Ismail Sabri - awas jelmaan de Sequiera, Rui de Araújo, Ninna Chattu, Pedagang Wangkang | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 21 Aug 2021 08:55 AM

Ismail Sabri - awas jelmaan de Sequiera, Rui de Araújo,  Nina Chattu, Pedagang Wangkang

 

 

SEJUJURNYA minggu lepas, pemikiran dibuai pelbagai perasaan gundah gulana. Keadaan negara tidak tenteram dan pergolakan politik berterusan. Tidak dapat tidur lena memikirkan negara di dalam cengkaman pandemik dan tampuk pemerintahan kucar-kacir. 

 

Lima ratus sepuluh tahun dulu pada tanggal 15 Ogos 1511, Melaka gugur dikalahkan Feringgi durjana dan bermulalah zaman penjajahan. Pembelotan pelbagai pihak menjadi sebab utama kejatuhan Melaka. Datuk Mendaliar membuat ankara. Rasa tidak puas hati di antara pembesar negeri berleluasa. Raja menurut kata Tun Fatimah yang bijaksana. 

 

Walau demikian, Feringgi tidak terus menyerang Melaka. Mula-mula Diego Lopez de Sequiera tiba di Melaka.  Setelah ditangkap dan dipenjarakan, ia dapat melepaskan diri. Tawanan yang tertinggal di Melaka, Rui de Araújo, dapat menghantar pesanan melalui pedagang di Melaka, Nina Chatu. Araújo dapat memberikan anggaran kekuatan tentera Sultan, serta strategiknya kedudukan dan kemewahan Melaka. Sedikit demi sedikit, ‘data’ dikaji dan dikutip oleh Feringgi. 

 

Dalam pelayaran ke Melaka dari Infia,  Alfonso Albuerqueque masih mencari maklumat untuk membantunya menjatuhkan Melaka. Di Sumatera dia mendapat berita keluarga Bendahara Melaka telah dibunuh.

 

Albuquerque sampai di Melaka 1 Julai 1511. 

 

Namun pelbagai tipu helah berlaku. Sultan Mahmud cuba melambatkan serangan dan pelbagai perutusan ‘negotiation’ dibuat. Susah untuk Portugis melanda di darat. 

 

Pedagang Cina Wangkang membawa Feringgi lalu di bawah Kota Jambatan dan akhirnya selepas bertempur, Melaka jatuh pada tarikh berdarah. 


 

Alfonso Albuerqueque

 

 

 

Tiada gunanya pendekar dan satria 20,000 orang, meriam rentaka dan ihstinggar lebih 4,000 dan segala kekayaan emas dan harta benda di Melaka ketika itu. 

 

Namun, kita seolah-olah lupa walaupun Melaka jatuh, kerajaan Raja-Raja Melayu bangkit dari keturunan Sultan Mahmud sendiri, terus berpayung iram di Perak melalui Raja Muzaffar dan kemudian di Johor melalui anak Tun Fatimah, Raja Allaudin. Tak lupa kelestarian kerajaan Melayu di Pattani, Negeri Serendah Sekebun Bunga, Pahang, Terengganu, Kedah jua. 

 

Jika dikaji secara mendalam, penjajahan seluruh negara bermula secara mutlak pada tahun 1824 apabila secara halus bertopengkan diplomasi, British mengambil alih Tanah Melayu melalui Perjanjian Inggeris-Belanda. Sebelum campur tangan British, semua urusan pentadbiran Tanah Melayu masih diuruskan oleh Raja-Raja Melayu dengan bantuan pembesar-pembesar negeri. 

 

Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan penentang penjajah seperti Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Datuk Maharajalela, Rosli Dhoby dan tokoh-tokoh wira dan srikandi yang lain bangkit memperjuangkan kebebasan tanah air ini. 

 

Namun kita terus dilaga-lagakan oleh politik dunia, mainan ekonomi dan wayang diplomasi yang terus melanda. 

 

Akhirnya, kita merdeka. Tanggal 31.8.1957. 
 

 

merdeka

 

 

Pada dekad selepas kemerdekaan, kita pun sibuk membentuk negara baru. Identiti baru. Perlembagaan baru. Seolah-olah kita tiada itu semua sebelum British tiba di Malaya. Pelbagai cabaran dihadapi. Kita diayun mimpi kerana nampak seolah-olah begitu indah Malaysiaku. 

 

Teringat zaman memenangi Thomas Cup di Kuala Lumpur pada 16 Mei 1992. Wah, kita berpeluk, bersorak, bersatu hati sejiwa sebangsa tiap kali pasukan MALAYSIA beraksi. Misbun Sidek, Foo Kok Keong, Cheah Soon Kit/Soo Beng Kiang, Razif/Jalani Sidek dan Kwan Yoke Meng berhempas pulas sebagai wira bangsa…Satu Malaysia terasa bagai juara dunia pada keesokkan harinya. 

 

Manakah semangat dan kejituan itu? 

 

Lihatlah majlis penutupan Sukan Commonwealth 1998 ini dengan persembahan budaya bangsa, alunan lagu Cindai Datuk Siti Nurhaliza mengajak kita berdiri megah ke pentas dunia. Segala keindahan milik kita bersama pada ketika itu. 

 

Di manakah kita hari ini?

 

Kalau kita cintai negara kita, berpegang pada kepercayaan agama serta setia pada identiti budaya dan bangsa secara menyeluruh, mempunyai jati diri dan semangat membangunkan tanah air, Insya-Allah pasti ada sinar satu hari nanti. 

 

Diucapkan tahniah pada Perdana Menteri ke-9, Datuk Seri Ismail Sabri. Namun, ingatlah. Kedudukan itu adalah amanat. Besar tanggungjawabnya. Pandang dan lihatlah ‘Portugis’, ‘ Diego Lopez de Sequiera, ‘Rui de Araújo’,  ‘Nina Chattu’ dan ‘Pedagang Wangkang’ di sekeliling. 

 

 

ismail sabri

 

 

Bangsa Melayu bangsa bermaruah, ada jati diri, beragama dan berbudaya.  Jangan kita gadaikan nilai-nilai itu menjual maruah sebagai budaya demi kepentingan diri.

 

Pada bulan Merdeka ini, kita mestilah membangunkan nusa, bangsa dan negara. Hadapi musibah dengan tabah. Jangan menangguk di air keruh. 

 

Carilah kedamaian untuk membangunkan negara tercinta. 

 

Memetik kata penulis seperjuangan Tun Suzana@ Suzana Hj Othman

 

'‘Dan jangan sewenang-wenangnya menilai, menghukum serta merobek maruah bangsa ini atas elemen fitnah dan tohmah. Ambil iktibar dan tauladan daripada kisah sejarah mana yang patut, namun beradablah dalam kajian dengan adab seorang ilmuwan yang berwibawa mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan dalam disiplin ilmu yang hakiki. Kepada Allah kita kembali dan bertanggungjawab atas segala amal perbuatan.’'

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : [email protected]

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA