KLIA sepatutnya paparkan jatidiri Malaysia kepada pelawat | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 06 Feb 2023 07:00 AM

KLIA sepatutnya paparkan jatidiri Malaysia kepada pelawat

 

 

MINGGU ini saya ke KLIA untuk berlepas ke  Kuching demi tugas. Saya memang teruja untuk ke Sarawak setiap bulan kerana ia menjanjikan pengalaman yang unik, udara yang nyaman, dan suasana yang lebih santai.

 

Pemandangan sayup saujana mata memandang dari bilik hotel selalunya Gunung Santubong tersergam indah dikelilingi hutan belantara terbentang bagai permaidani baldu hijau. 

 

Kali ini, apabila saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KLIA saya sedar betapa  KLIA seolah-olah tidak berjiwa, begitu kekosongan, tidak memaparkan ciri-ciri keindahan Malaysia.

 

Di setiap penjuru, saya mengharapkan secebis detik terusik perasaan patriotik. Namun tiada apa yang menggamit memori. 

 

 

klia

 

 

Kafe Costa Coffee di pintu hadapan memberikan gambaran kita berada di mana saja di dunia - di America Selatan? Di New York? Dalam laman web Malaysia airports,  dinyatakan Costa Coffee membawa satu kelainan, satu atmosfera ‘contemporary and metropolitan’ kepada KLIA. 

 

Tetapi, adakah itu jatidiri Malaysia? Bukankah kita ini negara di Asia Tenggara, penuh dengan adab Melayu dan identiti berbilang bangsa penuh ramah mesra?

 

Di mana itu semua? Apakah tagline Malaysia tahun ini? Malaysia Truly Asia satu kempen yang amat baik. Namun bagaimanakah ia dicetuskan, diperbaharui dan disematkan ke sanubari mereka yang datang melawat negara kita?

 

Bagaimana agaknya perasaan mereka yang sampai dari luar negara ke KLIA?  Adakah mereka boleh mengenali Malaysia apabila melalui gerbang ketibaan ke KLIA? 

 

Saya cuba mengingati semula perjalanan kebelakangan ini ke negeri-negeri jiran dan negara lain.  Contohnya Sarawak sendiri.

 

Walaupun sedang menjalani pengubahsuaian, lapangan terbang Kuching menunjukkan identiti Sarawak dengan motif etniknya yang unik. Tagline Sarawak More To Discover megah menyambut semua tetamu dan pelawat ke Sarawak Bumi Kenyalang. 

 

 

sarawak

 

 

Ini menjadi kelaziman di serata negeri Sarawak. Dengan bentuk bangunannya yang unik, keramahan rakyat Sarawak dan makanannya yang menjadi kebanggaan orang Sarawak sendiri.  

 

Apabila saya menghadiri mesyuarat, deko dan placemat di dalam bilek mesyuarat juga bermotifkan etnik Sarawak. Ini mempamerkan jatidiri yang amat baik dalam kalangan badan korporat dan badan agensi kerajaan. 

 

Begitu juga di lapangan terbang Brunei. Salah satu ciri utama yang begitu terserlah ialah penggunaan skrip jawi di serata Brunei bermula di lapangan terbang. 

 

Ini mengingatkan saya  apabila sampai ke lapangan terbang antarabangsa Grand Istanbul Airport bulan November yang lepas, skrin video gah menunjukkan video kempen #hello Türkiye! dengan montaj Hot Air Balloon di Cappadocia, Swirling Dervish dan  tentunya Hagia Sophia yang tersohor. 

 

Jelas Turkiye amat bangga dengan seni budaya dan industri pelancongan.

 

 

turkiye

 

 

Pengalaman terbaik apabila di Malaysia

Sebenarnya ada banyak pengalaman yang dapat mengusik hati pelancong ke Malaysia.

 

Saya ingat suatu masa dulu, rakan saya dari Jepun, Yumiko Hagashi datang melawat setiap tahun. Inilah antara pengalaman yang saya kongsikan bersama Yumiko:

 

1. Persembahan di Istana Budaya
2. Makan durian di Bukit Bintang
3. Mencari kain batik di Chow Kit
4. Kepala Ikan di Central Market
5. Golf di Genting
6. Nasi lemak di Kampung Bharu
7. Ke kilang Royal Selangor Pewter
8. Minum air kelapa di bawah pokok ceri
9. Ke Cerating Kuantan
10. Berjalan-jalan di Jalan Tuanku Abdul Rahman di Bangunan Sultan Abu Samad ada waktu malam. 
11. Menaiki keretapi Senandung Malam ke Singapura. 

 

Yumiko mengatakan KL lebih indah dari Avenue des Champs-Élysées di Perancis kerana pengalamannya begitu bermakna. 

 

Sayang sekali saya tidak dapat membawa Yumiko menonton wayang kulit, makyung, taridra dan teater kerana pada waktu itu, kumpulan cerita ini tidak mendapat perhatian khas sebagai persembahan. 

 

Dengan itu, cerita-cerita tersebut saban hari, tahun demi tahun, hilang dari korpus memori kita. Sebenarnya, cerita-cerita ini merupakan cerita rakyat yang lebih formal. Ciri-ciri utamanya berbentuk penyampaian lisan dari generasi ke generasi.


 
Persembahan sebegini masih mempunyai tarikan namun ianya juga satu fenomena yang semakin pupus. Sebaliknya, di seluruh dunia, pementasan teater dan juga filem boleh dikatakan platform/ekspresi cerita rakyat yang paling canggih masa kini.

 

 

KL

 

 

Satu lagi bentuk penceritaan meluas terbaru adalah melalui video persendirian ‘youtube’ di laman web yang boleh menjadikan sesebuah cerita sebagai viral ke seluruh dunia.

 

Sudah tentu penceritaan melalui persembahan teater seperti cerita wayang kulit, makyung dan mek mulung lebih mudah diubah suai ke platform penceritaan zaman moden.


 
Pada satu hari saya harap Hikayat diperkenalkan dengan jayanya  kerana sebahagian besar rakyat negara membesar dengan mendengar, menonton dan menghayati cerita rakyat sepenuhnya, pemikiran dan kecenderungan serta aspirasi masing-masing akan bertumpu ke arah hala tuju yang sama.


 
Budaya Warisan Bangsa

Inilah antara hadiah kita yang paling indah dan bermakna - budaya cerita rakyat formal seperti wayang kulit dan makyung masih gah di negara kita.

 

Walaupun ini tidak mencerminkan keadaan sebenar, pertunjukkan cerita rakyat dapat menarik minat pelawat negara yang telah biasa dipancing dengan promosi canggih dan internet. 

 

Tidaklah hairan mereka lebih cenderung dan arif kepada budaya dari Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, India dan Korea buat masa ini.

 

 

makyung

 

 

Wayang, lagu dan tarian barat yang asing itu lebih menarik dan ‘familiar’ dari segi isi, rentak, dan lain-lain. Ia dapat dilihat, dipertayangkan dan dialami di pusat-pusat hiburan dan internet setiap hari.


 
Ini berlainan halnya dengan budaya cerita rakyat yang tidak kelihatan atau kedengaran di serata pelusuk dunia hiburan.

 

Kanak-kanak di seluruh dunia lebih cenderung kepada cerita ‘fairytales’  daripada cerita rakyat, misalnya Sang Kancil, Che Siti Wan Kembang, cerita Puteri Saadong dan cerita Pak Kadok, Si Luncai dan Pak Pandir.

 

Cerita cerita Sang Kancil baru baru ini diketengahkan oleh Georges Voisset di dalam bahasa Perancis dan mendapat sambutan yang menggalakkan. 

 

Penulisan baru adalah satu cara untuk memberi nafas baru kepada legenda dan cerita rakyat lama. Les Copaque Berjaya melestarikan cerita sang kancil dengan siri animasinya ‘Pada zaman dahulu.’


 
Ia adalah satu fenomena yang memerlukan langkah-langkah proaktif dan campur tangan jika seseorang ingin menghentikan masalah ini.


 
Kita boleh hentikan segala permasalahan. 


 
Apa yang penting ialah cerita Hikayat ini dimasukkan semula ke dalam korpus khazanah kesusasteraan Negara dan bangsa.

 

 

wayang kulit

 


  
Namun kini, pada abad baru ini, kita mempunyai pelbagai cara untuk  menghimpun semula, menyambung warisan nenek moyang kita dan mempersembahkannya untuk menjadi yang terbaik.

 

Malah, kita dapat mengembangkan penghayatan cerita rakyat lisan dengan kaedah-kaedah teknologi moden yang canggih.


 
Apa yang jelas, bukti yang jelas pelupusan budaya cerita rakyat berlaku dan pengesahan jenis jenis budaya cerita rakyat yang menghadapi pelupusan kritikal.

 

Dokumentasi warisan budaya cerita rakyat yang dapat diselamatkan dari pelupusan.

 

Cadangan bernas dan kaedah-kaedah bernas untuk mewujudkan industri yang memberi nafas baru kepada budaya cerita rakyat yang boleh berdaya saing dan memberi pulangan ekonomi yang dapat memastikan pengembangan genre cerita rakyat ini.

 

Dengan itu kita dapat melestarikan semula hikayat pada kita. Dan membawa seni dan budaya ke pusat pusat bandar utama. – DagangNews.com

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA