Frankfurter Buchmesse 2022: Misi tarik minat penerbit buku asing tercapai  | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 24 Oct 2022 07:00 AM

Frankfurter Buchmesse 2022: Misi tarik minat penerbit buku asing tercapai 

 

 

TIDAK pernah bermimpi tahun ini akan melangkah menghadiri pesta buku antarabangsa, apatah lagi, pesta terbesar dan tertua dunia, Frankfurter Buchmesse 2022 di Frankfurt, Jerman.

 

Setelah sekian lama membuat perancangan, akhirnya berlepas pada 17 Oktober 2022 bersama rakan penulis yang kebetulan berlepas pada hari yang sama.

 

Misi utama kembara ini adalah untuk meyakinkan penerbit antarabangsa menerbitkan Siri Hikayat Fandom dan juga Lipur Lara Alam Melayu (terbitan Patriots Publishing) ke Bahasa Itali berikutan hubungan baik dengan Kedutaan Itali di Kuala Lumpur. Ini tidak terhad pada Bahasa Itali sahaja.

 

Jika berpeluang, tercetus cita-cita untuk menjemput editor Bahasa Perancis, Jerman dan Turki untuk berkenalan dengan legenda Melayu.

 

CEO Patriots, Syazrul Aqram, memberi nasihat supaya membawa buku-buku lain yang mungkin dapat menarik minat mana-mana penerbit yang singgah di Pavilion Malaysia.

 

Hikayat Fandom dan Patriots Publishing memulakan detik cemerlang Pavilion Malaysia tahun ini selepas pesta buku Frankfurter Buchmesse berehat selama dua tahun akibat pandemik COVID-19.

 

Pada hari pertama, Hikayat Fandom memeterai perjanjian bersama Letterarie Menti menerbitkan Siri Hikayat Fandom oleh Ninot Aziz dalam bahasa Itali.


 

Ninot Aziz
Ninot Aziz dan Anna Rita Angelelili dari Letterarie Menti Itali menandatangani perjanjian disaksikan Khair Ngadiron, wakil MBKM.

 


Manakala Patriots Publishing menandatangani perjanjian dengan Sanzini Publication, Korea Selatan pada hari kedua untuk Malaya 1941 oleh Rafe Rahmat/Hairil Anuar dan Politik Untuk Pemula oleh Ayman Rasydan Wong.

 

Hasil nukilan Adibah Omar bertajuk Big Boy Omar Series merangkumi tujuh tajuk berjaya menembusi pasaran lima negara dan buku Biblio Press Helang Albania pula bakal diterbitkan di Albania.


 

Ninot Aziz
Siri OMAR karya Adibah Omar bakal diterjemahkan kepada lima bahasa di UK, Amerika Syarikat, Australia dan Turki

 

Ninot Aziz
Patriots Publishing diwakili Farrah Izzlorna bersama Suguel Kwon dari Sanzini Publication dan Khair Ngadiron, wakil MBKM.

 


Sehingga kini, MBKM melihat transaksi jualan dan belian hak cipta melepasi sasaran di mana setakat ini hampir 50 transaksi judul didagangkan bersama Itali, Korea, Jerman, Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Turki, Thailand, Indonesia dan Albania.

 

Ini menepati tema, Malaysia Reconnects; With Stories Waiting To Unfold, di mana Majlis Buku Negara Malaysia (MBKM) tekad mencapai sasaran sekurang-kurangnya 20 buku dan pengarang menandatangani perjanjian dalam pencinta buku bandar dan pemain industri penerbitan pesta buku.


 

Ninot Aziz
Kiridaren Jayakumar dari Biblio Press berjaya membawa Helang Albania pulang ke Albania.

 


Majlis menganjurkan pelbagai sesi suai padan perniagaan dan hak perdagangan untuk peserta sebelum berlepas ke Frankfurt.

 

Selama berabad-abad, Tanah Melayu terletak di titik pertemuan sejarah, politik dan geografi dunia di mana Selat Melaka menyaksikan banyak kisah meniti kembara Kepulauan Melayu.

 

Sebagai pengarang dan pencerita Hikayat Melayu, penulis mempunyai misi tersendiri membawa lagenda Melayu ke persada dunia.


 

Frankfurter Buchmesse 2022

 


“Hikayat, lagenda dan cerita rakyat Dunia Melayu, mencerminkan keberadaan tamadun Melayu. Melalui legenda tersebut, generasi seterusnya dapat mengenal semula asal usul identiti, tradisi dan kearifan lokal.

 

Harapan saya dapat berkongsi legenda Dunia Melayu secara kolektif kerana budaya Melayu itu mempesonakan dipenuhi dengan keindahan.”

 

Perkara ini turut disuarakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Patriots Publishing Syazrul Aqram yang berkata, “Kami sentiasa bergerak ke hadapan dalam merealisasi impian untuk mempromosi karya tempatan ke peringkat antarabangsa, selaras dengan tema Pesta Buku Frankfurt kali ini iaitu 'Translate, Transfer, Transform'. Kami berharap dapat membina hubungan di pameran buku akan datang.”

 

Khususnya, Aqram menambah bahawa hubungan dengan penerbit Korea Selatan begitu harmoni sejak 2019.

 

Dengan kejayaan ini, ia dapat mengeratkan lagi hubungan antara penerbit Malaysia dan Korea Selatan serta meneruskan perkongsian budaya dan ilmu antara kedua-dua negara melalui buku dan isi kandungan lain.


 

Frankfurter Buchmesse 2022
Tapak pesta buku Frankfurter Buchmesse 2022

 

Ninot Aziz

 


Kembara ke Frankfurt turut menjadi peluang untuk melancong ke bandar yang rata-rata sebuah pusat perdagangan Jerman namun dipenuhi tarikan menarik yang dapat dilihat apabila menaiki bot persiaran di Sungai Main.

 

Di sebuah jambatan utama menyeberangi sungai tersohor itu ada papan tanda dalam bahasa Yunani kuno bermaksud, “Bangsa seluruh dunia dieratkan melalui laluan air...”

 

Satu lawatan ke Museum Städler juga begitu mengagumkan apabila dalam melihat tradisi karya tersohor dunia Barat, dari tradisi mengukir, seni pelukis tersohor seawal tahun 1600an yang juga mempunyai kedai buku dan restoran yang begitu sesak dengan pelawat yang datang walaupun muzium sedang menjalani pemuliharaan.

 

Di Frankfurt juga terdapat restoran pelbagai etnik seperti Turki, Itali, China, Thai dan bermacam-macam lagi serta kafe yang comel menawarkan croissant dan apple strudel ada di merata-rata.


 

Frankfurter Buchmesse 2022

 


Pengalaman di Frankfurt menggalakkan penulis untuk menghadiri pesta buku lain seperti di Shahjan di UAE, di Korea Selatan, Jakarta, Indonesia,  di Beijing, China dan di London Bookfair, Insya-Allah.

 

Pameran Buku yang akan berlangsung dari 19 hingga 23 Oktober telah menarik lebih 5,000 pempamer dari lebih 65 negara yang  datang untuk membeli dan menjual hak dagangan buku fiksyen, sastera kanak-kanak, ‘Young Adult’, folio bergambar, buku fakta dan banyak lagi.

 

Satu pengalaman yang begitu manis, tidak mungkin dapat dilupakan. Terasa sedih meninggalkan Kota Buku ini.  

 

  

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA