Cinta terzahir antara Perlembagaan dan Sastera | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 05 Jun 2023 07:00 AM

CINTA TERZAHIR ANTARA PERLEMBAGAAN DAN SASTERA

 

 

SUASANA agak kelam kabut. PBAKL memasuki hari-hari terakhir. Jualan agak baik memandangkan modal yang dicurahkan tidaklah begitu tinggi. 

 

Sikit-sikit lama lama jadi bukit. 

 

Jika tidak dipecah ruyung, di mana boleh mencapat sagunya. 

 

Alah bisa tegal biasa. 

 

Ini kali pertama Hikayat Fandom menyertai PBAKL dengan reruai yang satu, berbekalkan 8 judul buku. Kami syarikat kecil molek. Ilustrasi yang cantik. Dan terbaru - HF KomiK! 

 

 

ninot aziz

 

ninot aziz

 

 

Hikayat Fandom di PBAKL buat julung kali ini sebenarnya bertujuan memburu pengalaman. Kita buat sosial media. Book Tok Live. Dan pada masa yang sama, Istanbul Fellowship sedang berlangsung! Sedang sibuk merisik temujanji dengan penerbit Turkiye untuk memperdagang hakcipta buku terbaru. 

 

Di celah kesibukan kerja dan dunia buku yang begitu mengujakan, terlihat jemputan ke Randau 17, Majlis Perundingan Melayu di Wisma MPM tentang Perlembangan 152. Kuliah akan diberikan oleh Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu dan Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla. 

 

Akhirnya saya pun hadir di Wisma Daulah, MPM. Dan dari kuliah yang dihadiri, terzahir cinta antara perlembagaan dan seni sastera. 

 

 

Datuk Zainal Kling
                                      Datuk Zainal Kling

 

 

Membuka bicara, Datuk Zainal Kling mengatakan Bahasa Melayu itu bukan saja untuk membina bangsa. Bukan saja untuk memupuk perpaduan. Bukan saja untuk memperkuat jatidiri. 

 

Malah Bahasa Melayu penting untuk membina peradaban dan tamadun Melayu. 

 

Ini diikuti pewacana pertama, Prof Datuk Dr Shamrahayu yang berasal dari Negeri Cik Siti Wan Kembang rupanya. Beliau memulakan dengan peringatan, Bahasa Melayu adalah bahasa resmi. Identiti Negara. Bahasa Perpaduan. 

 

Beliau turut mengingatkan bahawa Bahasa Melayu itu dua aksaranya. Rumi. Dan Jawi. Jadi kedua-duanya mesti dipertahankan. Namun hari ini keadaan begitu tertekan kerana Bahasa Melayu tidak diterima. Apatah lagi Jawi. 

 

 

Prof Datuk Dr Shamrahayu
                                 Prof Datuk Dr Shamrahayu

 

 

Suara lembut berbudi bahasa, tetapi mendalam dan tajam tegurannya. Silap kita sendiri. Kenapa kita tidak menjaga adab dalam berbahasa?

 

Kita gunakan perkataan seperti ‘gilerr’ dengan berleluasa dalam pertuturan seharian. ‘Aku’ dan ‘Engkau’ menjadi gantinama. Prof Sham mengingatkan kita jangan ‘memandulkan’ bahasa! Jangan kita sia-siakan nusa dan bangsa. 

 

Pentingnya, Perkara 152, Perlembagaan Malaysia memertabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak berbelah bagi. Walau bagaimanapun hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan tidak dinafikan. 

 

Begitu bersemangat dan padat dengan hujah dan manfaat mencerminkan kesungguhan perjuangan Prof Datuk Shamrahayu. 

 

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula meneruskan kata dan peringatan. Sedih keadaan kita hari ini rupanya. Kita tidak sedar dengan tidak memperkasa Bahasa Melayu, kita juga kehilangan kepentingan ekonomi! 

 

Beliau menceritakan bagaimana rakyat Pakistan menyaman kerajaannya kerana tidak mempertahankan bahasa kebangsaan Bahasa Urdu, kerana ini telah merugikan mereka. Syabas rakyat Pakistan yang berani!

 

 

Mohamed Haniff Khatri Abdulla
                                  Mohamed Haniff Khatri Abdulla

 

 

Di Malaysia, kita sudah merdeka lebih 60 tahun, tapi jika ditanya pejabat Peguam Negara, mereka akan menjawab tidak ada Perlembagaan Persekutuan dalam bahasa Melayu! Kita masih tidak mempunyai versi perlembagaan Bahasa Melayu yang rasmi. 

 

Ini amat memilukan kerana undang-undang sesebuah negara Perlembagaan Persekutuan mempunyai kedudukan yang lebih tinggi daripada akta Parlimen, arahan-arahan kerajaan dan kementerian.

 

“Sebenarnya, di manakah kita berada, sebagai bangsa Malaysia, orang Melayu, Cina, India yang sudah merdeka tidak mempunyai Perlembagaan yang sah dalam bahasa dikatakan bahasa kebangsaan di bawah Perkara 152? tanya beliau. 

 

“Sepatutnya perkara ini tak perlu kita bincangkan, sepatutnya perkara ini sudah [diselesaikan]  jauh sebelum sepatutnya perkara ini telah diusahakan. “

 

Apakah jalan penyelesaian?

Saya ingin mengutarakan jika perbincangan tentang Bahasa Melayu terus diadakan dalam kalangan orang Melayu sahaja, kita menongkah arus. 

 

Selagi kesusasteraan kita hanya dibaca oleh orang Melayu saja, usaha memertabatkan Bahasa Melayu akan terbengkalai. 

 

Selagi usaha menulis buku masih tidak diterima semua golongan masyarakat, ia tidak akan diperjuangkan oleh semua. 

 

Oleh itu, selagi masih ada jiwa dan raga, ilham dan hati nurani  untuk menulis kisah lama disuntik nafas baru, demi pembaca baru, anak muda yang ingin kenali hikayat dari nenek moyang kita, akan saya tuliskan kisah hikayat lama. 

 

Kita mesti terus mencari Usman Awang, Pendita Za’aba, A Samad Ismail, Pak Sako, Hamka zaman ini. 

 

Memperkasa budaya dan hikayat untuk semua. Makyung. Mek Mulung. Wayang Kulit. 

 

 

ninot aziz

 

ninot aziz

 

ninot aziz

 

ninot aziz

 

 

Mari kita lihat animasi Hikayat dan cerita rakyat Melayu. 

 

Persembahan bangsawan dan wayang perwira dan srikandi Melayu. 

 

Puisi Melayu ke bulan dan bintang. 

 

Selagi tidak dicintai dan dikasihi oleh anak muda, dan dirindui apabila jauh di perantauan, selagi itulah bahasa dan budaya diabaikan. Selagi tidak kenal jati diri, berterusanlah kemelut bahasa kebangsaan ini. 

 

Apabila sastera di mata dan jiwa, di hati dan akal budi,  barulah kita dapat mendengar suara rakyat Malaysia bingit ke langit mempertahankan Bahasa Melayu beribu tahun menjadi kebanggaan semua! – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA