Jika Van Gogh melukis pepohon tamar di Gaza, apakah keadaan di Palestin hari ini mungkin berbeza? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 23 Oct 2023 07:00 AM

Jika Van Gogh melukis pepohon tamar di Gaza pada masa hayatnya, apakah keadaan di Palestin hari ini mungkin berbeza?

 

 

Santai-santai di London

Kembara demi memperluaskan jaringan Hikayat Fandom di persada antarabangsa bermula dengan penerbangan kami  ke London. Kami mengambil peluang menziarah anak sulung yang bekerja di sana.

 

Setelah penerbangan selama 13 jam, kami tiba pada waktu subuh di Heathrow,  dan berehat seketika selama beberapa jam. Kemudian Iman membawa kami ke ‘village’ berhampiran pangsapurinya. 

 

Di sana kami melawat kedai buku kecil ‘Daunt Books’ dan terjumpa buku bertajuk AFRICANA yang sangat menarik. Ini mencetuskan idea untuk penerbitan tahun hadapan. InsyaAllah, jika ada rezeki, ia akan menjadi kenyataan. 

 

Selepas itu kami berjalan sekitar taman botani Hampstead Heath lebih kurang dua jam lamanya! Ini pengalaman berbeza dari lawatan kami sebelum ini yang lebih tertumpu pada pusat pelancongan seperti Trafalgar Square, Big Ben, Harrods dan Notting Hill. Bersiar-siar ke taman di utara London menjanjikan pemandangan indah seluruh bandar London dari Primrose Hill. 

 

Pada masa yang sama, jika ke London, British Museum menjadi salah satu destinasi wajib. Kali ini, kami hanya singgah sekejap untuk membeli sedikit cenderahati dan buku-buku kerana Galeri Al-Bukhary sedang dibaik pulih. Apabila pulang dari Amsterdam nanti, bolehlah kembali melawat galeri tersebut. 

 

 

parafrasa

 

 

Kekecohan di Frankfurt

Pada mulanya, agak menghampakan peluang ke Frankfurt dirundung pelbagai kontroversi pihak pengurusan Frankfurter Buchmesse. Tahun 2023 yang merupakan ulang tahun ke-75 temasya buku terbesar dunia itu. Tetapi, kenyataan yang dibuat FBM tentang konflik Gaza-Israel adalah mendukacitakan, dan kami semua sehati sejiwa mengundurkan diri dari FBM. 

 

Namun, pihak MBKM mengambil langkah bijak memberi taklimat pada semua penerbit dan penulis buku yang telah tiba di Frankfurt. Alhamdulillah, kami semua berkumpul di Konsulat Jeneral Malaysia dan berkongsi pendapat serta khabar berita. Kami dapat berkenalan dengan penerbit baru Malaysia, dan juga bertemu seorang dua kenalan lama di Frankfurt. 

 

Oleh kerana tiada lagi aktiviti rasmi, kami  pun mengambil keputusan memendekkan masa di Frankfurt dan menuju ke Amsterdam untuk sehari dua. 

 

Amsterdam, Tercetus Inspirasi

Saujana luas mata memandang
Pucuk dicita ulam mendatang
Bagai bulan di tapak tangan

 

Telah lama berita keindahan Amsterdam memutikkan rasa ingin ke kota terusan air itu. Di Amsterdam, museum merupakan salah satu tarikan utama. Oleh itu, kami memilih untuk tinggal di Conscious Hotel Museum Square yang berdekatan dengan semua museum terpenting di Amsterdam.

 

Hotel ini amat mementingkan kelestarian dalam perkhidmatannya.  Dari air minuman dan makanan ‘home-cooking’ yang dihidangkan, serta kawasan taman yang santai, hotel ini merupakan pengalaman hotel yang paling mesra.  

 

Kawasan Museum Square yang berdekatan menempatkan pelbagai museum iaitu Van Gogh Museum, Rikjsmuseum, Anne Frank Mueseum,  Moco Museum  dan lain lain lagi. 

 

Tiket untuk ke Museum Van Gogh pula telah habis terjual sehingga bulan November! Begitu popular Vincent Van Gogh menjadi kebanggaan di sini. Tempat yang dilukis Van Gogh menjadi pusat pelancongan yang terkenal seperti Arles dan Saint Remy.

 

 

iktisad
Lukisan karya Vincent van Gogh berjudul "Cafe Terrace at Night in Arles" (1888)

 

 

Ahhhh, bayangkan jika Van Gogh melukis Semenanjung Gaza di zamannya. Mungkin Israel dikecam kerana tindak tanduk mengganas. Mungkin kita tidak melihat kekejaman dan ketidak adilan yang berleluasa hari ini. Mungkin…

 

Pengalaman menaiki bot di terusan air Amsterdam memang antara cara terbaik untuk mengetahui serba sedikit tentang sejarah negara Belanda ini.

 

Terdapat lebih 1,800 laluan terusan air di Amsterdam. Bandar pusat perdagangan ini begitu cantik dan ternyata kaya dengan hasil yang dikaut dari zaman penjajahannya ke atas Indonesia.

 

Gudang-gudang lama tempat menyimpan lada hitam anntara fakta yang dikongsikan semasa sesi bot pelancongan. Lada hitam dikatakan lebih mahal dari emas dan  perak. 

 

Amsterdam begitu cantik dan jika kita renungkan sebentar, agak terkejut juga apabila kita sedari hasil kekayaan yang terhasil pada kurun ke-17 dan 18 itu memang terhasil dari sumber perut bumi Sumatera, Jawa dan sebagainya. Begitu menakjubkan! 

 

 

parafrasa
Sejarah Maritim Belanda di Rijksmuseum

 

parafrasa

 

 

Begitu juga sebenarnya Empayar British. Ia dibangunkan dari segala sumber terpenting Tanah Melayu. Timah. Getah. Emas. Dan bermacam-macam lagi.  

 

Apabila kita melihat negara dunia barat berdiri gah di atas kekayaan dan kederat anak bangsa kita, kini berjaya pula menjadi pusat pelancongan terkemuka yang kita agong-agongkan, kita cuma boleh bayangkan apa sebenarnya nilai kekayaan yang telah dibawa mereka ke negara mereka. 

 

Telah tiba masanya kita bangkit semula menunjukkan jati-diri, kewibawaan dan kesungguhan kita membina negara. Janganlah biarkan kita dijajah semula, dari segi ekonomi, dari segi cerdik pandai, dari segi kesusasteraan, dari segi budaya. 

 

Lihatlah saudara kita di sana. 

 

Jangan. Dijajah. Lagi.   - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb