Kepentingan Sastera Lisan dalam penyelesaian masalah kelestarian tamadun manusia | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 19 Jun 2023 07:00 AM
tnb

PEMBENTANGAN KERTAS KERJA DI SEMINAR ANTARABANGSA SASTERA LISAN NUSANTARA OLEH NINOT AZIZ, 12 JUN 2023

 

 

Kepentingan Sastera Lisan Dalam Penyelesaian Masalah Kelestarian Dunia. Maaf! Kelestarian Tamadun Manusia.



1,339 tahun dahulu, seorang Maharaja telah membina sebuah taman indah buat rakyat jelata dan pemuliharaan tanah airnya. Segala di bumi dan di langit dilindungi. Maharaja itu bernama  Dapunta Hyang Sri Jayanasa, pengasas Kerajaan Sri Vijaya. Dan taman yang dibinanya  dipanggil Taman Śrī Ksetra  untuk kebaikan semua makhluk. Ia dikenali sebagai pemerintah yang begitu baik budi pekertinya.

 

Bagaimana kita mengetahui hal ini?

 

Maharaja telah meninggalkan batu bersurat ini bertarikh 2 haribulan Caitra tahun 606 Śaka bersamaan 23 Mac tahun 684 Masihi ditulis dalam Bahasa Melayu Kuno aksara Pallava.


 

tnb

 

Petikan ini berbunyi:

Semua yang ditanam di sini; nyiur, pinang, enau, rumbia dan lain-lain yang (berupa) pohon, dimakan buahnya, serta aur, buluh betung dan yang semacam itu. Demikian pula taman-taman lainnya dengan sebat telaga; semuanya yang kuperbuat, semua perbuatan baik, dimaksud untuk kebahagiaan semua makhluk yang bergerak dan tidak bergerak.

 

Pendirian Dapunta Hyang Sri Jayanasa sebagai pengasas SriVijaya dicontohi masyarakat yang mempunyai budaya mesra alam, merakamkan keindahan segala flora dan fauna untuk kebaikan semua jenis ‘makhluk yang bergerak dan tidak bergerak.’ Kepimpinan Dapunta Hyang bercirikan pemerintah yang mementingkan kelestarian bhumi dan jajahan takluk.

 

Inilah kayu ukur tamadun kita yang sejati.

 

Sidang hadirin sekelian,

Sastera berperanan penting dalam menzahirkan buah fikiran dan membentuk tamadun manusia. Melalui sastera lisan yang diturunkan kepada persembahan budaya, batu-batu bersurat dan manuskrip lama, kita dapat mempelajari berbagai aspek kehidupan manusia seperti kebudayaan, nilai-nilai, moral dan konflik di dalam masyarakat.

 

Ini membawa kepada warisan sastera berupa hikayat, cerita rakyat dan peribahasa, bidalan serta pantun yang sering diilhamkan alam semulajadi memberi nafas kepada jiwa dan nurani serta keperibadian melalui keindahan bahasa.

 

Apabila diabadikan dalam manuskrip, kemahiran berfikir aras tinggi jelas tersinar dan telah diperakui oleh cendiakawan sedunia. Salatus Salatin, Hikayat Hang Tuah dan Kitab Bedil diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).


 

tnb

 


Mari kita renungkan kata mutiara yang tak lekang dek panas tak lapuk dek hujan yang begitu sinonim dengan alam:

 

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

 

Besar kapal, besarlah gelombang.

 

Kalau nak tahu tentang manusia, masuklah ke dalam belantara.

 

Malah Sasterawan Negara Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh ada mengatakan, “Karya masyarakat kita, dari semua suku, adalah seperti helaian dedaun dari pohon purba di belantara, bukit, kuala, paya dan desa.” Pemikiran sebegini memang telah begitu lama wujud dalam dunia Nusantara ini, lebih 1000 tahun yang lampau.

 

Kekayaan kesenian dan sastera lisan

Dari tradisi sastera, kita juga dapat melihat keakraban pemikiran yang bercambah dari renungan dan penelitian terhadap alam sekitar. Pemahaman yang mendalam ini diselitkan dalam semua aspek budaya dan kehidupan seharian seperti pantun dan peribahasa.

 

Bagai aur dengan tebing.

Sikit-sikit lama-lama jadi bukit.

Ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk.

Ada pasang, ada surut.

 

Di antara tradisi sastera lisan paling tersohor Alam Melayu sejak 400 tahun yang lampau adalah persembahan makyong yang tersohor di Kelantan.


 

volatiliti

 


Ia juga didapati di Patani selatan Thailand; Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis di Malaysia serta Kepulauan Riau di Indonesia. Setiap persembahan makyong dimulakan dengan Lagu Mengadap Rebab yang penuh berahsia dan mengasyikkan.

 

Mengadap Rebab

Bong wei... membalik tipo gak

Dage membue silolah cik wei

Dage membue silolah cik wei

Ayuhlah cik wei

 

Seperti suloh memain angin la...

Eh... bemban gugor di tapok

Selude cik wei... meningga maye la...

Ayuh tue wei

 

Seperti aur menarik suse Ia

Eh.., sawo kami menggorok likaghe

Aur cik wei menarik suse la...

Ayuh tue wei

 

Ungkapan Seperti suloh memain angin la......Seperti aur menarik suse Ia...Eh.., sawo kami menggorok likaghe...Aur cik wei menarik suse la... Ayuh tue wei menunjukkan pemerhatian teliti kaum Melayu terhadap alam semesta dan persekitaran.

 

Suloh memain angin mencerminkan bagaimana dedaun bergerak ditolak angin. Aur menarik suse pula membayangkan ombak bermain dengan pasir pantai.

 

Satu tafsiran metafora ini adalah bahawa segala yang berlaku tetap tidak mengubah takdir dan putaran alam semesta.


 

tnb

 


Mengenali Konflik serta Cabaran Semasa

Di Alam Melayu, sastera dan alam sememangnya berkait rapat. Sastera dapat mempengaruhi persepsi manusia terhadap alam dan amat penting dalam membangkitkan kesedaran masyarakat terhadap perlindungan alam sekitar.

 

Melalui sastera, manusia dapat mencerminkan, memperlihat dan menganjung keindahan alam. Para penulis seringkali menggunakan alam sebagai sumber inspirasi dengan menggambarkan keindahan dari alam melalui penggunaan bahasa yang kaya dengan  gambaran kehidupan dan  alam semesta.

 

Namun, tiidak dapat dinafikan, konflik dan cabaran terbesar yang dihadapi di zaman ini merupakan perubahan iklim yang semakin meruncing.  Ia menjadi masalah global yang serius dan mempengaruhi berbagai aspek kehidupan termasuk ekonomi, kesihatan, dan keamanan.

 

Hal ini meliputi naiknya suhu global, peningkatan cuaca ekstrem, kenaikan permukaan air laut, dan berbagai perubahan lain yang memberi kesan bahaya pada kehidupan manusia dan makhluk lain di bumi.

 

Di persembahan wayang kulit Maharaja Wana, keadaan porak peranda dunia digambarkan:

 

Dewa mengamuk. Langit terbakar. Bumi cair.

 

Ini seolah-olah menunjukkan keadaan perubahan iklim yang mendadak hari ini. Perebutan kuasa politik yang berpanjangan. Greenhouse effect. Banjir besar.

 

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) cuba menyedarkan dunia bahawa kita kesuntukan masa sebenarnya untuk mengubah keadaan. Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) telah menggerakkan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), juga dikenali sebagai Matlamat Global, yang telah diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2015 sebagai seruan universal untuk bertindak menamatkan kemiskinan, melindungi planet ini, dan memastikan bahawa menjelang 2030, semua orang menikmati keamanan dan kemakmuran.

 

Bukankah ini yang dimaksudkan dengan “kebahagiaan semua di muka bumi ini” yang tertulis lebih 1,300 tahun dahulu di inskripsi Talang Tuwo? Bukankah ini telah dikatakan oleh raja-raja di Alam Melayu ini?

 

Sastera bakal diarkibkan di Bulan – The Polaris Trilogy

Mungkin masalah SDG ini memerlukan pendekatan dan hala tuju yang sama. Kita lihat tindakan individu mula mementingkan sastera lisan terutamanya puisi dan sajak untuk menyedarkan manusia tentang keujudan bumi di alam semesta sebagai satu ekosistem bersama yang perlu dipelihara.


 

tnb

 


Dr Samuel Peralta, penulis tersohor (Wall Street Journal, USA Today & Amazon serta Pemenang Anugerah Emmy) merupakan Pengasas, Lunar Codex – Archive on The Moon. Beliau kini telah mengumpulkan lebih 30,000 karya seni dan sastera dari lebih 150 negara untuk dilancarkan ke bulan.

 

Antologi The Polaris Trilogy diterbitkan oleh penerbit AS Brick Street Poetry Inc. pada tahun 2023. Antologi yang mengandungi puisi dari setiap benua, akan dihantar ke bulan untuk menjadi sebahagian daripada Arkib Lunar Codex di bulan melalui penerbangan NASA pada tahun 2024.

 

Editor utama Brick Street Poetry, Joyce Brinkman, berkata "Trilogi Polaris ialah petikan panorama puisi di Bumi yang dirakamkan pada tahun 2022. Sungguh menggembirakan untuk mengetahui bahawa seni dan budaya manusia bergabung dengan teknologi dan sains di angkasa dan kami berbesar hati menerima karya Ninot Aziz untuk misi ini."

 

“Puisi [Pesanan Muktamad: Dari Mentari. Purnama. Dan Kejora] ini merupakan satu seruan berupa pesanan di angkasa, mencela sikap tidak bertanggungjawab manusia di Bumi terhadap bentuk kehidupan yang lain dan sikap tidak bertanggungjawab terhadap Bumi yang menakjubkan itu sendiri. Ia adalah pesanan yang perlu didengarkan, serta memerlukan pertimbangan seperti yang kita lakukan, meneroka seluruh alam semesta yang luar biasa di luar planet kita."

 

Petikan dari puisi tersebut:

 

Pesanan Muktamad.

Dari Mentari. Purnama. Kejora.

(Oleh Ninot Aziz)

 

Purnama setia terus menyinar

Tersembunyi bintang di langit 

Manusia leka masih tak sedar

Dunia didera teramat sakit

 

Akhir zaman, dunia terlalu sibuk. Menjadi saksi pada kemusnahan di sungai, di gunung.  Alam semesta memberontak, dari tujuh bah besar yang melanda hingga bencana puting beliung. Manusia masih tamakkan keagungan.

 

Kejora tidak dapat menolong

Menangis pun apa kan daya

Angan-angan tinggi melambung

Kita masih boleh mengejar masa...

 

Kesimpulan

Sudah tentu sastera tidak dapat menyelesaikan semua masalah yang dihadapi dunia hari ini. Namun, kita mesti sedar segala usaha memerlukan cetusan ilham yang membawa kepada penyelesaian. Kesedaran. Nekad.

 

Hari ini, dunia memerlukan semua pihak memperjuangkan kelestarian alam persekitaran. Kerajaan. Para ekonomi. Pencinta Alam Sekitar. Pendidik.

 

Dan ia mesti bermula dengan naratif sastera sedunia yang cintakan alam. Dahagakan penyelesaian. Serius dalam melindungi planet ini, dan memastikan bahawa menjelang masa terdekat, seluruh dunia akan menikmati keamanan dan kemakmuran.

 

Kerana kita hampir kesuntukan masa untuk menyelamatkan dunia ini.  – DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA