PERTEMPURAN 3 TOK DALANG
DERHAKA TIGA PENGASUH
Wayang Kulit Mencerminkan Masyarakat Semasa
SEBAGAI pembukaan Panggung Seni Tradisional 2022 anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), persembahan Pertempuran 3 Tok Dalang membuka tirai tahun ini.
Memang agak susah untuk menyaksikan pertunjukkan Wayang Kulit di Kuala Lumpur, jadi peluang ini tidak dilepaskan walaupun terpaksa mengaksikan persembahan malam kedua pada 28hb Mei 2022.
Memang menarik Pertempuran 3 Tok Dalang yang merupakan variasi persembahan di mana tiga Tok Dalang mempersembahkan wayang kulit di pentas yang sama.
Pada masa yang sama, teater ini mengutarakan Tol Dalang pewaris warisan tradisional yang muda, menjanjikan kelangsungan dan kelestarian legasi seni wayang kulit.
Persembahan Derhaka Tiga Pengasuh ini hasil karya Mohd Sulhie Yusof, ketua Kumpulan Arjunasukma.
Pada kali ini, saya dapat bertemu dengan Tok Dalang tersohor dari Tanah Merah Kelantan, Tok Dalang Pyu, berumur 8 tahun, atau Adik Aqfierudza Rizq Mohd Sulhie paling berpengalaman antara ketiga Tok Dalang kerana telah menjadi Tok Dalang selama 4 tahun.
Beliau begitu ghairah melakonkan kisah Derhaka 3 Pengasuh karya ayahnya sendiri, Sulhie.
Tok Pyu menceritakan pengalaman menjadi Tok Dalang sejak berumur 4 tahun lagi menjadi darah dagingnya.
Kemahiran ini memberikan Pyu keyakinan luar biasa berhadapan dengan sidang hadirin dan sesiapa saja walaupun jauh lebih tua darinya.
Tok Dalang kedua bernama Kang Xiau Ren dari Kampung Kok Lanas, seorang tenaga pensyarah di ASWARA bersama Tok Dalang ketiga Mohd Arif Elmi Rasdy, juga dari ASWARA, berasal dari Macang menggantikan Tok Dalang malam persembahan pertama Ahmad Marzuki Nordin.
Derhaka Tiga Pengasuh
Kisah Derhaka Tiga Pengasuh ini amat sinonim dengan keadaan masyarakat hari ini menceritakan keadaan di mana Pengasuh yang telah lama berkhidmat pada Raja Serama berihat meninggalkan kerajaan Pura Ranjuna yang sudah aman permai.
Tidak lama kemudian pengasuh di istana bertemu seseorang yang tidak diketahui asal usulnya bernama Wak Tabib, yang dikatakan pandai menilik dan sebagainya. Tanpa usul periksa, Wak Tabib dibawa ke istana dan menjadi orang kepercayaan Raja Serama.
Tidak lama kemudian, Raja Serama bermimpi negerinya dilanggar Garuda. Wak Tabib segera dipanggil untuk memberi firasat.
Wak Tabib kemudian mengatakan Pengasuh mestilah pergi mencari Kijang Puteh Berkaki Hitam. Apabila di hutan, Wak Tabib memberitahu Para Pengasuh bahawa Raja sebenarnya ingin membunuh mereka semua.
Bermulalah pengkhianatan yang sebenarnya rancangan Raja Pasal Gempita untuk menjatuhkan Raja Serama!
Siapakah yang akan dapat menyelamatan Raja Serama dan Pura Ranjuna?
Lucu Wayang Kulit
Persembahan ini seperti biasa diserikan dengan adegan lucu seperti Pengasih menerima panggilan dan ‘miss call dari Tuanku’ serta kehidupan harian zaman ini yang diselitkan dalam dialog Wayang Kulit mencuit hati penonton.
Pihak penaja Agrobank yang memainkan peranan penting memperkasa warisan tradisi juga dapat menyelitkan kata-kata penaja yang begitu bersesuaian.
Justeru, Wayang Kulit memang dapat menyuntik imaginasi dan terkenal di seluruh Asia Tenggara terutamanya Kelantan, Kemboja, Siam, Patani dan Jogjakarta. Ianya satu bentuk teater tradisional yang menggunakan prinsip pengcahayaan dan bayang yang telah ujud zaman berzaman.
Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri dari pelbagai watak mitologi dan khayalan diberi nyawa dan suara oleh Tok Dalang, yang menghidupkan keseluruhan persembahan. Persembahan wayang kulit diiringi kumpulan muzik paluan atau gamelan dan juga alat tiupan atau alat bertali seperti rebab.
Rebab boleh dikatakan melodi pemberi semangat dan jiwa pada persembahan.
Peranan Wayang Kulit dalam sosio budaya hari ini
Mengenal pelbagai bentuk dan jenis wayang kulit lebih-Iebih lagi di Tenggara Asia amat menarik kerana setiap patung wayang kulit mempunyai bentuk dan watak tersendiri mengikut tempat asal usulnya.
Hari ini di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat empat jenis wayang kulit iaitu :
i) Wayang Kelantan (penyampaian bahasa Melayu loghat Kelantan).
ii) Wayang Melayu (penyampaian dalam bahasa Melayu berpengaruh Jawa)
iii) Wayang Purwo (Bahasa Jawa diselit dengan dengan bahasa Melayu tempatan).
iv) Wayang Gedek (penyampaian bahasa Thai dan bahasa Melayu loghat tempatan).
Dari keempat-empat jenis wayang kulit ini yang pertama dan kedua didapati di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur, yang ketiga terdapat di bahagian Selatan Semenanjung terutamanya di Johor dan yang keempat di negeri Kedah dan Perlis.
Wayang kulit yang terdapat di Semenanjung Malaysia telah mengalami pelbagai perubahan mengikut selera dan penceritaan masyarakat tempatan.
Perkara ini tidak ganjil kerana sebenarnya wayang kulit melestarikan budaya dan bahasa. Justeru, ia diterima sebagai hiburan dan penyampai maklumat serta pengajaran masyarakat.
Penceritaan, patung dan watak wayang kulit ini mengekalkan keaslian namun adegan-adegan lucu 'comic relief' memberi nafas baru menarik minat generasi baru dari segi bahasa dan juga peristiwa-peristiwa yang digambarkan.
Ini amat penting bagi kesinambungan budaya dan kesenian kita.
Siri Panggung Seni Tradisional kelolaan kerjasama JKKN dan MaTIC ini berjaya memulihara dan mempopularkan semula warisan tradisi.
Ikutilah kalendar Panggung Seni Tradisional untuk persembahan terbaik dari kumpulan budaya seluruh negara bertempat di MaTIC, Kuala Lumpur.
Kerajaan Sinar Naik Serama
Jangan dibiar huru-hara
Pertahan budaya kita bersama
Warisan bangsa terpelihara
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA