MENELUSURI HIKAYAT TOK TUNGGAL
Sumpah janji setia Tok Tunggal
Bergema sepanjang zaman
Panglima dari Bukit Segumpal
Takut semua seteru dan lawan
BARU-BARU ini saya diingatkan tentang sejarah keluarga yang telah begitu lama serta hubung kait dengan keluarga Diraja Pahang.
Mungkin ada baiknya satu hari nanti saya menulis kisah Hikayat Tok Tunggal warisan keluarga setelah sekian lama menulis tentang hikayat dan sejarah yang hampir dilupakan cucu cicit yang ada dan yang belum kunjung tiba.
Kisah bermula dari zaman Tok Amar Segara Sabur yang tiba ke Kampung Duri hampir 300 tahun dahulu. Dunia yang mencabar penuh bahaya di lautan luas dan hutan belantara yang diredah membuka dunia baru di Sungai Duri.
Tok Kota nama tidak asing lagi dalam kalangan sejarawan Pahang. Kisah anakandanya Tok Parit yang bijaksana dan adinda Tok Tembaga gagah perkasa. Tok Tembaga dan Tok Parit memulakan mukadimah Hikayat Pahang mengejar lanun di Laut Melayu supaya menambah harta kerajaan. Sekali Tok Tembaga bertempik, habis bertempiaran lanun semua.
Tok Kota juga mempunyai anakanda sulung bernama Che Long Lingga telah berkahwin dengan Tun Ali (Bendahara pemerintah Pahang ke-13 di-Pahang dari keturunan Bendahara sejak 1688). Che Long Lingga kekanda sulung Tok Parit merupakan bonda kepada Sultan era moden pertama, Al-Marhum Sultan Ahmad.
Di mana katanya titik pertemuan keluarga dan kerajaan?
Tok Parit dikhabarkan mempunyai anak gadis bernama Tok Chenduk yang merupakan Canggah saya. Tok Tunggal dari Bukit Segumpal telah menawan hati anak Tok Parit yang tersohor itu. Lalu, Orang Kaya Berlapan Datuk Amar Segara Tok Tunggal dan Tok Chenduk dikurniakan waris wira dan srikandi.
Semuanya hebat belaka. Tok Tunggal Panglima Raja berjasa pada al-Marhum Sultan Ahmad, beliau antara Orang Besar yang mengangkat sumpah setia pada Tun Ahmad di Pasir Tambang pada tahun 1862.
Dikatakan apabila mendengar sumpah taat setia ini maka Tun Ahmad telah bertitah supaya semua menjaga keselamatan dengan daulat pemerintah terdahulu. Maka sekelian yang hadir berselawat sebanyak 3 kali tanda sumpah setia.
Apabila Tun Ahmad naik takhta segalanya pun berdamai.
Demikianlah Encik Husin Panglima Bebas, anak Tok Tunggal Bukit Segumpal; sekalian adik -beradik orang yang telah masyhur beraninya zaman berzaman; cucu Tok Parit yang tersebut di dalam kisah pertama. Tiadalah boleh diperikan mereka itu keberaniannya masa melanggar kubu musuh itu.
Hikayat Pahang
Namun mungkin ada perselisihan faham. Anakanda Tok Imam Perang Husin Tok Tunggal terbunuh dan Tok Nit membela kematian adindanya lalu membawa diri, bersama isteri tercinta Embun dan anaknya Awang Pekan ke Patani.
Akhirnya, panggilan kampung halaman Bukit Segumpal menyambut anak dagang Awang Pekan yang handal bermain seruling bambu dan pedang pulang dari perantauan. Dan kisah kami sekeluarga berterusan hingga hari ini.
Cerita sebegini hanyalah untuk kami mengambil iktibar. Namun, kisah hampir 300 tahun yang lampau inilah yang menjadi tali pengikat, segala waris dan keluarga yang tinggal serata ceruk negara dari jauh dan dekat.
Dalam adat Melayu, kita memang patut mengenal waris terdahulu sebanyak 9 keturunan supaya mudah kita doakan rahmat dan sedekah Al-Fatihah.
Di samping itu, kita mengenal kekayaan bumi bertuah. Memang ramai yang tidak tahu betapa kayanya Bumi Semenanjung Tanah Melayu ini. Emas. Timah. Getah. Habis dijarah penjajah terdahulu.
Bayangkan dunia yang mewah sebelum kehadiran Inggeris, ‘Maka sekalian balai gambang berlabuh di dalam sungai sangatlah banyaknya; puluh-puluh bersusun, rupanya seperti jajaran kapal laut.’
‘Tiadalah dapat diperikan besar arakannya…Kemudian barulah diarak betul. Diambil menora, makyung bawa berarak ke dalam perahu dengan gong gendangnya, meriam dan lela, senapang pada sekelian perahu dimasukkan…’
‘Tuan puteri dengan takzim dibawa ke dalam istana… telah menanti puteri-puteri disembur emas, perak serta beras kunyit perada. Ia berjalan sudah berbintang.’
‘Santap nasi berastakona tujuh tingkat. Batangnya perak. Daunnya emas. Sangatlah cantik di majlis.’
Cerita-cerita hikayat dan tradisi turut mempertahankan budaya dan warisan Melayu, serta mampu menaikkan semangat kepahlawanan dan jatidiri. Melalui cerita-cerita tersebut, kita mempelajari nilai-nilai yang penting di dalam kehidupan, seperti nilai taat setia, kebenaran, keadilan, keberanian, dan nilai-nilai agama. Serta perkara yang patut jadi larangan dan sempadan. Tidak kurang juga kisah jenaka dan seloka menjadi pengikat kasih dan ingatan mesra.
Mungkin kerana ini saya amat tertarik dengan hikayat dari kecil lagi. Tambahan pula budaya membaca amat tinggi dalam keluarga jadi apabila pulang ke kampung, saya akan membaca hikayat Melayu di almari (gerobok) di samping menelaah Encyclopedia arwah Tok Ki Salehuddin yang tersusun di ruang tamu.
Arwah Toki Salehuddin juga memberi khidmat bakti kepada Al-Marhum Sultan Abu Bakar yang memerintah bumi Pahang selama lebih 4 dekad.
Inilah sedikit sebanyak hikayat lama sejarah keluarga. Jika ada umur yang panjang, kita boleh bercerita lagi.
Ninot binti Abdul Aziz bin Tok Muda Salehuddin bin Tok Awang Pekan bin Tok Nit bin Datuk Amar Segara Tok Tunggal bin Datuk Amar Segara Tok Ghaffur bin Tok Aji bin Datuk Amar Segara Tok Sabur Sungai Duri.
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA