GEMILANG KESULTANAN PATTANI SERLAHKAN KEPIMPINAN WIBAWA
SETIAP tamadun mengaksikan pergolakan politik dan pelbagai ragam pengkhianatan. Yang pasti, sejarah adalah penilai terbaik ketokohan dan keluhuran sesorang pemimpin. Apabila melihat dari kaca mata sejarah, kita tidak ada lagi kepentingan semasa mengaburi persepsi, cuma legasi yang ditinggalkan menjadi mercu tanda.
Apa yang nyata, pemimpin berwibawa dikenang beratus tahun. Semoga mereka terus mendapat rahmat dan restu berkat rakyat yang mengenangi jasa dan pengorbanan mereka.
Marilah mengingati kisah ratu agung Dunia Melayu. Bijaksana dan berwibawa, kita dibuai mimpi indah zaman keagungan Ratu Patani ini.
Dokoh di dada, pending di pinggang. Naga di lengan. Sangat bestari, berhias dan berdaulat rupa Ratu Dunia Melayu
RATU-RATU PATTANI
Arakian maka segala menteri hulubalang dan rakyat Pattani pun keluarlah perang dengan segala rakyat Siam itu. Dengan pertolongan Allah, perang segala Siam itu pun tiadalah menang lagi, sangatlah kelaparannya...
Inilah suatu kisah yang diceritakan oleh orang tua-tua, asal raja yang berbuat negeri bernama Pattani Dar al-Salam.
Sultan Mansur Shah, putera bongsu Sultan Ismail, menjadi sultan Pattani. Duli Yang Maha Mulia amat menjaga kedamaian Pattani dengan kerajaan serantau. Pattani pun bertambah makmur dan sultan dikurniakan tujuh putera dan puteri,
Yang sulung, Raja Hijau
Yang tengah, Raja Biru
Yang teh, Ratu Ungu
Juita srikandi penuh berilmu
Yang Chik, Raja Kuning
Dilamar dua seteru berlawan
Yang Alang, Raja Bima
Mati diradak Seri Amar Pahlawan
Yang Muda, Raja Emas Kercang
Anakanda tuanku paling tersayang
Yang Bongsu, Sultan Bahadur Syah
Dilantik menjadi pemerintah
Sultan Bahadur memerintah Pattani dari usia yang begitu muda menggantikan ayahanda baginda Sultan Mansur Shah. Namun, ancaman tak henti-henti datang daripada kerajaan Ayutthaya di utara. Sultan bertekad tidak tunduk kepada mana-mana kerajaan yang ingin merampas Pattani.
Seorang raja yang tegas, gagah dan berani kerana kebenaran, Sultan Bahadur ingin bebas daripada peperangan berterusan, melindungi Pattani daripada dijajah. Sebagai benteng utama, perbendaharaan Pattani mestilah penuh dengan emas dan manikam, berdagang beras dan garam serta rempah-ratus dan kayu cendana yang sangat terkenal seluruh dunia.
Semua kapal yang singgah di Pattani yang aman damai dan permai itu dikenakan cukai yang tinggi. Namun, tidak semua yang senang dengan pemerintahan tegas sultan. Rakyat jelata dikerah untuk bekerja tanpa mengenal penat lelah untuk berkhidmat bagi kesejahteraan Pattani. Baik lelaki atau perempuan, tua atau muda, miskin dan kaya, semuanya mesti berkhidmat untuk Pattani sebaik kemampuan mereka.
Yang buta, menumbuk lesong
Yang pekak, menyalakan meriam
Yang kudung, mengejar ayam
Masing-masing mempunyai tujuan
Seisi istana juga dikawal selia begitu ketat. Ratu Hijau, Biru dan Ungu terus mendalami pelbagai ilmu – pentadbiran, perdagangan, agama, pelbagai bahasa dan taktik peperangan – ratu jelita dan cerdik pandai, bangga dan berani menghadapi apa sahaja, srikandi perkasa menjaga maruah dan kedaulatan Pattani tercinta. Ratu bertiga sentiasa menasihati Sultan Bahadur dalam hal negara.
Ratu Kuning ditugaskan mengelolakan perdagangan dan hal-hal pelabuhan.
Negeri Pattani bertambah makmur. Pada setiap musim setelah letih bekerja, ada pesta keramaian iaitu makyung menjadi tontonan. Gelanggang pula mencari pesilat terhandal seluruh dunia Melayu dari Pattani, Langkasuka, Inderapura, Riau, Aceh dan Melaka yang terus dijajah Feringgi itu. Hiruk-pikuk terdengar daripada penonton; tua dan muda.
Dalam suasana penuh aman damai ini, tragedi tiba-tiba melanda istana Pattani.
Raja Bima, abang tiri sultan, adalah putera kepada Sultan Mansur dan bondanya dayang terpilih di istana. Perangai Raja Bima keanak-anakan, suka menangis dan merajuk mengenangkan dirinya tidak diangkat menjadi raja. Seri Amar Pahlawan, seorang bangsawan yang licik, memerhati dari jauh. Satu hari, apabila Raja Bima berasa gundah tidak dibenarkan menaiki gajah diraja, Seri Amar Pahlawan menghasutnya secara halus, “Raja Bimalah yang tua. Namun, diperlakukan seperti budak suruhan...” Maka tercetuslah fikiran yang terbayang dalam pemikiran Raja Bima.
Terhina dan marahlah Raja Bima yang telah lama memakan hati. Tanpa berfikir panjang, Raja Bima mencari peluang dan menikam Sultan Bahadur. Seri Amar Pahlawan tiba-tiba muncul di pekarangan istana dan membunuh Raja Bima kononnya menuntut bela dan melindungi sultan. Ratu Hijau, Biru dan Ungu mendapat berita dan segera ke pangkuan sultan.
“Kakanda,” bisik sultan, “Adinda tidak lama lagi akan meninggalkan Pattani dan dunia yang nyata ini. Kakanda mesti terus menjaga Pattani daripada ancaman musuh. Musuh luar itu nyata, tetapi yang lebih bahaya.
Api dalam sekam
Gunting dalam lipatan
Musuh dalam selimut
Kenalilah mereka.
Biru, gunakan ilmu untuk membawa Pattani menjadi kerajaan yang dihormati.
Ungu, perhebatkan bala tentera kita untuk melindungi Pattani.
◇◇ ◇
Ajal tidak dapat diubah saat dan ketikanya walau sedetik awal mahupun lewat. Tepat pada masanya, Sultan Bahadur yang mulia budi pekerti pun menghembuskan nafasnya yang terakhir.
Sebagaimana yang diwasiatkan, tampuk pemerintahan Pattani beralih kepada Ratu Hijau.
Namun, ada hutang darah yang perlu dibayar. Ratu Hijau menjalankan siasatan dan akhirnya mendapat bukti Seri Amar Pahlawan bertanggungjawab ke atas huru-hara di istana. Lalu dihantar pedang diraja menamatkan nyawa penghasut durjana. Barulah hari pertabalan menjadi kenyataan.
Pada hari bahagia, Ratu Hijau bergemerlapan hijau keemasan.
Dokoh di dada, pending di pinggang. Naga di lengan. Sangat bestari, berhias dan berdaulat rupa Ratu Hijau, Ratu Biru, Ungu dan Kuning.
Ratu Hijau segera bertindak mengukuhkan singgahsananya. Perdana menteri cuba berbuat onar, dihukum bunuh serta-merta. Ratu yang fasih pelbagai bahasa adalah seorang perunding mahir dan memerintah dengan tegas sama seperti adindanya, Sultan Bahadur.
Patani pun menjadi pelabuhan yang begitu pesat dan sibuk, sebanyak 1,000 kapal berlabuh setiap hari di jetinya di perairan Pattani yang dalam dan tenang. Pedagang Cina, Belanda, Inggeris, Jepun, Portugis, Siam dan lain-lain terus singgah di Pattani.
Sekutu baharu, Sultan Abdul Ghafur dari Pahang melamar Puteri Ungu diterima baik oleh Ratu Hijau.
Raja Siam cuba memujuk Ratu Hijau supaya mengahwininya dan menghantar pelbagai hantaran. Namun, Sang Ratu Hijau sedar ini semua helah menguasai Pattani, pintu masuk ke China dan dunia luar. Lalu dihantar penari makyung, asyik dan persembahan wayang kulit yang terbaik menggoda Raja Siam seraya mendapatkan maklumat dalaman segala perancangan Raja Siam.
Selamatlah Pattani daripada ancaman.
Bertahun-tahun Pattani diperintah dengan baik. Sungai dialirkan supaya bekalan air berterusan ke Pattani. Pelabuhan ditambah limbungan kapal. Madrasah dan pusat pengajian ditambah. Perhubungan dua hala dengan raja-raja dunia Melayu amat berharga.
Ratu Hijau sendiri tidak kahwin ataupun beranak. Akhirnya, tibalah masa dan ketika bertukar tampuk kerajaan. Ratu Hijau gering seketika dan terus hilang dari dunia yang nyata. Pattani berkabung selama 100 hari. Seri Negara, Tuk Buk dan Nang Liu-liu dibunyikan 40 hari berturut-turut.
Tiada seorang pun lebih berduka daripada Ratu Biru, Puteri Ungu dan Ratu Kuning. Namun, Ratu Biru terpaksa menguatkan pertahanan negara. Pahang, Johor dan kesemua sekutu Pattani menghantar rombongan menghadiri pertabalan diraja. Khabar angin melimpah-ruah bagaimana Siam akan mengambil kesempatan.
Perdagangan dengan kerajaan China, Ryukyu dan Feringgi Melaka ditingkatkan. Malah kapal-kapal dari Belanda juga singgah di Pattani. Tidak disangka-sangka, rombongan dari Siam melamar Ratu Kuning tiba. Ratu Biru mencari helah memanjangkan tempoh pertunangan adiknya, Ratu Ungu Sultanah Pahang. Lebih baik menyambung silaturahim dengan kesultanan Melayu terutamanya Johor atau Riau Lingga.
Tetapi kemudian Sultan Ghafur meninggal dunia selepas sakit yang lama. Ratu Ungu membuat keputusan untuk kembali ke Pattani. Ratu Ungu berasa lega di Pattani kerana keadaan di Pahang begitu tegang setelah kemangkatan Almarhum sultan dan suami tercinta. Malangnya, setelah sebulan dua di Pattani, kakanda Ratu Biru pula jatuh sakit. Dalam masa seminggu sahaja dia meninggal dunia dan Ratu Ungu ditabalkan sebagai pemerintah yang bergelar Paduka Syah Alam, ratu pahlawan dengan pasukan pengawal yang mantap lagi bestari dikenali sebagai Rentaka Paduka.
◇◇ ◇
Kepulauan Melayu yang dahulunya aman damai dan permai semakin menjadi perebutan antara Belanda dengan Portugis. Ratu Ungu sebagai Sultanah Pahang mempunyai kemahiran yang besar dalam percaturan kerajaan. Sebagai Paduka Syah Alam Pattani,
Ratu Ungu mengekalkan hubungan baik dengan Portugis apabila Siam berjinak dengan Belanda.
Dengan beraninya Paduka Syah Alam memutuskan pertunangan Ratu Kuning dengan Apya Deca dan ditunangkan dengan Yamtuan Muda Johor, Raja Muda. Paduka Syah Alam kini mempunyai hubungan darah kuat bersama Pahang dan Johor untuk menentukan bahawa Pattani akan kekal sebagai negeri bebas daripada pemerintah Siam.
Malah Paduka Syah Alam menghantar utusan mengecam Phya Sri Worawong sebagai perampas takhta. Oleh itu, Pattani tidak lagi mengiktiraf Siam dan berhenti menghantar ufti emas tanda persa- habatan.
Siam murka dengan segala tohmahan, membalas segera dengan menghantar 30,000 tentera ke Pattani, bakal disertai oleh Belanda dan Ligor. Namun, Belanda tidak pernah tiba. Paduka Syah Alam bersedia. Pattani dibantu Pahang dan Johor. Oleh itu, tentera Siam telah dikalahkan.
Dirgahayu Pattani!
Petikan dari Lipur Lara Nusantara...
https://www.thepatriots.store/store/books/lipur-lara-nusantara-ninot-aziz/
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : [email protected]
Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA