MENDAKAP INSPIRASI DARIPADA KEBERANIAN SRIKANDI ADRUGA WIJAMALAI
Grahi. Langkasuka. Serendah Sekebun Bunga.
Kota lama Kerajaan Melayu hampir hilang kesemuanya. Ditakluk. Dikatakan mitos. Dibuang dari buku sejarah.
Adakah kita ingin terus membiarkan warisan dan sejarah dikotak-katikkan oleh mereka yang ingin melihat tamadun Melayu lenyap dari muka bumi? Kenapa? Mungkin untuk meluputkan Bangsa. Bahasa. Jangan lupa kisah di masa lampau sudah terbukti.
Champa dilenyapkan Đại Việt. Patani ditawan Siam. Siam diganti Sukhotai.
Hari ini, terasa seolah-olah kita dibuai ombak. Bagai pasir di pantai. Air pasang kita pun tenggelam. Air surut, kita pun timbul. Bagaimana kita ingin mengorak langkah kehadapan? Siapakah yang boleh menjadi pedoman? Kayu ukur keberanian.
Mari kita selami sejarah silam. Tokoh nusa dan bangsa:
Pada zaman dahulu, hampir seribu tahun yang lalu, kerajaan Melayu lama asyik menerima ancaman dari utara.
Raja Rama Khamhaeng yang telah menjadi Raja Sukhotai bagai gajah naik angin sentiasa ingin meluaskan jajahan, menerjah ke selatan menakluk negeri-negeri Raja Melayu yang indah khabar berita, kaya khazanah bumi dan penuh misteri legenda kayangan, lautan dan alam semesta.
Pengikat tali persaudaraan dari zaman Merong Mahawangsa, bunga emas dan perak berulang-alik antara kerajaan Langkasuka, Patani dengan Kedah mententeramkan angin persaudaraan.
Namun ada seorang Raja memerintah di Grahi dan kemudiannya Langkasuka, Raja Sang Tawal nama gelarannya.
Paduka baginda tidak senang dianggap sekutu dan begitu arif maksud tersirat bunga emas. Lalu Bunga emas tidak lagi menjadi pengganti tanda akur.
Apabila Rama Khamhaeng mendapat berita, dengan geram memutuskan untuk menjadikan seluruh Semenanjung Tanah Melayu sehingga Tanah Ujung dan Temasik itu tanah jajahan kerajaannya.
Yang melawan akan dijadikan ‘Padang jarak padang tekukur’
Raja yang kejam, nama Rama Khamhaeng sudah cukup mengerikan . Sebagai amaran, anak gadis akan diperkosa sehingga zuriat Sukhotai semuanya dilahirkan seluruh Alam Melayu.
Raja Sang Tawal bertekad untuk menghentikan penjajahan Raja Rama Khamhaeng daripada bergerak lebih jauh ke selatan. Lebih daripada segala-galanya, Raja Sang Tawal bertekad bahawa puteri-puterinya tidak akan mengalami nasib yang sama seperti anak gadis yang dirogol dan dijadikan hamba pada bala tentera Raja Rama Khamhaeng yang zalim lagi kejam.
Puteri Srikandi
Arduga Wijamalai, adalah puteri bongsu Raja Sang Tawal. Ia dilatih dalam seni peperangan sejak kecil. Kalau memanah, tidak ada yang lebih cekap daripada puteri itu. Setakat 300 depa, pasti menepati sasaran.
Pada umurnya 10 tahun, Raja Sang Tawal menghadiahkan kuda perang dari tanah Arab diberi nama Halilintar. Ia dilatih seorang berbangsa Uthmaniyah bernama Inologlu. Senjata pemakaian Adruja semuanya boleh membawa padah kepada lawan dan seteru puteri diberi nama Adruga Wijamalai Singa.
Kelewang senjatanya
Berasal dari tujuh logam
Bersinar bagai kaca aram
Keris tersisip di pinggang
Terhunus sehingga menang
Senjata terselit dicucuk sanggul
Sebagai rahsia terunggul
Apabila Arduga beradu silat dan bermain senjata, bagai menari puteri di udara, sekonyong-konyong tidak jejak ke tanah.
Bagai puisi di angin menderu, tidak kelihatan bayangnya. Begitu juga apabila menaiki Halilintar, kedua-duanya menyerang bagai satu tujuan, satu haluan, satu amaran.
Raja Sang Tawal amat bangga dengan kebolehan puterinya Adruja Wijamalai. Satu hari, Adruja masuk mengadap ke balairung seri. Apabila sampai masuk mengadap, semua yang melihat begitu tergamam. Lagi cantik bertambah perkasa dengan segala senjata terletak penuh bertatahkan batu manikam dan dihiasi emas serta perak.
Tidak pernah terlihat puteri Melayu sebegitu rupa. Adruja pun berkata, “Ayahanda, pasukan tentera anakanda telah sedia bergempur mengawal kota. Anakanda telah melatih srikandi bersama pelatih anakanda dari kerajaan Uthmaniyah. 41 orang semuanya termasuk anakanda.
Dua puluh pemanah
Dua puluh pakar pesilat
Pasukan berkuda beramanah
Kepada negara berdaulat
“Baiklah, anakanda. Diberi nama pasukan ini, Seri Wijamala.” Jawab Arduga tegas, “Ampun tuanku!” Puteri pun beredar dari pekarangan istana.
Arduga secara peribadi tidak kenal jerih, penat dan lelah melatih pengawal dan pendekar untuk pasukan Seri Wijayamala. Janda peninggalan perang terdahulu menjadi pilihan utama dan diberi segala kelengkapan. Anak kecil diberi pengasuh dari istana supaya latihan harian tidak terganggu.
Hari berganti hari. Bulan berganti bulan. Semakin hebat dan perkasa srikandi Seri Wijayamala itu.
Setelah genap dua tahun bersiap, pasukan Adruja Seri Wijayamalai mula membantu bala tentera Sang Raja Tawal. Apabila memanah, tiada yang dapat lari daripada sasaran. Tangkas bagai helang mencari mangsa. Berani bagai harimau beranak muda.
Rahsia Raja Sang Tawal, dia menyimpan pasukan Seri Wijayamala dari pandangan supaya tiada musuh yang mengetahui kehadiran Seri Wijayamala di medan perjuangan.
Sementara itu, selepas bertahun-tahun menyerang dan menakluk jiran utara Kembayat Nagara, Inderagiri dan Ligor, Raja Rama Khamhaeng mula mengorak langkah untuk menakluk kerajaan-kerajaan di selatan. Sudah tentu tenteranya mesti dihancurkan dahulu. Rancangan sedemikian diketahui Raja Sang Tawal.
Raja Sang Tawal bersedia
Bagai harimau menyimpan kuku
Bergerak ke utara
Paduka baginda meninggalkan Adruja dan srikandi Seri Wijayamala mengawal kota dan kubu kerana yakin dengan maklumat intipan sulitnya. Ribuan bala tenteranya tentu dapat mengalahkan Raja Ram Khamhaeng dengan mudah.
Malangnya, Raja Sang Tawal mendapat maklumat yang diolah kerana Raja RamaKhamhaeng berjaya membunuh pengintipnya, seorang penari istana yang bertahun lamanya di istana Raja Rama.
Tidak diketahui Raja Sang Tawal, Raja Ram Khamhaeng sudah pun bergerak ke arah Grahi berminggu lamanya dengan mengambil jalan darat yang jauh. Penakluk licik lagi berpengalaman itu mengetuai serangan sendiri, begitu geram Rama Khahaeng dengan Raja Sang Tawal.
Kubu kota dilindungi dengan baik dalam kubu batu tinggi yang dibina oleh Raja Sang Tawal. Namun, naluri Arduga Wijayamalai terdetik bahawa mereka melihat pertempuran tidak lama lagi.
“Ada yang tidak kena,” katanya. “Hutan sekeliling kota terlalu tenang. Tiada burung dan unggas yang terbang. Harimau tidak mengaum. Serigala tidak menyalak.”
Pemanah memerhati dari jauh, saujana luas mata memandang dari menara tertinggi sekeliling kota. Penglihatan mereka begitu tajam, boleh mengesan rajawali menjunam ke tasik menangkap ikan dan helang yang mencuri ternakan.
Tidak berapa lama, mereka melihat pergerakan pokok-pokok secara sekata. Sedarlah Adruja, tentera Raja Ram Khamhaeng telah tiba. Tidak mengapa.
Apabila pengawal mengumumkan ketibaan bala tentera, puteri srikandi hanya tersenyum. Semua pendekar berkuda telah dikerah bersedia menunggu di dalam hutan, mengelilingi kawasan terbaik untuk membuka khemah.
Raja Ram Khamhaeng tiba untuk memberi taklimat kepada panglima tenteranya atas kemenangan yang sudah pasti. Kemenangan mudah melalui tipu helah.
Raja Sang Tawal telah dikesan berarak ke utara dengan seluruh bala tenteranya beberapa hari lebih awal. Tidak terfikir langsung Rama Khamhaeng itu bahawa pasukan Seri Wijayamala yang terahsia itu mengawal kota dan telah mengesan pergerakan mereka.
Lalu terkejut Raja Ram Khamhaeng mendengar suara srikandi memberi laungan pertempuran sebaik sahaja Raja Sukhotai itu muncul, bagai kilat di atas Halilintar, kelewang terhunus, menuju dengan begitu pantas menyerang Raja Rama Khamhaeng.
Adruja menjangka dia terpaksa membuat serangan mengejut membunuh raja sebelum mereka dapat memikirkan apa yang telah berlaku.
Setiap saat adalah berharga. Semakin lama menunggu, Adruja menempa kekalahan.
Seri Wijayamala tidak akan dapat bertahan serangan yang berpanjangan menghadap tentera sebegitu ramai.
Percaturan Adruja berjalan lancar. Pasukan pemanah menyebabkan pasukan gajah dan kuda kacau-bilau. Dalam keadaan huru-hara, Adruja meluru ke arah Raja Rama Khamhaeng.
Raja Ram Khamhaeng tidak dapat mengelak, terus cuba memusingkan haluan. Namun gajahnya naik berang melihat tombak berkilau terkena panah cahaya mentari.
Namun, raja telah dikesan dan Adruja terus mara bagai Seri Dewi Perang dari kayangan. Sekali libas, Raja Ram Khamhaeng terpisah roh dari jasad. Kepala dari tubuh. Bala tenteranya tidak bertuan lagi.
Keadaan semakin kucar-kacir. Adruja mengaut kepala Raja Ram Khamhaeng di hujung lembing sebagai amaran. Habis bertempiaran panglima perang Rama Khamhaeng. Seolah-olah bermimpi ngeri di siang hari.
Adruja dan pasukan Seri Wijayamala bergegas pulang ke kubu. Rentaka menghamburkan ledakan meriam. Kepala Raja Ram Khamhaeng diletakkan di menara Kota itu.
Apabila Raja Sang Tawal mendapat berita, ia pun kembali ke pangkuan anakanda dan menghadiahkan negeri untuk diperintah oleh Adruja Wijamalai. Negeri diberi nama Negeri Seri Indah Sekebun Bunga. Puteri pun mengangkat nama Che Siti Wan Kembang pertama memerintah.
Tidak lama kemudian, utusan dari Sukhotai kembali membawa panji mengaku kalah dan meminta dipulangkan kepala Raja Ram Khamhaeng untuk dikebumikan. Mereka mengisytiharkan bahawa Ayutthaya tidak lagi berperang dengan pahlawan berani Seri Wijayamala ini.
Begitulah alkisah Adruja Wijayamalai memadamkan cita-cita Raja Sukhotai yang kejam memerintah seluruh Semenanjung Tanah Melayu.
Semoga semangat juangnya dimiliki kita semua. Demi mempertahankan nusa, bangsa dan negara. – DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA