Raja Pasai gila kuasa, akhirnya ditakluk Majapahit
KISAH hikayat Melayu yang disemadikan dalam Manuskrip Melayu lama kebanyakan merakamkan kisah raja-raja Melayu dan orang-orang besar pada zaman itu.
Ini dikatakan penting untuk tatapan anak cucu di masa hadapan supaya belajar dari kesilapan dan peristiwa lalu.
Yang menghairankan, setelah berkali-kali jatuhnya kerajaan Melayu adalah disebabkan sifat hasad dengki, tamak haloba, lupa pada tanggungjawab dan amanah - pergolakan yang timbul dan percaturan manusia, dari pembesar negeri ke raja-raja terus berulang.
Hikayat Raja Pasai adalah antara hikayat terawal dunia Melayu. Semoga kita mendapat manfaat dari kisah ini untuk muhasabah diri sebelum PRU15 ini. Jangan termakan muslihat dan pencak silat. Pancaroba dan lakonan semata.
Mana yang baik, yang buruk
Mana yang tulus ikhlas danMereka yang bermain wayang
Dari pagi ke petang
Janji manis, dan kata-kata kesat
Memperlihatkan adab mu
MEMORI HIKAYAT RAJA PASAI
Alkisah peri mengatakan cerita raja yang pertama masuk agama Islam ini Pasai; maka adalah diceriterakan oleh orang yang empunya cerita ini, negeri yang di bawah angin ini, Pasailah yang pertama membawa iman akan Allah dan akan Rasulullah.
Maka ada raja dua bersaudara seorang namanya Raja Ahmad dan seorang namanya Raja Muhammad. Adapun yang tua Raja Ahmad. Maka baginda kedua bersaudara itu hendak berbuat negeri di Samarlanga. (Hikayat Raja Pasai)
Saudara Beraja
Raja Muhamad berputeri Betung
Dari perdu rebung buluh patah
Raja Ahmad juga amat beruntung
Mendapat putera Merah Gajah
Dua raja bersaudara itu menikahkan Merah Gajah dan Puteri Betung lalu dikurniakan putera Merah Silu dan Merah Hasum yang sangat baik rupa peromannya.
Pada satu hari, ketika Puteri Betung sedang menidurkan puteranya, Merah Gajah terlihat rambut emas di kepala isteri tercinta, lalu Merah Gajah mencabut rambut tersebut apabila Puteri sedang tidur. Tiba-tiba keluar darah putih dari liang rambut itu sehingga Puteri Betung hilang dari dunia ini…
Kehilangan Puteri Betong begitu menyedihkan. Ayahandanya Raja Muhammad terus naik berang membunuh Merah Gajah. Raja Ahmad begitu marah turut mengamuk dan peperangan saudara yang terlalu sengit menyebabkan kedua saudara diRaja mangkat beserta sebilangan besar rakyat.
Bertikam-tikaman Raja bersaudara
Melayang-layang, panah memanah
Matilah semua rakyat tidak berdosa
Gugurlah raja bersaudara ke tanah
Tinggallah Merah Silu dan Merah Hasum menjadi anak yatim piatu dan rakyat yang ada mengaku taat setia kepada mereka. Kesemua terus berdiam membina negeri di Semerlanga itu sehingga Merah Silu Merah Hasum akhirnya keluar merantau.
Pada satu hari Merah Silu ke hulu sungai menahan lukah. Akan tetapi walaupun begitu banyak ikan melompat-lompat di sungai, dia hanya dapat menahan cacing gelang dalam lukah. Terlalu geram Merah Silu, dia pun membawa pulang cacing gelang dan digoreng. Tiba-tiba kesemua cacing itu berubah menjadi emas!
Pada hari lain pula, Merah Silu menangkap kerbau liar. Merah Hasum berkata, “Apalah kekanda menangkap kerbau liar. Buat malu saja kita anak Raja bermain kerbau.”
Akhirnya, Merah Silu tidak tahan mendengar cemuhan adiknya dan beredar dari kediaman bersama membawa diri dengan segala harta dan kerbaunya. Merah Silu mengembara hingga berjumpa Megat Iskandar yang kemudian melantik Merah Silu menjadi raja di Rimba Jerun. Terjumpa semut sebesar kucing lalu dimakan. Dan dinamakan tempat sebagai Samudera.
Malam itu Merah Silu bermimpi mengucap dua kalimah syahadat dan pada esok harinya masuk Islam dengan nama Sultan Malikul Saleh. Selang beberapa hari kemudian, tiba sebuah kapal dari Mekah berlabuh di pelabuhan Samudera. Syeikh turun dari kapal menghadap Sultan Malikul Saleh dan memintanya mengucap dua kalimah syahadah. Diberinya senaskah al Quran. Sultan Malikul Saleh terus membaca dengan lancar.
Syeikh menabalkan Sultan Malikul Saleh menjadi Raja Semudera Darul Salam atau Semudera Pasai.
Raja yang zalim
Raja-raja Pasai terus memerintah dengan aman damai beratus tahun sehingga Sultan Ahmad Perumudal Perumal menjadi raja Pasai.
Sultan Ahmad ini dikurniakan 30 orang anak. Yang paling berkepentingan ada lima iaitu Tun Beraim Bapa, Tun Abdul Jalil, Tun Abdul Fadil, Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara.
Istana Sultan Ahmad Perumudal Perumal
Tidak terperi indahnya membina negeri
Namun nafsu buas tiada batas atau sesal
Berahi pada anakanda puteri,
Tun Takiah Dara dan Tun Medan Peria
Tun Beraim Bapa, abang tertua mereka merasa benci akan hal ini dan membawa kedua-dua adindanya tinggal bersamanya bagi mengelakkan perkara durjana tidak diingini ini menyebabkan Sultan Ahmad semakin marah dan zalim.
Pada satu hari, Tun Beraim Bapa yang gagah perkasa , berlatih bersama Tok Gurunya. Gendang perang begitu bingit kerana Tun Beraim berlawan dengan pendekar dari Benua Keling. ketika Sultan Ahmad Perumudal Perumal lena di Pasai. Baginda terjaga terlalu marah dan berazam akan membunuh Tun Beraim Bapa.
Bermulalah kisah Sultan Ahmad mendera Tun Beraim Bapa…
Disuruh menyelam di Sungai Pasai dan hulubalang dipaksa menetak sekiranya timbul. Tun Beraim Bapa timbul jauh dari Pasai.
Disuruh melepaskan perahu yang tersangkut supaya Tun Beraim mati lemas. Terselamat juga Tun Beraim.
Disuruh makan cucur beracun dari Seri. Semua yang makan termasuk dua adiknya Tun Medan Peria dan Tun Takiah Dara mati keracunan.
Tun Beraim Bapa pantang derhaka , pun makanlah cucur yang beracun. Dimakan ular tidak baik. Dicampak lembing sekuat hati, lembing tercacak di antara kubur Tun Takiah dan Tun Medan Pria.
Tun Beraim Bapa pun mati dikebumikan di tempat lembing tercacak.
Perluasan Kuasa Majapahit
Negeri Pasai semakin tersohor. Tun Abdul Jalil memerintah kerajaan Pasai apabila ayahandanya Sultan Ahmad pergi memburu.
Tuan Puteri Gemerencang puteri Ratu Majapahit telah menyuruh Tun Perpatih melukis potret anak-anak raja, termasuk Tun Abdul Jalil. Melihat potret itu, tuan puteri rasa tersangat ingin menemuinya. Ratu Majapahit pun membenarkan Tuan Puteri Gemerencang ke Pasai.
Tetapi apabila Sultan Ahmad mendengar hal itu, dibunuhnya pula Tun Abdul Jalil supaya Tuan Puteri Gemerencang melihat dirinya Raja apabila sampai.
Tuan Puteri Gemerencang sedarlah mendapat berita hal itu terlalu dukacita bercinta tidak kesampaian lalu terjun ke tasik. Lemaslah Tuan Puteri Gemerencang.
Begitu amarah Ratu Majapahit mendapat tahu puterinya Puteri Gemerencang mati lemas di Pasai. Pendekar-pendekar pun dikerah menyerang Pasai.
Senapati pun mengerahkan segala Menteri, penggawa, dengan segala rakyat naik kebahteraannya masing-masing bermuat segala arta rampasan dan orang tawanan terlalu banyak dimuatkannya, hingga saratlah segala kelengkapan itu seperti berenang di udara. Demikianlah rupanya segala kelengkapan.
Maka sekaliannya pun belayarlah kembali ke negerinya dengan kemenangannya, sepanjang laut dengan tempik soraknya. Hatta, berapa lamanya ia di laut, maka sampailah ia ke Jambi dan ke Palembang. Maka singgahlah ia di Jambi dan di Palembang. Maka kedua buah negeri itupun menunggu dan berserah senjata, maka takluklah kedua buah negeri itu ke Majapahit. (Hikayat Raja Pasai)
Ratu Majapahit mengerah Perdana Menteri, Patih Gajah Mada memperluaskan kuasa seluruh nusantara seperti yang dijanjikan pada Tribuana Tunggaldewi dan juga puteranya, Hayam Wuruk. Sultan Ahmad lari ke hujung negeri.
Hilanglah kerajaan Pasai Samudera dari sejarah.
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA