788 SM terkenal sebagai pusat peleburan bijih besi dan merupakan sebuah tamadun tertua di Asia Tenggara. 

 

Di sini, kita dapati bukti-bukti kehadiran ingot besi dan lambakan berjuta corong 'tuyere', menunjukkan bahawa Kedah, yang juga dikenali sebagai Qalahan, Qadaram, atau Katuha, adalah salah satu pusat pengeluaran besi terkemuka di dunia beribu tahun dahulu.

 

Teknik yang canggih dan penelitian disaksikan melalui peninggalan bahan-bahan pembuatan Melayu kuno yang masih terdapat di Sungai Batu hingga kini. 

 

Dengan meneroka kawasan ini, kita diperkenalkan kepada kegemilangan dan kehebatan tamadun yang telah wujud sejak lebih 2000 tahun lalu.

 

Sungai Batu bukan sekadar menjadi saksi kepada aktiviti pembuatan besi purba, tetapi juga menjadi pintu gerbang yang menghubungkan kita dengan zaman-zaman silam yang patut dihargai dan diselidiki dengan lebih mendalam.

 

Lembah Bujang pula merupakan salah satu pusat kebudayaan tertua di Semenanjung, yang menempatkan sejumlah peninggalan bersejarah yang mempunyai nilai yang amat tinggi.

 

 

hikayat

 

 

Kawasan ini dikenali dengan pelbagai tapak arkeologi yang menarik, termasuk candi, prasasti, dan artifak-artifak bersejarah yang menarik minat para penyelidik dan pengkaji warisan. 

 

Melalui pendedahan terhadap tapak-tapak bersejarah ini, kita dapat menghayati dan menghargai kepelbagaian budaya serta sejarah yang telah membentuk identiti dan peradaban masyarakat tempatan.

 

Lembah Bujang turut memainkan peranan penting sebagai titik tumpuan bagi pengkaji dan penggemar arkeologi bagi mengkaji perkembangan budaya dan tamadun di wilayah ini. Keberadaan kawasan ini mendorong kesedaran tentang kepentingan memelihara warisan sejarah bagi generasi akan datang.

 

Secara keseluruhannya, warisan wilayah utara Semenanjung Tanah Melayu memang kaya dengan nilai sejarah dan budaya yang penting. Usaha untuk memelihara dan memulihara warisan tersebut amat penting bagi memastikan warisan ini dapat dinikmati oleh generasi masa kini dan akan datang.

 

Mencadangkan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco di utara Semenanjung Tanah Melayu merupakan satu langkah yang bijak.

 

Dengan mendapatkan pengiktirafan dari UNESCO, kawasan ini akan menerima sokongan dan perlindungan yang lebih meluas, serta peluang untuk dipromosikan di peringkat antarabangsa. Ini akan membantu meningkatkan kesedaran serta nilai warisan sejarah dan budaya negara kita.

 

Faktor pulangan ekonomi

Yang paling penting, sektor pelancongan, seni dan budaya serta mementingkan kelestarian warisan akan membawa kesan ekonomi positif yang menyeluruh. Ini memberi peluang perniagaan kepada pengusaha tempatan contohnya,  hotel, kedai makan, kedai cenderamata dan pengusaha agen pelancongan.

 

 

hikayat

 

 

Bayangkan syarikat Pekasam Tasik Raban, pengusaha ikan masin atau penduduk di Lenggong, yang pandai memasak lauk tempatan. 

 

Mereka boleh mengendalikan perniagaan kecil-kecilan yang berjaya. Antara pengusaha resort atau AirB&B paling digemari pelancong asing adalah Suka-Suka Resort dan Rumah Tiang 16 di Lenggong. 

 

Memelihara dan mempromosikan warisan budaya dan sejarah boleh menggalakkan pertumbuhan jangka panjang dalam sektor pelancongan. Destinasi menjadi tarikan pelancongan sambil membangkitkan kesedaran tentang nilai warisan kepada pelawat tempatan dan asing.

 

Sektor ini dapat memainkan peranan penting dalam merangsang aktiviti ekonomi melalui pelbagai cara yang memberi manfaat kepada penduduk kawasan yang terlibat.

 

Cadangan Tapak Warisan Unesco

Sekiranya terdapat usaha yang mencadangkan Tapak Unesco untuk warisan di utara Semenanjung Tanah Melayu, disokong dengan kajian yang rapi dan usaha bersama dari pelbagai pihak, ia boleh menjadi langkah penting dalam memastikan warisan ini terus dikenali dan dihargai tidak hanya oleh penduduk tempatan tetapi juga oleh dunia.

 

Kita lihat bagaimana Lenggong berjaya mendapat manfaat dari pengiktirafan UNESCO ini. Penduduk tempatan meraih pulangan ekonomi, malah lebih penting, Lenggong menjadi kebanggaan Malaysia di mata dunia. 

 

 

hikayat

 

 

Justeru, mungkin ada baiknya kerajaan melihat Sungai Batu dan Lembah Bujang sebagai satu keutamaan untuk pengiktirafan UNESCO. Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya atau Badan Warisan bolehlah usahakan cadangan ini.  

 

Dan dari Hikayat Merong Mahawangsa, kita ambil ilham menaikkan tempat bersejarah kita di mata dunia.- DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb