DUNIA ANGKASA ALAM MELAYU - 7 PETALA LANGIT
Di ambang Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi sempena LIMA'23, mari kita renungi cetusan Ilmu Alam Melayu
Bahasa menunjukkan kekayaan ilmu sesuatu bangsa. Yang penting, bahasa mencerminkan identiti suatu bangsa dan kekayaan ilmu yang dimilikinya.
Oleh kerana itu, setiap bahasa mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap kebudayaan dan kearifan lokal sesuatu bangsa. Contohnya, tidak semua bahasa mempunyai perkataan untuk menggambarkan angkasa.
Bahasa Inggeris menggunakan kata "space", dan ini merupakan rumpun yang sama untuk bahasa Sepanyol menggunakan kata "espacio", bahasa Perancis menggunakan kata "espace", dan bahasa Itali yang menggunakan “spazio”.
Bahasa Jepun menggunakan kata "宇宙" (uchū), dan bahasa Mandarin menggunakan kata "空间" (kōngjiān), dan ini digunakan oleh bahasa Korea ( 공간 gong-gan), Vietnam (không gian) dan beberapa lagi bahasa.
Sebenarnya, terdapat banyak bahasa yang tidak memiliki perkataan khusus untuk angkasa, mereka hanya menggunakan perkataan pinjaman atau menggunakan langit dan awan sebagai ganti.
Namun dalam bahasa Melayu, begitu kaya bahasa yang merujuk kepada angkasa contohnya: Awang-awangan, atas langit, bintang, mentari, kejora, purnama, ufuk, kayangan, keinderaan. Dan ungkapan Tujuh Petala Langit itu sudah sebati dengan naluri Melayu.
Pengaruh hikayat dalam pemikiran orang Melayu
Dalam hikayat Melayu, perkataan angkasa sering digunakan untuk merujuk kepada kayangan atau alam semesta.
Di dalam Hikayat Seri Rama, contohnya, angkasa digunakan untuk merujuk kepada kawasan yang tidak boleh dijangkau oleh manusia biasa dan sebagai tempat kediaman para dewa.
Perkataan angkasa juga digunakan secara metafora untuk melambangkan tingkat keagungan atau kebesaran sesuatu.
Dari wayang kulit, melalui Hikayat Maharaja Wana, kita lihat kayangan itu satu tempat indah mempunyai kerajaan Sinar Runduk dan Sinar Naik yang saling bermusuhan. Manusia biasa tidak dapat sampai melainkan mereka yang berbekalkan kesaktian.
Salah satu hikayat kegemaran saya adalah Hikayat Malim Deman. Seperti kebanyakan hikayat, ceritanya menarik. Namun, terdapat kelebihan kekayaan bahasanya kerana Malim Deman mengembara ke segala pelusuk dunia. Dan akhirnya, kembara membawa Malim Deman ke pintu kayangan demi mencari isteri tercinta.
Malim Deman terpaksa memohon bantuan memujuk Burung Borak untuk membawanya ke kayangan yang begitu jauh dari bumi. Perjalanan ini melintasi ruang semesta dan penerbangan mereka dibayangkan dalam 7 ayat indah:
Hilang disaput awan yang puteh,
Hilang disaput awan yang kuning,
Hilang disaput awan yang biru,
Sakali membawa edar ke kiri,
Dua kali membawa edar ke kanan,
Tiada boleh membawa edar lagi,
Hilang disaput si mega-mega.
Ini menjelaskan beberapa lapisan ruang melepasi awan dan langit sehingga hilang tidak kelihatan dari bumi. Tentunya, ini merupakan bayangan pemahaman ilmu astronomi, atau ilmu falak - pemahaman konsep ilmu tinggi dan kearifan lokal zaman tidak terhad pada penceritaan hikayat saja.
Tujuh Petala Langit
Tujuh Petala Bumi
Mari kita hayati Surah AnNaba'. Ayat 037 yang berbunyi:
Tuhan yang mentadbirkan tujuh petala langit dan bumi serta apa yang ada di antara keduanya, Tuhan Yang Maha Pemurah, tidak ada sesiapapun diberi kuasa berkata-kata denganNya (untuk memohon pertimbangan tentang balasan atau pengurniaan itu);
Dengan kedatangan Islam, pemahaman tentang ilmu falak mula meningkat dalam kalangan masyarakat Melayu terutamanya golongan ulama.
Malah pemahaman alam dan langit sangat ditekankan dalam al-Quran lebih 300 kali. Contohnya:
Surah AlBuruj. Ayat 009.
Tuhan yang menguasai segala alam langit dan bumi dan (ingatlah), Allah sentiasa menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
Surah AlBaqarah. Ayat 107.
Tidakkah engkau mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Yang Menguasai segala alam langit dan bumi? Dan tiadalah bagi kamu selain Allah sesiapapun yang dapat melindungi dan yang dapat memberi pertolongan.
Surah Nuh. Ayat 015.
Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat
Dengan ini kita lihat pemahaman angkasa dan langit mulai menusuk ke kalbu dan akal pemikiran kita.
Malah ungkapan ‘tujuh petala langit tujur petală bumi’ menjadi sesuatu yang sebati lumrah di Alam Melayu. Dato Ibrahim Ghaffar menulis puisi Sumpah Pendekarnya yang begitu tersohor:
Tujuh petala bumi
Tujuh petala langit
Dari gunung ke lembah curam
Dari sungai ke lautan bergelombang
Kembara adalah setia pada sumpah
Kemenyan dan setanggi adalah penyeri kehadiran kita
Warisan berkurun dari Dato Laksamana
DIMANA BUMI DIPIJAK DISITU LANGIT DIJUNJUNG
Sumpah Pendekar…
Pantang undur walau setapak
Pantang maut sebelum ajal
Pantang derhaka pada titah
Pantang keris dipinggang kalau tidak berani mati…
Berdentum guruh dilangit
Merkah bumi dipijak, "PENDEKAR TAKKAN UNDUR SETAPAK"
Pulangkan pamor pada kerisnya
Pulangkan sireh pada gagangnya
pulangkan mahkota pada takhtanya
Pulangkan cokmar pada laksamana
pulangkan langkah pada gelanggang
Pulangkan sumpah pada pendekar
Pulangkan rohani pada jasmani
Pulangkan bangsa dan martabat
Sumpah bukan hanya dibibir
"GENGGAM BARA API BIAR SAMPAI JADI ARANG"
Bumi warisan ini
"TANAH TUMPAH DARAH KITA"
Masih menuntut semangat yang belum tertunai
Pribumi bukan sekadar gelaran tanpa makna
Kita adalah anak watan
Darah yang mengalir ditubuh kita
Semerah darah si Jebat yang tumpah di bumi Melaka
Semerah darah si Jebat yang terlekat di Taming sari
Semerah darah si Jebat yang tercalit di kening Hang Tuah
Semerah darah Hang nadim yang terhumban di lautan Temasik
Dan kita pun masih di sini.
Mendepani hari-hari yang semakin mencabar
keutuhan tekad yang kental
Sumpah keramat seorang pendekar
"TAKKAN MELAYU HILANG DI DUNIA"
Bukti Sains Menyusul
Namun adakah Tujuh Petala Langit ini sesuatu yang nyata dan benar apabila dikaji?
Kajian Sains dari NASA membuktikan bahawa atmosfera terdiri diri beberapa lapisan. Lapisan-lapisan tersebut mempunyai ciri-ciri fizik, seperti tekanan dan jenis gas yang berlainan.
Malah, di dalam al-Quran ada menyebutkan bahawa apabila manusia mendaki langit, ia akan merasa sesak bernafas! Ini bayangan penipisan udara di atmosfera.
Jika kita hitung jumlah lapisan atmosfera yang diketahui hari ini, atmosfera memang tepat terdiri atas tujuh lapisan, seperti dinyatakan dalam ayat di atas dan menjadi telah lama menjadi sebahagian dari kearifan kita.
1. Troposfera
2. Stratosfera
3. Mesosfera
4. Thermosfera
5. Ionosfera
6. Exosfera
7. Magnetosfera
Pemikir dan cendiakawan Melayu semakin tinggi pengetahuan ilmu falaknya. Ilmu falak merupakan kajian entang pergerakan jasad-jasad di langit seperti Bulan, Matahari dan bintang.
Dalam Manuskrip Melayu, kita konali ilmu Alam Melayu yang menentukan pelayaran, arah kiblat, waktu solat dan kalender Islam. Dengan ini, jelas, orang Melayu telah lama merenung dan mengkaji alam semesta, bulan dan bintang.
Ini dicerminkan dalam penggunaan bahasa kita dań wajib kita hayati untuk pemerkasaan bangsa dan jati diri. – DagangNews.com