`Keagungan sesebuah negara terletak juga pada seni budaya' - Tun Dr Ismail | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 04 Sep 2021 08:58 AM

`KEAGUNGAN SESEBUAH NEGARA TERLETAK JUGA PADA SENI BUDAYA' - TUN DR ISMAIL

 

 

NEGARAWAN ulung Tun Dr Ismail Abdul Rahman pernah berkata, “Keagungan sesebuah negara bukan sahaja terletak pada sejarahnya tetapi juga seni dan budaya masyarakatnya.”

 

Bersempena detik sejarah kemerdekaan negara, Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman telah memberi perhatian khusus terhadap semua aspek hari bersejarah itu, dari perhimpunan di Padang Merdeka tepat jam 12 tengah malam untuk menurunkan bendera Union Jack, ke perhimpunan  di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957 dan upacara pertabalan Yang di-Pertuan Agong, pada 2 September 1957 di Dewan Tunku Abdul Rahman di Jalan Ampang.

 

Rombongan penari dan pemuzik Hj Ismail Bakti dijemput khas oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Kumpulan kesenian dan kebudayaan dari Kelantan diketuai oleh Hj Ismail Bakti itu telah mengambil masa seminggu untuk sampai ke ibu negara Kuala Lumpur untuk acara gilang gemilang. 20 penari dan 12 pemuzik menaiki kereta api.

 


 

hikayat
Tharuwat Ismail Bakti

 

 

 

Alat muzik dan busana tarian dibawa dengan bas. Hj Ismail dan anaknya Tharuwat yang berumur 12 tahun (seorang koreografer dan penari hebat membuat persembahan seluruh dunia pada tahun 70an dan 80an) pada masa itu mengambil jalan darat menyeberangi 26 batang sungai untuk sampai ke Kuala Lumpur.

 

Tarian Asyik dari Kelantan dipersembahkan buat julung kalinya di luar negeri Kelantan.

 

Di Istana Negara. Pada 31 Ogos 1957. Hari Merdeka.

 

Tarian Asyik yang dipersembahkan di Istana Negara merupakan persembahan indah turut disajikan juga di kediaman Tunku pada keesokan harinya untuk duta-duta dan tetamu kehormat luar negeri.

 

 

 

asyik
Penari utama Kumpulan Asyik 1957

 

 

Dan pada 5 September, tarian itu dipersembahkan pula untuk orang ramai di Taman Tasik Perdana. Sehingga saat itu, tarian  dan muzik tradisi adalah lambang seni dan budaya yang halus dikhaskan untuk golongan istana. Terdapat juga iringan orkestra – gamelan, rebab dan seruling atau serunai dengan satu set gong dan gendang, antara lain disimpan dan dikawal selia oleh  ketua adat istiadat istana.

 

Dari saat itulah, kesenian dan kebudayaan terus menjadi sebahagian penting  identiti negara kecil Persekutuan Tanah Melayu.

 

Pada masa yang sama, Tunku juga telah meletakkan penerimaan dunia terhadap Persekutuan Tanah Melayu sebagai ‘prioriti’ dan Malaya perlu diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN) secepat mungkin.

 

Pada 5 September 1957,  Tun DrIsmail telah berangkat ke Amerika Syarikat dengan memegang status Menteri Berkuasa Penuh Tanpa Jabatan sekaligus sebagai Duta Besar Tanah Melayu pertama ke Amerika Syarikat. 

 

Pada saat Persekutuan Tanah Melayu diterima sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 17 September 1957, Tun Dr Ismail Abdul Rahman, selaku Duta Besar Tanah Melayu pertama telah memasuki Dewan Perhimpunan Agung PBB berbusana baju kebangsaan iaitu berbaju Melayu, bertanjak dan tersisip keris di pinggang untuk memberikan ucapan sulung di perhimpunan itu.

 

 

tun dr ismail
Tun Dr Ismail merupakan orang Melayu pertama menyampaikan ucapan di pentas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 17 September 1957

 

 

Beliau menganggap saat kemasukan rasmi ke UN begitu gemilang yang mesti diabadikan lengkap berbusana Melayu mencerminkan peradaban Negara dan Bangsa. Itulah juga kali pertama seorang delegasi ke PBB dibenarkan membawa senjata ke Dewan ke perhimpunan itu.

 

Begitu penting budaya kita dalam keterampilan identiti Negara.

 

Tun Dr Ismail berkata, dalam ucapan sulungnya di PBB,

 

We suggest that, to a small nation such as ours, as to all small nations, it is in the moral strength of our people that we shall find the inspiration to shoulder the responsibility which membership in the United Nations bestow upon us. Our Prime Minister, Tunku Abdul Rahman, declared, in the Proclamation of Independence for the Federation of Malaya, that the Federation of our eleven States, with God’s blessing, shall be forever a sovereign, democratic and independent State founded upon the principles of liberty and justice and ever seeking the welfare and happiness of its people and the maintenance of a just peace among nations.

 

Our King, at the opening of our Parliament, had this to say:

 

“It is the intention of my Government to be on the most friendly terms with all countries in the world. My Government stands for peace, freedom and the well-being of every country of the world.”

 

Continuing, His Majesty further said:

 

“My Government will adhere to the principles embodied in the Charter of the United Nations and, if the Federation is elected a Member of that Organization, my Government intends that this country should play its part within the bounds which limited resources must dictate in the work of the many international bodies which operate under the auspices of the United Nations”.

 

Dalam meniti tahun ke-64 kemerdekaan, tibalah masanya kita memberi keutamaan kepada kesenian dan kebudayaan sebagai khazanah Negara yang tidak ternilai. Tokoh Negara, Bapa Kemerdekaan Tunku dan negarawan Tun Dr Ismail begitu faham kepentingan Kesenian dan Kebudayaan dalam membentuk identiti negara. Hari ini, kita telah tersasar dari haluan ini seolah olah lupa bahawa jatidiri warga negara amat penting untuk menggerakkan negara ke arah kegemilangan yang dicari.

 

Elemen kesenian dan kebudayaan merupakan tunggak segala usaha mencapai status negara maju yang menekankan aspek identiti nasional yang utuh bagi memupuk semangat perpaduan dan patriotisme selaras dengan 17 Matlamat Kelestarian Pembangunan atau SDGs yang dikemukakan PBB pada September 2015, di New York.

 

Semoga kesenian dan kebudayaan terus mendapat tempat yang dimuliakan dalam membentuk negara tercinta.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : [email protected]

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA