Jadikan Kampung Baru pusat pelancongan negara | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 07 Aug 2023 07:38 AM

Jadikan Kampung Baru pusat pelancongan negara

 

 

MINGGU ini, kami sekeluarga makan tengahari di Restoren Gerak 23, Kampung Baru.  Restoren sesak dengan warga kota yang ingin hidangan makanan warisan Melayu Kampung Baru kaya dengan sejarah, seni dan budaya. Ikan bakar, masak lemak siput, masak lemak pucuk ubi,  pajeri nenas dan terung,  sambal terung, sambal, ulam-ulaman semuanya ada. Ada juga tiga empat peminta sedekah lalu dari meja ke meja. 

 

Memang banyak tempat menarik seperti Restoren Gerak 23, Warung Cik Senah, yang mempunyai pemandangan indah Menara Berkembar Petronas pada waktu malam yang mengkagumkan, dan juga restoran seolah-olah tersembunyi dari pandangan seperti Restoran Samudera Patin - permata kota semuanya. 


 

ninot aziz
Seorang pelancong merakam gambar pintu gerbang Kampung Baru. - Gambar ihsan Magical Kampung Baru

 


Namun, Kampung Baru seolah-olah bergerak secara auto, ada beberapa sudut kian malap, ada yang kembali ceria hanya untuk segelintir mereka yang benar-benar mengenali Kampung Baru - tidak diendahkan mereka yang lalu-lalang.

 

Tidak seperti kawasan Sentul, Masjid Jamek di tepi sungai dan Bukit Bintang serta kawasan lain yang mendapat suntikan modal untuk menaik taraf kawasan itu.

 

Pastinya diharap pihak berkuasa dan masyarakat dapat bersama-sama menjadikan kampung ’terakhir’ di kotaraya ini menjadi jaguh urbanisasi Kuala Lumpur yang mementingkan seni dan warisan. Sudah tiba masanya, 

 

CADANGAN PUSAT PELANCONGAN NEGARA

PELANCONGAN BERTANGGUNGJAWAB atau ‘Responsible Tourism’ memastikan sesebuah komuniti dapat membangunkan kawasan masing-masing dengan baik sebagai komuniti yang lestari dan sejahtera.

 

Pada masa yang sama, ia dapat menjadi destinasi unik untuk pelancong dan pelawat, yang mengambil berat tentang alam sekitar dan tempat yang mereka lawati.

 

KELESTARIAN alam sekitar, seni dan budaya, warisan dan sumber balam mesti dipelihara dan menjadi faktor utama apabila ingin menggalakkan aktiviti pelancongan yang dipacu komuniti.

 

Kampung Baru dapat memenuhi segala trend pelancongan ini dan mencerminkan kewibaan dan keunikan seni warisan budaya Melayu.


 

ninot aziz

 

ninot aziz

 

ninot aziz

 


Inovasi buat Kampung Baru

1. Kampung Baru sebagai pusat tarikan pelancong utama bertemakan Warisan Budaya Melayu satu impian yang sudah disebut-sebut sekian lama. Kita boleh mementingkan amalan Pelancongan Bertanggungjawab yang mengawal amalan kelestarian seperti tiada penggunaan plastik pakai buang, pengurusan sisa yang betul, kawasan utama hanya membenarkankan pejalan kaki - ‘no cars zone 24/7’ (jadikan bangunan dan ruang lama sebagai kawasan tempat letak kereta di pinggir Kampung Baru)

 

2. Wujudkan ‘homestay’ yang cantik - dengan penambahbaikan cat, naik taraf pencahayaan, landskap dan pelindungan pokok-pokok asal serta laluan pejalan kaki dan basikal serta gazebo istirehat.  Pelaburan terbaik adalah melalui  bantuan 'rumah kampung' terpilih sebagai homestay dengan latihan peningkatan kemahiran dalam hospitaliti dan kursus digitalisasi agar komuniti setempat mahir  untuk menjalankan aktiviti ekonomi.  

 

3. Menubuhkan Hab Dunia Melayu dengan pusat aktiviti tradisional, bengkel pembuatan batik, anyaman, pembuatan kueh, tembikar tradisional dan seni lain

 

4. Menubuhkan muzium sejarah Kampung Baru

 

5. Menubuhkan pusat pembelajaran seni persembahan Melayu termasuk tarian, gamelan, angklung dan teater kerana di sinilah artis bertemu pada tahun 50-an 60-an dan 70-an seperti Ismail Bakti dan anaknya Pak Tharuwat Ismail Bakti mewujudkan pasukan tarian pertama pada zaman awal Kuala Lumpur. Inilah tokoh yang membawa kumpulan tarian Asyik dari Kelantan ke Kampung Baru terlebih dahulu sebelum Kompleks Budaya ditubuhkan.

 

6. Memulakan permohonan pengiktirafan UNESCO terhadap Kampung Baru sebagai tapak warisan seperti Melaka dan Georgetown


 

ninot aziz

 

tnb

 

tnb

 

tnb


IMPAK KEPADA INDUSTRI PELANCONGAN

1. Destinasi pelancongan yang dipacu komuniti (contoh di Lenggong) dengan homestay menawan yang disokong oleh kerajaan (contohnya di Kg Boyan, Kg Gersik dan Kg Surabaya, Kuching) dapat memperkasa aktiviti pelancongan setempat.

 

2. Aktiviti ekonomi yang berkembang pesat untuk penduduk tempatan dalam seni, kraf, makanan & minuman, perhotelan serta ‘homestay’.

 

3. Raikan kehidupan tidak terkejar-kejar di Kampung Baru - muzik, tarian dan hidangan makan malam mencipta suasana.

 

4. Ruang seni buat khayalak awam.

 

5. Kebanggaan masyarakat yang kukuh dalam menjaga alam sekitar Kampung Baru dan status benteng seni dan budaya Melayu.

 

CADANGAN PELAKSANAAN

1. Dapatkan pemimpin semeja contohnya

a. DBKL
b. MOTAC
c. KOMUNITI
d. Pemilik rumah rumah warisan 

 

2. Bersetuju garis masa utama dan faktor kejayaan kritikal perancangan 

 

3. Wujudkan Bajet 2024, 2025, 2026 untuk projek ini

 

4. DYMM Seri Paduka  Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai penaung dan Majlis Raja Raja Melayu memantau pemuliharaan seni dan budaya Melayu.

 

Satu cadangan bernas dan impian murni memulihara, memelihara dan memperkasa Seni, Budaya dan Warisan Alam Melayu. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb