Kepentingan Sastera dalam meneraju pemuliharaan alam | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 22 May 2023 07:00 AM

KEPENTINGAN SASTERA DALAM MENERAJU PEMULIHARAAN ALAM

 

 

TRADISI sastera lisan merupakan warisan budaya yang diturunkan zaman ke zaman, generasi ke generasi melalui budaya penglipur lara.

 

Melalui penceritaan tukang cerita, wayang kulit, Makyung dan Mek Mulung serta lain-lain bentuk taridra dan juga melalui alunan syair, masyarakat lama dapat menghayati hikayat dan legenda yang berbentuk hiburan, dan juga pengajaran.

 

Jalan ceritanya padat bertemakan pengembaraan, konflik, pengorbanan dan selalunya berakhir dengan kejayaan. Bahasanya klasik dan indah; juga mengikut loghat daerah atau negeri di mana ini menambahkan keunikan cerita.

 

Untuk menambahkan kepelbagaian, penceritaan diselitkan dengan lagu-lagu rakyat, pantun, metafora dan aspek komedi. Di dalam cerita ini terselit mesej yang mendalam dan bermakna.


 

hikayat

 


Selain itu, sastera lisan juga dapat mempengaruhi gaya hidup dan estetika manusia. Beberapa karya sastera membahas tentang keindahan dan kesenian, yang dapat membantu manusia menemukan keindahan dalam hidup dan meningkatkan apresiasi mereka terhadap kesenian.

 

Seiring dengan perubahan zaman, karya sastera juga berperanan menghasilkan perubahan dan inovasi dalam bahasa, seni, dan budaya.

 

Oleh itu, sastera lisan sebenarnya memiliki peranan penting dalam pembentukan pemikiran dan tamadun manusia.

 

Melalui sastera lisan yang diturunkan kepada persembahan budaya, batu-batu bersurat dan manuskrip lama, kita dapat mempelajari berbagai aspek kehidupan manusia seperti kebudayaan, nilai-nilai, moral dan konflik di dalam masyarakat.

 

Ini membawa kepada warisan sastera berupa hikayat, cerita rakyat dan peribahasa, bidalan serta pantun diilhamkan alam semulajadi membentuk jiwa dan nurani serta keperibadian melalui keindahan bahasa. Ini lebih terserlah apabila dipersembahkan dalam persembahan kebudayaan dan kesenian.

 

Antara tradisi budaya paling tersohor Alam Melayu sejak 400 tahun yang lampau adalah persembahan makyong yang begitu mahsyur di Kelantan tetapi didapati di Patani selatan Thailand; Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis di Malaysia serta Kepulauan Riau di Indonesia.

 

Setiap persembahan makyong dimulakan dengan Lagu Mengadap Rebab yang penuh berahsia dan mengasyikkan.

 

Mengadap Rebab

Bong wei... membalik tipo gak

Dage membue silolah cik wei

Dage membue silolah cik wei

Ayuhlah cik wei

 

Seperti suloh memain angin la...

Eh... bemban gugor di tapok

Selude cik wei... meningga maye la...

Ayuh tue wei

 

Seperti aur menarik suse Ia

Eh.., sawo kami menggorok likaghe

Aur cik wei menarik suse la...

Ayuh tue wei

 

Liuk litok tekula blalai la...

Eh... liuk ko kiri

Luk ko kane

Liuk ko kiri kulai ko kane la

Ayuh tue wei

 

Seperti denok menanti la...

Eh... berdiri kami tapok tigo

Kami nok adap ke timor

Jagolah...Ayuh tue wei

 

Ungkapan Seperti suloh memain angin la......Seperti aur menarik suse Ia... Ayuh tue wei menunjukkan pemerhatian teliti kaum Melayu terhadap alam semesta dan persekitaran.


 

tnb

 


Suloh memain angin mencerminkan bagaimana dedaun bergerak ditolak angin. Aur menarik suse pula membayangkan ombak bermain dengan pasir pantai. Satu terjemahan metafora ini adalah bahawa segala yang berlaku tetap tidak mengubah keadaan semasa.

 

Ini sesuatu kelaziman dalam pemikiran Alam Melayu, sejak zaman berzaman, budaya kehidupan dan sastera yang terjalin amat berhubung kait dengan persekitarannya – lautan yang luas terbentang, hutan belantara penuh rahsia dan gunung-ganang yang agung.

 

Pertalian sastera lisan dan alam

Pertalian antara sastera dan alam sememangnya berkait rapat dan tersangat erat. Sastera dapat mempengaruhi persepsi manusia terhadap alam dan memacu hala tuju melindungi kelestarian alam.

 

Melalui sastera, manusia dapat mencerminkan, memperlihat dan menganjung keindahan alam. Para penulis seringkali menggunakan alam sebagai sumber inspirasi dengan menggambarkan keindahan, kepelbagaian dan aspirasi dari alam melalui penggunaan bahasa yang kaya dengan  gambaran kehidupan dan  alam semesta.

 

Selain itu, penggunaan simpulan bahasa, peribahasa dan lain lain  dalam sastera juga seringkali menggunakan unsur alam sebagai simbol atau metafora.

 

Contohnya dalam Hikayat Melayu lama seperti Hikayat Malim Deman, kita melihat pembayangan angkasa lepas dan lapisan yang dilalui untuk sampai ke kayangan, tujuh lapisan langit atau lebih dikenali sebagai tujuh petala langit:

 

Hilang disaput awan yang puteh,

Hilang disaput awan yang kuning,

Hilang disaput awan yang biru,

Sakali membawa edar ke kiri,

Dua kali membawa edar ke kanan,

Tiada boleh membawa edar lagi,

Hilang disaput si mega-mega.

 

Inilah bukti penelitian sastera lama kita terhadap alam semesta. Persembahan wayang kulit, yang masih kekal di Kelantan, contohnya, dimulakan dengan ‘Pepohon Beringin’ yang melambangkan “sebuah dunia yang sarat dengan segala kehidupan".

 

Pohon Beringin atau ‘Gunungan’ yang dilambangkan dalam Wayang Kulit ini memulakan penceritaan dengan segala yang ada ‘di air, di bumi dan juga di udara.’


 

hikayat

 


Pohon Beringin atau Gunungan dalam Wayang Kulit Siam atau Kelantan sememangnya amat penting. Ia berasal dari simbol ‘Tree of Life’ dan menandakan permulaan dan akhir sesuatu persembahan.

 

Pendekatan muncul dalam pelbagai gaya dan ada yang direka bentuk sepenuhnya daripada pokok tanpa gambaran bentuk hidupan lain berlainan dari di Jawa  di mana gunungan dipenuhi dengan segala bentuk kehidupan di bumi dan langit.

 

Lazimnya, Gunungan adalah pokok yang berhias tinggi, berukir rumit atau berbentuk daun seperti yang ditunjukkan dalam rajah.

 

Inilah lambang segala kejadian di langit dan bumi mengikut kehendak yang Maha Esa.

 

Selagi pemahaman mendalam dan renungan terhadap alam sekitar menjadi sumber kekayaan bahasa dan mengilhamkan kebudayaan serta kesusasteraan pelbagai etnik di Alam Melayu, kita dapat mengutarakan bahawa naluri dan prinsip kehidupan kita berlandaskan pemuliharaan alam sekitar.

 

Malah, di dalam pelbagai sastera lisan kita seperti pantun, syair dan gurindam, pendekatan dengan alam sekitar ini amat ketara. Pemikiran dan ‘psyche’ digambarkan melalui keindahan bahasa yang timbul dari penelitian terperinci terhadap alam. Bak pantun tersohor:

 

Pulau Pandan jauh ke tengah

Gunung Daik bercabang tiga

Hancur badan dikandung tanah

Budi yang baik dikenang jua

 

Warisan sastera besar berupa hikayat, cerita rakyat dan peribahasa, bidalan serta pantun diilhamkan alam semulajadi membentuk jiwa dan nurani serta keperibadian dengan memberikan bukan sahaja keindahan bahasa, tetapi penerapan budaya dan jati diri nusa dan bangsa yang cenderung terhadap alam semulajadi.

 

Bagai aur dengan tebing.

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk.

 

Di era zaman moden, mutiara kata dari pujangga berjiwa besar meneruskan tradisi budaya bahasa jiwa bangsa.

 

Secara kolektif, hikayat, cerita rakyat dan peribahasa serta bidalan mutiara kata pujangga paling biasa digunakan yang diilhamkan dari alam persekitaran inilah mencetus kemahiran berfikir aras tinggi sesebuah bangsa.

 

Mengenali Konflik serta Cabaran Semasa

Namun, apabila sastera kita mula terpisah dari naluri mencintai, menghormati dan menerokai alam sekitar, kita mula melihat ketidakseimbangan dalam kehidupan keseluruhan.

 

Lebih membimbangkan, apabila keseimbangan budaya dan alam sekitar langsung tidak sehaluan. Hutan belantara terus dirempuh dan dirosakkan. Ketamadunan manusia terpisah dari alam sekitar yang menghijau. Setiap hari, ada haiwan yang terus lenyap dan lupus dari muka bumi.

 

Jurang antara sastera dan alam sekitar merupakan titik bermulanya kerakusan manusia yang sedang bermaharajalela di muka bumi ini.

 

Tidak dapat dinafikan, konflik dan cabaran terbesar yang dihadapi di zaman ini merupakan perubahan iklim yang semakin menjadi masalah global yang serius dan mempengaruhi berbagai aspek kehidupan termasuk ekonomi, kesihatan, dan keamanan.

 

Hal ini meliputi naiknya suhu global, peningkatan cuaca ekstrem, kenaikan permukaan air laut, dan berbagai perubahan lain yang memberi kesan bahaya pada kehidupan manusia dan makhluk lain di bumi.

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cuba menyedarkan dunia tentang masalah yang bakal menimpa sejak berdekad lamanya.


 

hikayat

 

Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menggerakkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), juga dikenali sebagai Matlamat Global, yang telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015 sebagai seruan universal untuk bertindak menamatkan kemiskinan, melindungi planet ini, dan memastikan bahawa menjelang 2030, semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran.

 

Perlu ada tindakan kolaboratif dari seluruh pihak untuk mengatasi masalah ini agar kelestarian dunia dapat terjaga untuk generasi mendatang. Pada masa yang sama, PBB mengiktiraf kepentingan budaya termasuk sastera demi mencapai ke-17 SDG atau Matlamat Global.

 

Pada tahun 1985, kita lihat bagaimana Live Aid Concert yang diutarakan Bob Geldof memperjuangkan penghapusan jurang kemiskinan di Afrika.


 

hikayat

 


Konsert besar-besaran itu berjaya mengumpul dana sebanyak USD127 juta untuk disalurkan pada kanak-kanak termiskin dunia.

 

Sudah tentu, kita memerlukan satu pergerakan yang memperjuangkan kelestarian alam persekitaran. Dan ianya mesti bermula dengan naratif sastera sedunia yang cintakan alam. Dahagakan penyelesaian. Serius dalam melindungi planet ini, dan memastikan bahawa menjelang masa terdekat, satu dunia akan menikmati keamanan dan kemakmuran.

 

Kerana kita hampir kesuntukan masa untuk menyelamatkan dunia ini. – DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA