Ilmu Bedil, Gobek Api, Ilmu Tib - warisan Dunia Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 15 Aug 2022 08:00 AM

ILMU BEDIL, GOBEK API, ILMU TIB - WARISAN DUNIA MELAYU 

 

 

 

DI BULAN KEMERDEKAAN ini, kita terus menyelami khazanah warisan  Dunia Melayu. Jika minggu lepas kita mengenali wira seperti Dol Said dari Negeri Sembilan, Dato Maharaja Lela dari Perak dan Rentap dari Sarawak, minggu ini kita membawa ilmu kearifan tempatan yang sebenarnya mencetuskan daya penciptaan yang penting untuk pemodenan dunia.

 

Khazanah warisan sejarah Dunia Melayu sesuatu yang tinggi nilainya, bukan saja dari segi ilmu malah dalam memperkasa tamadun dan bangsa.

 

Penguasaan bahasa yang baik melalui kesusasteraan, persuratan dan kitab-kitab menghasilkan satu sistem pemuliharaan ilmu Dunia Melayu.

 

Ini terbukti berkesan dengan kehadiran lebih 10,000 kitab dan persuratan Manuskrip Melayu yang disimpan di lebih 160 pusat ilmu museum dan perpustakaan tersohor di dunia kebanyakannya ditulis dalam jawi. Ini dapat dilihat dalam kehebatan hukum kanun, pelayaran, ilmu senjata atau bedil dan bermacam-macam lagi.

 

Malangnya, kita gagal mempertahankan tulisan jawi yang hilang dari kurikulum kita apabila digantikan dengan tulisan rumi. Sepatutnya penulisan jawi terus diajar supaya anak bangsa kita boleh mengenal manuskrip tinggalan nenek moyang mereka.

 

Alhamdulillah, Manuskrip Melayu yang dipelihara dan disalin di bawah titah istana kekal hingga ke hari ini dan diiktiraf oleh UNESCO seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah dan Kitab Bedil. Tiga ilmu Dunia Melayu lama yang akan kita lihat adalah:

 

  1. Ilmu Bedil
  2. Gobek Api
  3. Ilmu Tib

 

 

hikayat
                MANUSKRIP ILMU BEDIL

 


Ilmu Bedil

Keunggulan ilmu peperangan Melayu tercatat dalam pelbagai manuskrip Melayu seperti Syair Perang Siak, Hikayat Patani dan Sulalat-us Salatin yang menyebut pelbagai jenis senjata api dan meriam seperti meriam, serbuk api, lantaka dan istinggar.

 

Terbaru adalah pengiktirafan Kitab Bedil sebagai warisan dunia oleh UNESCO pada tahun 2016.

 

Datuk Dr Haji Awang Sariyan telah mengatakan dalam permohonan Dewan Bahasa dan Pustaka ke UNESCO untuk mengiktiraf Kitab Bedil bahawa,

 

“Kitab Ilmu Bedil (MS 101) atau Kitab Senjata Tradisional, sebuah manuskrip Melayu yang dianggap sebagai genre sastera tradisional yang ditulis pada pertengahan abad ke-19 yang mengandungi pengetahuan tradisional yang berharga tentang persenjataan yang merangkumi pembuatan senjata api tradisional, senjata api, tembakan dan teknik menembak, kedudukan, kemahiran menembak, tidak tersilap, dan peluru.

 

Manuskrip ini terbukti sebagai dokumentasi sastera etno-sejarah terawal, warisan dan rujukan penting mengenai teknologi, ilmu dan budaya yang dipelajari dan diaplikasikan oleh masyarakat Melayu awal dari tamadun besar dunia khususnya Eropah dan Islam. Hubungan teknologi dan kejuruteraan ke alam Melayu memberikan impak yang besar kepada budaya khususnya dalam memperkaya falsafah dan epistemologinya serta klasifikasi dan taksonomi korpus ilmu baharu.”

 

Di Perpustakaan Negara pula, ada beberapa naskah manuskrip yang boleh dirujuk. MSS 85.48 menunjukkan kaedah membuat serbuk api dengan sukatan dan jumlah yang diperlukan. Sementara itu, MSS 1922 merekodkan  petua menembak istanggar, apabila menarik picu atau menikam seseorang serta bacaan ayat yang perlu.

 

Sulalatus al-Salatin MS 86 mengisahkan kebangkitan dan kejatuhan Kesultanan Melaka. Sebenarnya karya ini turut memberikan gambaran  penggunaan senjata api dan senjata tradisional seperti meriam, istinggar, keris, pedang, lembing, anak panah, dan perisai dalam pertempuran menentang penjajah Barat dan dalam perang saudara.


 

hikayat

 


Dari Hikayat Patani, meriam terkenal — Seri Negara, Tuk Buk dan Mahalela menjadi lambang kehebatan kerajaan Patani yang terus diserang Siam sehingga Meriam ini dirampas sebagai bukti kekalahan Patani dan sehingga kini dipamerkan di kementerian pertahanan Thailand.

 

Malah terdapat pengiktirafan tentera Sultan Mahmud Shah sudah bersenjata api, malah ada ciptaan kita jauh lebih baik daripada Portugis dan setanding Jerman. Hasil petikan catatan penulis Manual de Faria Y Souza menyebutkan senjata api buatan Melaka tidak dapat ditandingi walaupun meriam buatan Portugis!

 

Thomas John Newbold dalam tulisannya, Political and Statistical Account of The British Settlements In The Straits Of Malacca, pula berkata, 'Tidaklah pelik melihat pendekar Melayu lengkap bertanjak dan berpakaian busana Melayu bersenjatakan keris dan istinggar.'



Gobek Api

Bangsa Melayu ini suka memerhati alam dengan terperinci dan dari pemerhatian ini, mereka akan mencipta alat-alat yang membantu mereka dalam kehidupan seharian ke laut, ke hutan belantara dan dalam aktiviti seharian masyarakat.

 

Gobek api adalah satu alat yang digunakan dari kurun ke-17 untuk menghidupkan api. Ia diperbuat daripada kayu atau tanduk berhias perak dan emas. Yang menariknya ianya menggunakan prinsip pemampatan udara yang dimampatkan melalui tekanan omboh dan akan menghasilkan kepanasan suhu tinggi sehingga boleh membakar sumbu seperti kekabu yang sangat mudah terbakar.

 

Nampak mudah tetapi pada zaman itu belum ada konsep pemetik api mahupun prinsip pemampatan udara melalui tekanan omboh untuk menghasilkan api.

 

Pada kurun ke-17 dan 18, bertambah ramai saintis dan penkaji Eropah mendapat akses pada barangan dari timur mendapat perhatian mereka. Pada kurun ke-19, gobek api adalah salah satu alatan dikaji saintis Eropah. Berikutan gobek api, alat lain tercipta seperti mancis (Abad ke-19), pemetik api Zippo (abad ke-20 dan fire-piston (Abad ke-20).


 

gobek api
                                      Gobek Api

 

Ilmu Tib

Saya dibesarkan dalam suasana kampung dan memang biasa dengan perubatan tradisional dari yang paling mudah hingga ke perubatan yang lebih serius. Contohnya, masyarakat Melayu biasa meredakan sakit pening dan luka kecil hingga yang bernanah dengan kaedah tradisional. 

 

Adat berpantang juga adalah sebahagian dari perubatan biasa kami lalui apabila ada kaum keluarga yang bakal bersalin. Dari menyambut bayi hingga adat penjagaan ibu dan anak semuanya masih saya ingat sampai hari ini.

 

Pada hakilkatnya, ini kelihatan sebagai sesuatu yang menjadi amalan tradisi. Namun dunia telah mula memberikan perhatian kepada ilmu yang diwarisi turun temurun orang Melayu.

 

Pada  tahun 1886, sebuah buku berjudul, The Medical Book of Malayan Medicine diterbitkan menceritakan tentang ilmu perubatan orang Melayu. Banyak istilah dalam bahasa Melayu menunjukkan orang Melayu amat prihatin dan cuba menyembuhkan penyakit contohnya demam, muntah  darah, asma dan batuk.

 

Kaedah memahami masalah pesakit, penawar yang disyorkan serta pantang larang menunjukkan ubatan tradisi ini mempunyai cara tersendiri dalam mendalami ilmu perubatan.


 

kitab tib

 

Hampir kesemua kandungan di dalam Kitab Tib Melayu merujuk kepada perubatan, ilmu tabib serta penerangan mengenai penyakit dan ubat. Dan terdapat juga kearifan Dunia Melayu seperti Ilmu Tilik, Ilmu Falak, Ramalan Mimpi dan Ilmu Mantera.

 

Allahyarham Prof Harun Mat Piah mencungkil rahsia Kitab Tib yang mengandungi ilmu perubatan tradisional Melayu. Terdapat sekitar 80 buah manuskrip lama ini direkodkan di seluruh dunia di mana separuh darinya disimpan di Perpustakaan Negara.

 

Kini, Kitab Tib diangkat sebagai Seni Warisan Negara di bawah kategori ‘Warisan Bahasa dan Persuratan’ kerana kepentingannya dari sudut warisan tidak ketara.

 

Kearifan Dunia Melayu

Ada banyak lagi ilmu Dunia Melayu yang perlu dipelopori. Walaupun ilmu dan teknologi hari ini mungkin telah jauh ke hadapan, namun kita tidak boleh ketepikan ilmu lama kerana ini membuktikan kebolehan bangsa terdahulu.

 

Tambahan pula mungkin ada lagi ilmu yang tersirat yang masih belum dikaji mendalam yang dapat memanfaat manusia sejagat.

 

Pucuk pangkalnya, pengetahuan ini penting supaya jati diri anak bangsa hari ini dapat berbangga dengan pencapaian kita sebagai sebuah bangsa yang belayar mengelilingi dunia dan mempunyai daya cipta dan keindahan sastera yang hebat! - DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : [email protected]
 
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA