Rama-Rama di Istanbul, kisah pemuisi Turkiye di dalam Butterfly's Dream | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 31 Oct 2022 07:00 AM

Rama-Rama di Istanbul

 

Rama-rama terbang

di stesen tram melayang

berbisik selamat datang

 

 

 

DARI saat terlihat seekor rama-rama terbang di celah kesibukan kota Istanbul, terasa ada maksud yang ingin disampaikan oleh kota itu sendiri.

 

Saya datang mencari inspirasi, di atas cadangan Hafiz Latiff, penulis seangkatan. Tercetus kegembiraan di hati nurani bahawa hikayat baru akan tertulis di sini. 

 

 

Ninot Aziz

 

 

Setibanya di Istanbul setelah selesai menghadiri Pesta buku Antarabangsa di Frankfurt, Jerman, hati ini memang teruja.

 

Setelah sekian lama melayan impian ingin ke Istanbul, terasa bermimpi melangkah ke kota bersejarah itu. Datang ke sini mengejar inspirasi novel terbaru yang telah tiga tahun menunggu kesudahan cerita.

 

 

turkiye

 

 

Keinginan berkobar-kobar ingin menghirup udara yang sama, menyelusuri Bosphorus seribu rahsia Al Fatih. Berjalan menjelajah kotaraya ditawan Sultan Mehmet II,  569 tahun yang lampau apabila raja muda itu baru berumur 21 tahun.

 

Baginda juga mengejar mimpi ingin menawan bandar gah bagai rama-rama ilusi pemerintah-pemerintah Uthmaniyah sebelumnya termasuk ayahandanya Sultan Murad II. Ini berterusan beratus tahun lamanya didorong semangat perwira cetusan kata- kata semangat, 

 

“Sesungguhnya kota Constantinople (bahasa Melayu: Konstantaniah) pasti ditawan satu hari nanti. Betapa hebatnya Raja yang berjaya membuka kota indah. Dan betapa hebatnya tenteranya itu.”

 

Rama-rama di perkarangan Muzium

Muzium Panorama menceritakan Pembukaan Kota Istanbul indah selepas tertawannya Constantinople. Muzium Sejarah Panorama 1453 ini terletak di Taman Budaya Topkapi, di kawasan Merkez Efendi.  

 

Muzium ini mudah dilawati dengan menggunakan pengangkutan awam ke Topkapi, melalui Laluan T1 Tram. Suami teman rapat di Istanbul mencadangkan ke Muzium ini untuk mengalami kisah pembebasan Istanbul pada tahun 1453. 

 

 

Ninot Aziz

 

 

Sejurus kemudian, apabila tiba  di perkarangan Muzium Panorama, tersergam beberapa arca rama-rama gergasi berkilauan di taman Topkapi. Memang jiwa melonjak, sokonyong-konyong ada mesej yang ingin disampaikan oleh kota itu sendiri. 

 

Muzium ini dibuka pada tahun 2009, menceritakan kejayaan Sultan Mehmet II membuka kota Istanbul. Beliau dikenali sebagai Al Fatih, The Conqueror dan tandatangan beliau disemadikan seluruh Istanbul.   Di bahagian teratas muzium inilah terdapat lukisan panorama 360 seluas pandangan. 

 

Di sini, pengunjung merasakan seolah-olah berada di tengah-tengah medan peperangan  di saat penaklukan kota Constantinople, ibu kota Empayar Byzantine, oleh tentera Sultan Mehmet II, al Fateh pada 29 Mei 1453.

 

Muzium ini terletak berhampiran dengan titik di mana tentera Uthmaniyyah melanggar tembok dan kita dapat melihat tinggalan tembok yang mengawal Constantinople apabila tiba di stesen tram. 

 

 

Ninot Aziz

 

 

Pameran utama muzium merupakan lukisan panorama 360°, berjaya memberi gambaran bahawa pelawat sedang berada di kancah medan peperangan, tambahan pula kesan bunyi bergema menambah ilusi - bunyi meriam berdentum dentam, tembakan senjata, jeritan tentera jatuh dari tembok dan paling hebat, bunyi pancaragam Uthmaniyah yang menggentarkan seluruh Constantinople dan membakar semangat 80,000 tentera Al Fatih. 

 

Penaklukan ‘Butterfly City’ ini dikatakan meneruskan Butterfly Effect membawa kepada zaman kegemilangan Kerajaan Uthmaniyah ratusan tahun. 

 

Terasa susah meninggalkan Muzium Panorama 1453 ini. Namun terus melangkah ke kedai cenderamatanya dan lantas, membeli ole-ole dan juga novel tersohor Orhan Pomuk The Museum of Innocence untuk persediaan lawatan hari kedua nanti. 

 

Setelah selesai lawatan ke Muzium Panorama, terus ke Masjid Hagia Sophia yan tersergam indah. Laungan azan waktu asar berselang seli dengan azan Masjid Biru Sultan Ahmet.  Sempat solat dan mengambil gambar di pintu gerbang Hagia Sophia sambil membayangkan ketibaan Al Fatih  membebaskan semua warga kota di dalam masjid itu. 

 

Rama-rama di Muzium Orhan Pamuk

Selesai hari pertama melawat pelbagai pusat pelancongan, hari kedua dimulakan dengan lawatan ke Masumiyet Müzesi, atau Museum of Innocence yang dibuka pada 2012. Semalaman membaca sebahagian buku Orhan Pamuk sebanyak 18 bab supaya dapat menghayati  Muzium tersebut. 

 

Apabila sampai (bukan mudah untuk mencari The Museum of Innocence) di Cukurcuma seperti yang digambarkan dalam buku Orhan Pamuk itu, bayaran masuk tidak dikenakan apabila menunjukkan novel yang telah dibeli sehari sebelum.

 

 

The Museum of Innocence Cukurcuma
The Museum of Innocence, Cukurcuma

 

 

Buku ditandakan dengan cop rama-rama untuk menandakan lawatan! Ini adalah kerana ikon kisah cinta ini merupakan subang heroinenya, Fusun yang berbentuk rama-rama - Istanbul berbisik  lagi menyambut kehadiran penulis di bandar pemenang Anugerah Nobel Kesusasteraan, Orhan Pamuk. 

 

Masumiyet Müzesi itu ialah sebuah muzium di sebuah rumah abad ke-19 di Istanbul yang dikurasi Orhan Pamuk sendiri seiringan dengan novelnya The Museum of Innocence memberikan pengalaman unik untuk pembaca yang berpeluang melawat muzium.

 

Muzium dan novel itu memaparkan kisah cinta seorang pemuda dari keluarga berada di Istanbul bernama Kemal dengan saudaranya Fusun. Di dalam novel ini, Orhan Pamuk turut ‘beraksi’ sebagai salah satu karektor. Rama-rama terus menjadi tumpuan di Muzium dan dalam buku tersebut. 

 

Sebenarnya di Museum ini dipamerkan segala artifak yang berkaitan dengan penceritaan kisah cinta tersebut seperti kasut kuning Fusun, beg tangan Sibel dan jug kuning Kemal. Ianya meningkatkan pengalaman mendalami novel ini.  Di tingkat ketiga Museum itu dipamerkan pelbagai kerongsang berbentuk rama-rama. 

 

Satu lagi pengalaman yang tidak mungkin dapat dilupakan.   Di kedai cenderahati, saya mendapatkan keychain berbentuk rama-rama ikonik disini. Tidak hairanlah, pada 17 Mei 2014, muzium ini telah diumumkan sebagai pemenang Anugerah Muzium Terbaik Eropah 2014.

 

 

Ninot Aziz

 

 

Butterfly’s Dream 

Pada malam ketiga dan terakhir di Istanbul kali ini, saya sempat menonton filem Turkiye berjudul Butterfly’s Dream bersama sahabat baik yang membawa saya sekeliling kota Istanbul, Ninu Jamaludin.

 

Filem ini menunjukkan kisah dua orang pemuisi Turkiye yang tinggal di Zonguldak, Turki pada zaman Perang Dunia Kedua.

 

Kisah cinta, kesedihan, derita kemiskinan zaman itu seolah-olah begitu jauh dari Istanbul yang begitu moden - dan penuh tradisi, dari Grand Bazaar, Spice Bazaar dan segala liku-liku bandar ini. 

 

Ada banyak lagi kisah di Istanbul - tetapi  pengalaman yang dikaitkan kehadiran pelbagai rama-rama ini begitu mengasyikkan. Mungkin kita boleh bincangkan di lain lebaran bagaimana budaya menyumbang pada pelancongan di Istanbul. 

 

rama-rama terbang tinggi

membawa kenangan abadi

kota Istanbul teguh berdiri

 

 

Ninot Aziz
 
 
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA