PERAHU KOLEK. REBANA UBI. SEBIRUNYA LANGIT
KEINDAHAN alam semesta, cinta budaya dan silaturahim yang ikhlas itu adalah adat dan adab Melayu. Itulah yang semua pengunjung alami di RIUH SOKMO Bersama Celcom dari 16 hingga 18 September 2022.
Sampai saja ke tapak RIUH SOKMO Bersama Celcom di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh, Perahu Kolek menyambut para pengunjung sebaik saja melepasi pintu masuk. Secara tidak langsung, Perahu kolek itu melambangkan segala kemahiran, keindahan dan keunikan kebudayaan dan kesenian negeri Cik Siti Wan Kembang.
Perahu kolek yang dipamerkan di RIUH SOKMO Bersama Celcom ini dibawakan khas dari Kampung Pulau Gajah, Pantai Sabak Pengkalan Chepa. Kehadiran Perahu Kolek berwarna-warni sepanjang lebih 12 meter itu sebenarnya membuktikan beberapa ilmu kepakaran Melayu lama.
Ia membuktikan bahawa sebenarnya, orang Melayu telah membuat pelbagai perahu pelbagai saiz seperti perahu pinis gobel, perahu besar, dan perahu payang.
Pada zaman dahulu, nelayan ke laut menghadapi bencana ribut, lautan bergelora dan bahaya yang tidak dijangka dari pelbagai sudut, jadi perahu mestilah gah dan memberi semangat yang baik dan penuh keyakinan. Antara perahu yang bersaiz sederhana pula perahu kolek, bedar dan sekoci dibina.
Kepakaran membuat perahu yang dapat mengharungi lautan untuk mencari nafkah sebagai nelayan dan berdagang dari kayu yang bersesuaian iaitu cengal, terkenal dengan ketahanannya. Keperincian yang sama diberikan kepada perahu yang lebih kecil tetapi ditambah dekorasi.
Dalam kehidupan penuh pancaroba, apresiasi terhadap alam dań kesenian yang tinggi seperti ukir kayu menjadi latar belakang falsafah kehidupan.
Lebih menarik lagi adalah fungsi setiap bahagian perahu seperti Bangau, Caping, Okok dan Linggikelihatan seperti dekorasi tetapi mempunyai kegunaan tersendiri. Contohnya bangau, cuping dan okok berfungsi sebagai tempat meletak atau menyandarkan tiang layar dan untuk meletak tali tau rotan pengikat.
Akhirnya, perahu berwarna warni memerlukan ilmu pencelup warna yang dihasilkan dari pelbagai sumber asli seperti tumbuhan dan abu serta lain lain hasil sumber alam.
Reka bentuk perahu ini gaya Melayu memperagakan teknik ukiran dan lukisan yang tinggi daya cipta seninya. Pemilihan warna menjadi keutamaan mungkin supaya senang kelihatan. Motifnya pula kerap membawa kenangan legenda lama - mitos naga, hanuman dan kini flora.
DIKIR BARAT
Apabila Dikir Barat berkumandang pada hari kedua di RIUH SOKMO! kita berpindah ke dunia Tanah Serendah Sekebun Bunga. Inilah nama lama negeri Kelantan seperti yang diceritakan dalam Hikayat lama.
Ia satu kenangan zaman romantika. Peluang mendengar dikir barat setelah sekian lama amat mengasyikkan kerana Dikir yang didendangkan adalah Dikir tersohor Tanah Serendah Sekebun Bunga mengesahkan kerajaan Cik Siti Wan Kembang yang silam.
Tanah Serendah Sekebun Bunga
Di situlah riwayat bermula
Seorang Raja terkenal namanya
Sejarahnya masyhur di mana-mana
Kisah bermula seorang Raja
Di Tanah Serendah Sekebun Bunga
Memerintah negeri adil saksama
Seluruh rakyat hidup aman bahagia
Cik Siti Wan Kembang digelar nama
Raja Perempuan bijak laksana
Cantik rupawan ayu jelita
Menjadi sebutan sepanjang masa
Masa berlalu zaman beredar
Sejarah cik siti kan masih segar
Biarpun lama takkan pudar
Bagai cahaya terang bersinar
Selagi hayat dikandung badan
Sejarah lama tetap dikenang
Walaupun mati bertindih tulang
Namun pusaka tetap dijulang
Inilah kisah satu cerita
sejarah lama kebanggaan kita
Jadi legenda kenangan masa
Warisan kesinambungan budaya
Dikir Barat sebenarnya salah satu persembahan yang terus diminati masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang, biasanya disampaikan secara berkumpulan dan akan diketuai oleh seorang Tok Jogho.
Tukang karut dan Tok Jogho akan mendendangkan lagu diikuti kumpulan dengan bersemangat sambil berbalas-balas pantun dengan lantang sekali!
Semangat dikir itu membawa kita ke alam yang sangat berlainan. Dunia Hikayat lama. Dunia Cik Siti Wan Kembang. Dunia Alam Melayu
SENI DAN BUDAYA
Lain lain aktiviti yang menarik minat ramai termasuk congkak gergasi, kertok, rebana ubi, wau bulan dan silat tari. Tarian Sate Malaysia dan pertunjukkan konsert Wings, Datuk Ramli Sarip, Faizal Tahir, Insomniacs dan Here Comes July memberikan pengalaman berbeza untuk semua generasi pelawat ke RIUH SOKMO.
Langit biru terbentang seluas-luasnya menjadi latarbelakang Kembara ini dan menjanjikan sesuatu cara hidup yang berlainan jauh dari kota dan bandaraya. Udara segar, kawasan mengijau. Kehidupan lestari.
Indahnya Malaysiaku! – DagangNews.com