MAKYONG KE PERSADA DUNIA
MAKYONG merupakan kebanggaan Negara.
Seni dan budaya merangkumi pelbagai aspek - terutamanya kesusasteraan, persembahan pentas, kesenian dan kraf. Ianya mewarnai kehidupan seharian, liku-liku kehidupan masyarakat melalui bidang penerbitan, perfileman dan menjadi intipati utama industri pelancongan serta keunikan sesebuah negara.
Alangkah merudum sinar dunia Malaysiana jika tukang pandai penenun songket, pembuat batik, pengukir kayu, keris dan tukang tembaga serta pengamal seni budaya kita seperti Makyung, Mek Mulung dan Wayang kulit yang diiktiraf badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tiada lagi.
Baru baru ini, tokoh makyong, Rosnan Rahman, telah ke negara China atas jemputan pertukaran budaya. Beliau telah mengadakan bengkel makyong bersama pelajar Seni Persembahan dari Universiti Yunnan Minzu, Kunming, China.
Beliau juga turut mengadakan persembahan Makyong bersempena Malaysia Food & Culture Festival ke-4 di Kunming, Yunnan China.
Usaha murni Pakyong Rosnan Rahman membawa Makyong ke persada dunia harus dipuji - memastikan nilai budaya tinggi, kearifan lokal dan cara hidup dipelihara, dipulihara dan diperkasa agar tidak luput sama sekali.
PENCERITAAN KISAH MAKYONG
Ada banyak cara memperkasa tradisi Makyong. Bagi saya, saya cuba memulihara kisah Makyong dalam buku contohnya novel grafik Bentala Naga, yang kini sedang dialih bahasa ke bahasa Itali. Kisah Bentala Naga ini saya telah terbitkan juga dalam bentuk komik HF KomiK untuk membawa Makyong ke generasi muda.
Tetapi Makyong bernafas dan berjiwa di pentas seni. Oleh itu, kita mesti perbanyakkan peluang pementasan di teater. Baik di sekolah-sekolah, di pertunjukkan budaya dan ke luar negara.
Makyong diiktiraf UNESCO sebagai ‘Masterpiece of Oral and Intangible Heritage of Humanity’ pada tahun 2005 dan telah disenaraikan ‘Intangible Cultural Heritage of Humanity’ pada tahun 2008. Sebagai khazanah negara yang diiktiraf dunia, kita perlu bekerja lebih keras mempertahankan Makyong, dan peneraju Makyong.
Mari kita hayati antara kisah Makyong tersohor yang selalu dibawa oleh Primadonna Makyong paling terkenal satu masa dulu. Allahyarhamah Khatijah Awang telah dianugerah gelaran Seniman Negara di atas usaha beliau dalam persembahan Makyong.
ANAK RAJA GONDANG
Bong wei ... membalik tipo gak
Dage membue silolah cik wei
Dage membue silolah cik wei
Ayuhlah cik wei
Seperti suloh memain angin la ...Eh ... bemban gugor di tapok
Selude cik wei ... meningga maye la...
Mako tuboh ambo benamo Raje Gode
Bonda benamo Puteri Gak Jitra
Asa dari negeri, dengar baik Awe
Negeri Serendah Sepagar Ruyong
Aku lah putero Raje Gode....
DI Pantai Timur, Raja Besar memerintah semua tanah jajahan Negeri Serendah Sepagar Ruyung. Kerajaan ini dikenali pelbagai nama seantaro dunia - Raja Besar Endeng Tejali memerintah dengan bijaksana bersama permaisurinya Puteri Gak Jitra.
Lama-kelamaan, pasangan Diraja inginkan pewaris takhta. Dan akhirnya, Gak Jitra sarat mengandung tujuh bulan. Raja Besar pun pergi memburu Gajah Putih bertanduk hitam. Semua yang mengikut Raja Besar penuh kegembiraan ingin menyambut keputeraan payung mahkota.
Tidak lama kemudian, permaisuri pun bersalin setelah mengalami kesakitan dari senja ke subuh dan sehingga larut malam. Kilat dan guruh bersilih ganti. Sabung menyabung. Dentum berdentum. Ratu akhirnya melahirkan.
Mak Bidan terkejut. Kerana yang lahirnya, siput gondang! Sepanjang lengan, selebar tapak tangan.
Takut semuanya hendak menyampaikan khabar berita kepada raja. Sekembalinya Raja Besar, murkalah. Pasti ini bukan pewaris takhta! Raja Besar menuduh Puteri Gak Jitra yang bukan bukan...Kesat nestanya dan menghukum dengan kejam...
Sejurus selepas itu, Raja Besar menyesali kata-katanya, namun tidak dapat menarik balik titah...
Ini derhaka, Raja memutuskan
Namun beta masih belas kasihan
Gak Jitra lemah dari penderitaan
Dibuang negeri jatuh hukuman
Dilarang dari perkarangan istana, Puteri Gak Jitra meminta perlindungan dari seorang pengawal lamanya, Wak Pakil Jenang. “Wak Pakil Jenang jagalah anakanda Siput Gondang ini. Beta ingin mencari Nek Spek Bentala Naga mengadu untung nasib dibuang Raja Besar.”
“Baik Ku. Akan patek jaga baik baik...”
Putri Gak Jitra pergilah ke pantai dan memanggil Ombak Gelombang Tujuh seperti diajarkan oleh ibu angkatnya Nek Spek Bentala Naga, dan tidak lama kemudian Ombak Gelombang Tujuh tiba untuk membawanya ke Tasik Pauh Janggi.
Puteri Gak Jitra pergi untuk sekian lamanya, dan pada suatu hari, tiba tiba seorang anak muda muncul di hadapan Wak Pakil Jenang. Pada mulanya Wak tidak mempercayai matanya. Tetapi dilihatnya siput gondang itu kosong.
“Selamat siang, Wak Pakil Jenang, yang telah menjaga hamba selama ini .." katanya.
"Siapa anak muda ini? Begitu elok laku dan kata... "
"Wak tidak mengenali hamba nampaknya... Hambalah Anak Raja Gondang, yang telah Pak lindungi selama ini."
Wak Pakil Jenang amat begitu senang dengan putera muda itu, terpesona dengan budi bahasanya. Sejak Anak Raja Gondang muncul, kehidupan Wak Pakil Jenang amat bertuah. Tanamannya dan sayur-sayuran seperti keladi dan ubi kayu, terung dan kangkung subur dan amat berhasil. Kemudian Wak menjumpai seperiuk emas tertanam di belakang pondoknya.
Dia membeli pakaian dan makanan yang indah untuk putera itu.
***
Akhirnya Puteri Gak Jitra pulang dari Tasik Pauh Janggi setelah bertahun lamanya. Nek Spek Bentala Naga telah menasihatinya agar tidak bimbang, semuanya akan pulih sediakala akhirnya. Tetapi Putri mesti kembali menemui anaknya.
Namun ketika tiba di pondok Wak Pakil Jenang, Putri Gak Jitra melihat Siput Gondangnya kosong...Gak Citra begitu cemas dan bimbang. Dengan pantas, Anak Raja Gondang menunjukkan diri...
“Bonda...”
“Anakanda?”
“Benar Bonda. Anakandalah Anak Raja Gondang...”
Puteri Gak Jitra sangat gembira menangislah keduanya. Setiap hari, mereka bercerita bergelak ketawa. Anak Raja Gondang menceritakan hal perlaku Wak Pakil Jenang. Dan bondanya menceritakan kisah Bentala Naga tersohor itu.
Akhirnya, pada satu hari, Putera meminta izin permaisuri untuk mencari ayahnya. “Anakanda… apa lagi yang dicari?" Gak Jitra bertanya dengan sedih... “Ingin mengembara ke seluruh dunia?”
***
Anak Raja Gondang terzahir dalam Gondang bertahun-tahun dijaga oleh Pak Wakil Jenang sehinggalah terkeluar, hidup dalam segala keseherdanaan.
Setelah diketemukan kembali dengan bondanya Puteri Gak Jitra, Anak Raja Gondang pun mendapat sizin mengembara ke Timur dan Barat. Sambil melihat negeri baru, putera itu mengambil peluang belajar ilmu memperkasa diri...seni halimunan dan bermacam jenis silat. Ilmu pengasih, ilmu tib, ilmu mantera semua dia belajar. Dia bertemu seorang pengembara bernama Awang dan mereka sama-sama berguru belajar bermain senjata.
Bermain keris dan tombak
Panah Wat Burana Melintang
Istinggar berpeluru perak
Rentaka berdentum dentam
Akhirnya, Anak Raja Gondang sampailah ke negeri ayahnya memerintah sebagai Raja Besar di Negeri Serendah Sepagar Ruyung. Segera dia bersiap diri. Tidak diketahui olehnya, orang istana Mak Inang dan Wak Juara mengikut dan memerhati putera itu sejak sampai ke negeri kerana mereka sangat curiga dengan asal usulnya. Mereka sengaja bersikap kurang ajar dan berusaha menggesa putera itu menceritakan asallalunya.
Putera itu bagaimanapun pandai berhelah dan membiarkan pegawai istana menangkapnya. Wak Juara tidak sedar itu semua adalah sebahagian dari rancangan putera.
Apabila dibawa mengadap Raja Besar, dia tidak setitik pun berasa gentar, tidak resah gelisah...malah memuji keindahan istana dan kerajaan ...
Ampun Tuanku, patek telah berjalan jauh...
Namun tidak pernah melihat kerajaan sebegini
Semua rakyat sangatlah gembira...
Namun Tuanku kelihatan sedih...
Ampun Tuanku…
Raja terkejut dengan kata-kata putera itu. Hatinya tiba-tiba terasa kasih kepada anak muda itu. Teringat kisah lama yang menyayat hati...
Baginda meminta pengawalnya untuk membebaskan Anak Raja Gondang dan mengajaknya naik ke singgahsana di sisinya. Mereka berbual hingga ke larut malam dan putera raja diberi beberapa persalinan dan tidur di istana, sebagai tetamu kehormat raja. Keesokan paginya mereka meneruskan bertukar-tukar cerita.
Raja Besar semakin tertarik dengan budi pekerti Anak Raja Gondang Putera lalu tidak pernah ditinggalkan sendirian. Berburu bersama. Santap bersama. Belayar di laut bersama. Kepandaiannya, pembawakannya, bahasanya - akhirnya Raja Besar kembuatlan keputusan mengangkatnya sebagai putera mahkota.
Namun, sebelum menerima tawaran diRaja, Anak Raja Gondang memberitahu bahawa dia mempunyai satu permintaan terlebih dahulu. Dia mahu agar ibunya tiba menyaksikan pertabalannya.
Gembira Raja Besar mendengarkan permintaan ini.
"Sudah tentu! Anakanda mesti membawa bonda ke istana. Datuk Bendahara! Tolong uruskan supaya Anak Raja Gondang menjemput bondanya dengan segera! "
***
Puteri Gak Jitra sangat gembira mendengar anaknya pulang. Dia berlari anak menyambutnya dan Anak Raja Gondang pun bercerita segala hal yang telah berlaku.
“Anakanda telah bersiap untuk kembali ke istana. Bonda nanti menyamarlah, jangan ditegur Raja Besar melainkan menunjukkan rasa tidak puas hati dengan segala hal dalam istana.”
“Baiklah anakanda. Bonda turutkan saja...”
Anak Raja Gondang dan Puteri Gak Jitra pun pulang ke istana, meninggalkan Wak Pakil Jenang bersendirian...
Di istana Raja Besar menyambut baik Anak Raja Gondang yang ingin ditabalkan menjadi putera mahkota. Namun bondanya asyik sakit hati di istana dan meminta dibawa pergi. Lama-kelamaan, Raja Besar yang menahan kesabaran, bertanyalah,
“Ku maroh bena ke Beta...
Buat apola laghu gitu...”
“Luke lamo berdarah kembali, Ku....
Raja Besar terkejut dan melihat bonda Anak Raja Gendang dengan teliti. Dikenalilah bekas permaisurinya itu. Raja Besar pun terisak-esak hiba dan sedih akan kisah masa lampau mereka.
Semuanya berakhir dengan baik. Anak Raja Gondang cukup yakin bonda dan ayahanda masing-masing memaafkan, walaupun kepedihan tidak dilupakan antara mereka berdua.
Anak Raja Gondang, melihat kedua-dua ibu bapa telah berdamai, kemudian meminta izin untuk mengembara sekali lagi., menjelajah dunia baru. – DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA