KEMBARA LEYLA - Kenangan Empayar Uthmaniyah dan Dunia Alam Melayu | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 08 Jul 2024 07:00 AM

KEMBARA LEYLA - Kenangan Empayar Uthmaniyah dan Dunia Alam Melayu

 

 

Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang lalu, Leyla’s Quest – Echoes of Uthmaniyah telah dilancarkan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia. Begitu ramai yang menunjukkan sokongan pada YA novel ini setelah sekian lama saya tidak menulis novel fiksi sejarah.

 

Pada masa yang sama, ramai yang mencetuskan keinginan versi kisah Leyla dalam Bahasa Melayu pula. Dengan itu, bermulalah kembara pena yang dipenuhi cabaran dan segala keraguan mulai menjelma.

 

Tetapi, teringat pengalaman menulis Lipur Lara Nusantara. Pada mulanya, agak bimbang tentang penulisan ini.

 

Namun akhirnya, terbukti, menulis dalam Bahasa ibunda akan membawa diri ini ke alam yang begitu menggamit nurani dan naluri.

 

Dengan itu, saya kongsikan Bab Pertama Kembara Leyla.

 

Pada masa yang sama, saya ucapkan selamat menyambut Awal Muharram pada semua. Semoga jati diri dan semangat cintakan tanah air, nusa dan bangsa membawa kejayaan pada kita semua.

 

 

 

hikayat

Bab 1 – 1453

Kota Konstantuniah

 

Bulan dan bintang menjadi saksi pada takdir yang tersembunyi di cakerawala.  Alam semesta menyingkap rahsia kebenarannya jauh sebelum berpijak di bumi yang nyata.

 

***

 

Sultan Mehmed duduk di atas hamparan permaidani begitu empuk, bersendirian, membaca Quran di ruang istirehat khemah agungnya. Khemah yang di bawa dari ibukota Edirne melindunginya dari hiruk pikuk di luar sana.

 

Quran Timurid[1] terletak di atas rehal yang berhias daunan emas, kecil molek sesuai dibawa kembara, mahupun ke medan perang sekalipun. Begitu elegan, pemberian Sultan Muhammad, Raja Persia, apabila Mehmed menaiki takhta sebagai pemerintah Osmanlı İmparatorluğu, lebih dikenal sebagai Kerajaan Uthmaniyah, dua tahun yang lalu.

 

Kulit berhias Quran itu diperbuat di Benua China yang begitu jauh, mengandungi tinta  emas, bagai sutera dengan warna putik jambu, perang, biru lembayung, dan hijau zamrud. Sultan merasa begitu tenang menyentuh halaman Quran tersebut. Sentuhan selembut baldu ainulbanat di saat ia membalik helaian dari ayat ke ayat seterusnya, menandai titik terakhir pembacaan dengan penanda lipat yang sama indah dan halus pembuatannya.

 

Sebait aroma harum bunga tulip membuat Sultan terhenti membaca sejenak.  Ingatannya melayang kepada kenangan silam. "Aku amat berharap ayahanda berada di sini. Namun, ayahanda tidak pernah ada di sisi."

 

Sultan juga dapat merasakan kesedihan. Kepiluan. Kehilangan.

 

Dalam Quran Timurid itu, terdapat hiasan pemandangan dunia terbentang dalam kilauan keemasan. Mehmed didorong janji hadith Rasulallah SAW sendiri 800 tahun yang lampau, “Sesungguhnya Konstantinopel akan dibebaskan, sebaik–baik pemimpin adalah pemimpinnya dan sebaik–baik tentera adalah tentera tersebut.” (H.R Ahmad Hadith no 18957). Inilah janji Rasullalah SAW.

 

Konstantinopel akan tersungkur apabila berhadapan dengan tentera terbaik di dunia. Ini sudah tersurat.

 

Pada usia dua puluh satu tahun, Sultan Mehmed dianggap terlalu muda menjadi pemerintah. Namun, ia merasakan  segala beban  impian dunia Islam sejak zaman Rasulallah sebelumnya di atas bahunya. Cita cita kesemua dua puluh dua Sultan Uthmaniyah sebelum ini adalah untuk menundukkan Konstantinopel. Hasrat mereka terasa seperti sayap yang membantunya menggapai cita cita murni. Dan kadang-kala seperti sauh yang berat, menahannya dari terus belayar menuju hala tujuan.

 

"Semua ini berada di dalam gengaman baraku. Aku tidak boleh gagal. Aku tidak akan gagal. Aku tidak mungkin gagal."

 

Ketika Mehmed baru berusia dua belas tahun, dia merupakan seorang putera yang tinggi lampai, bermata perang melihat segala kejadian sekelilingnya dengan penelitian yang tajam. Segala persoalan hanya akan diajukan kepada guru yang sangat dipercayainya.

 

Dia membaca tanpa henti.

 

Di saat umurnya dikatakan setahun jagung itu, Sultan Murat II memutuskan untuk turun takhta.


[1] Empayar Timurid (Parsi :تیموریان‎), merupakan kerajaan lama yang terletak di wilayah Uzbekistan, Kazakhstan, Asia Tengah, dan juga sebahagian dari India, Pakistan danTurkiye hari ini. Diasakan oleh Raja Tamarlane pada tahun 1370, Sultan Muhammad memerintah dari tahun 1447 hingga 1452.

 

***

 

Mehmed menjadi Sultan. Tegas dan bijaksana, Sultan muda itu mengajak ayahnya bersama menakluki Hungari menundukkan kesemua pembelot perjanjian bersama Uthmaniyah dan Hungari.

 

“Jika Ayahanda Sultan, pimpinlah tentera Ayahanda. Namun jika Anakanda adalah Sultan, beta perintahkan Ayahanda memimpin bala tentera kita.”

 

Namun, ayahandanya menolak.

 

Mehmed meneruskan hajat di hatinya. Apabila kemenangan ke atas Hungari hampir dalam tangan, Wazir tua Halil Pasha merasa cemas dengan kewibawaan Sultan muda itu. Halil Pasha merasa gusar dengan impian gah Sultan Mehmed.

 

Mehmed teringat saat Wazir berpaling tadah. Wazir merayu Sultan Murat II kembali ke takhta. Sesungguhnya, tiada kasih sayang atau kesetiaan antara Halil Pasha dan Mehmed.

 

***

 

Mehmed melihat sekeliling khemah mewahnya, dengan bidaian merah dan emas, terasa seolah-olah di istananya yang ditinggalkan, jauh dari medan perang ini. Khemah ini diwarisi dari Sultan Murat II dan merupakan tempat perlindungan daripada segala kegamatan perang di luar sana. Kenangan bunga tulip dari taman Istanbul sekali lagi menggamit. Tulip, bunga semulajadi di tanah airnya adalah yang paling cantik di antara semua baginya.

 

Sempurna.

 

Sama seperti rancangannya. Di sini, di ketenangan khemah perang ini,  dia menyusun langkah. Berfikir. Merancang serangan seterusnya.

 

***

 

 

Sultan menutup Quran dengan perlahan, dalam genggaman yang menenangkan di tangan.

 

Dia berdiri dan berjalan ke pintu masuk, membuka tirai untuk membiarkan udara segar masuk. Suasana dari alam sekeliling, bercampur baur peperangan dari jauh, meresap ke dalam ruang khemahnya.

 

Tenteranya berada di luar, bersiap sedia untuk pertempuran yang akan datang. Strategi penaklukan Kota Konstantuniah yang terbaharu berlegar di pemikiranya. Mehmed tahu bahawa ini bukanlah pertempuran biasa. Ini adalah takdir yang diwarisi dan yang telah diterimanya dengan jiwa yang terbuka. Hati yang bersih. Ketetapan yang teguh.

 

Melihat tenteranya di luar sana, dia merasakan tanggungjawab yang mendalam terhadap mereka dan juga nyawa mereka yang berada di dalam kota  yang hebat itu.

 

Sultan Mehmed berpaling dari arah pintu, dan berjalan ke sudut yang terang di khemahnya, di mana peta Kota Konstantuniah terbentang di atas meja. Mata tajamnya mengikut bentuk kota, mengkaji setiap selok belok tembok sekeliling kota dengan teliti. Tembok, pintu gerbang, jalan darat dan laut - sepanjang malam ia membayangkan seribu satu kemungkinan. Serangan demi serangan, setiap rintangan yang mungkin dihadapi.

 

Sesudah sekian lama, sultan muda itu mengeluarkan sehelai kertas dan sebatang pena, melakar pelan strategiknya. Di saat itu, fikirannya melayang kepada ayahnya sekali lagi. Kenangan silam membanjiri fikirannya, seolah-olah baru berlaku semalam.

 

"Aneh. Aku jarang bertemunya," kata dia kepada dirinya sendiri. "Tetapi ku teringat kali pertama naik kuda dengan jelas. Ayah datang untuk melihat saat itu. Dan pergi tanpa berkata apa-apa."

 

Ayahnya Sultan Murat II, seperti semua Sultan lain, gagal menawan Kota Konstantuniah.

 

 

hikayat

 

 

Sultan Murat II adalah seorang lelaki berbadan tegap dan besar, dengan wajah yang garang. Kemangkatan Ayahandanya itu telah membuatkan Mehmed merasa ia patut memikul tanggungjawab yang sangat besar dan sukar.

 

Namun di sini, di dalam khemah ini, dikelilingi oleh bait memori kehadiran ayahandanya, Mehmed melihat satu ketenangan menyoroti masa lalunya.

 

 

hikayat

 

 

Mehmed melihat peta di hadapannya, membayangkan rangkaian yang rumit dari terusan dan jalan dalam bandar. Benteng-benteng kubu pertahanan yang telah berdiri selama berabad-abad, mencabar kesemua pemerintah yang tidak terhitung sebelumnya.

 

"Aku akan berjaya di mana yang terdahulu gagal," bisiknya dengan keyakinan yang kukuh. "Konstantuniah akan menjadi milik kita sekali lagi."

 

Tetapi apabila kata-kata itu meninggalkan bibirnya, keraguan, bagai bisikan hantu yang tidak kelihatan, meresap ke dalam akal fikirannya. Keagungan sejarah bandar itu menjadi satu halangan. Begitu ramai telah mencuba dan gagal menakluki kubu Konstantuniah.

 

Argh, itu hanya akan melemahkan iltizamnya.

 

Dengan menutup mata, beliau cuba untuk meredakan keraguan yang mengancam pendiriannya. Dia sedar. Hasrat dan impiannya begitu berani.

 

Dunia akan mengingati dirinya sebagai penakluk atau seorang yang gagal sama sekali tak ubah seperti kesemua yang telah mencuba sebelumnya untuk menawan Kota itu. Namun, Mehmed tidak dapat menolak bisikan jiwanya, mengingatkannya kepada janji yang telah membentuk nasibnya.

 

“Bulan dan bintang menjadi saksi pada takdir yang tersembunyi di cakerawala.  Alam semesta menyingkap rahsia kebenarannya jauh sebelum berpijak di bumi yang nyata.”

 

Mata Sultan tersebut tiba-tiba terbuka luas, dan beliau menoleh ke langit nilam yang kelihatan melalui tirai terbuka di khemahnya.

 

Bintang bersinar, cahaya mereka yang datang dari jarak yang tidak dapat dianggarkan. Mehmed merasakan semangatnya kembali, seolah-olah alam semesta mendesaknya untuk menyambut cabaran.

 

"Halatuju hidupku saling berkait dengan nasib empayar ini," bisiknya, suaranya penuh dengan keazaman. "Aku tidak gentar, kerana inilah takdir yang datang."

 

Dengan keazaman yang baru, Mehmed mengangkat penanya dan mula menulis. Di luar sana,  kegelapan malam berubah menjadi cahaya fajar. Beliau menunaikan solat subuh. Kemudian rancangan dan strategi terbentuk di atas kertas di hadapannya.

 

Segalanya terbayang dalam kepala, dan dia menulis dengan pantas, mengenalpasti dengan teliti kedudukan tenteranya, laluan serangan, dan rancangan kecemasan jika perlu.

 

Sultan meletakkan segala jiwa raganya ke atas perancangan di hadapannya. Dia berehat sejenak, mengambil wuduk untuk menunaikan solat Dhuha.

 

Apabila akhirnya meletakkan pena, sebuah strategi indah di hadapannya.

 

Sempurna.

 

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb