Sang Rajuna Tapa, Patih Kerma Wijaya, Raja Mendeliar muncul kembali? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 10 Jul 2021 12:53 PM

SANG RAJUNA TAPA, PATIH KERMA WIJAYA, RAJA MENDELIAR MUNCUL KEMBALI?

 

 

 

Jikalau demikian binasalah negeri ini, kerana orang besarnya tiada muafakat sama orang besar.”

                                                                                                                 Sejarah Melayu

 

 

Dunia politik itu adalah asing dari jiwa dan naluri saya tetapi melihatkan keadaan semasa, saya teringat tiga kisah dari Sejarah Melayu. Ini tidak menghairankan sama sekali kerana sememangnya Sejarah Melayu itu ditulis sebagai peringatan di akhir zaman.

 

Namun, seringkali kita hanya mengingati protaganis dan Sultan dalam kisah-kisah ini. Sebenarnya, saya ambil kira adalah penting untuk mengingati mereka yang menjadi dalang dalam percaturan istana. Tidak dinafikan, seorang pemimpin itu bertanggungjawab di atas segala keputusannya, namun pembesar dan penasihat memainkan peranan penting dalam mecapai kata sepakat dan pemerkasaan serta kesejahteraan kerajaan.

 

 

SANG RAJUNA TAPA

Sang Rajuna Tapa merupakan bendahari kerajaan Singapura dalam masa pemerintahan Sultan Iskandar Shah, sultan kelima selepas Sang Nila Utama membuka Singapura. Sang Rajuna mempunyai anak gadis yang begitu cantik dan menjadi gundik kesayangan Sultan. Sang Rajuna Tapa tidak segan menggunakan anak gadisnya untuk mendapat perhatian dan restu sultan. Namun pada satu hari, mereka yang dengki dengan kedudukan Bendahara  telah mendapat tahu bahawa gundik kesayangan ini bertemu kekasih lama dan menyuruh dayang-dayang Istana menyampaikan berita memerangkap anak gadis Rajuna Tapa.

 

Apabila ditangkap, Sultan murka dan gundik ini disula di pasar, mengakibatkan Sang Rajuna malu. Maka katanya, “Jika sungguh anak hamba berbuat jahat, bunuhlah saja. Mengapa diberi malu demikian?”

 

Sang Rajuna Tapa pun mengirim surat ke Jawa berbunyi, “Jikalau Betara Majapahit hendak menyerang Singapura, hendaklah segera datang, kerana hamba ada belot dari dalam kota.”

 

Inilah kata-kata seorang pembelot kerajaan yang menyebabkan Kerajaan Melayu Singapura terpadam seketika.

 

Sang Rajuna Tapa membuka pintu kota Singapura untuk memberi laluan Majapahit untuk menyerang dan mengunci bendahari Diraja untuk bekalan perang dan makanan. Singapura dilanggar Majapahit bagai todak dan habis rakyatnya bermandikan darah sementara Sultan Iskandar Syah melarikan diri ke Muar dan seterusnya membuka Melaka.

 

majapahit
EMPAYAR Majapahit pada 1405 masihi.

 

 

PATIH KERMA WIJAYA

Apakah kita cuba terfikir siapakah sebenarnya yang memfitnah Hang Tuah bersuka-sukaan dengan dayang-dayang istana. Kita tahu bahawa ramai yang mencemburui Hang Tuah yang terlalu disayangi Sultan kerana adabnya, taat setianya dan kewibawaan tokoh Melaka ini.

 

Namun yang berani mengkucar-kacirkan istana Melaka dengan khianat adalah seorang bernama Patih Kerma Wijaya yang paling mencemburui Hang Tuah oleh kerana sangat tinggi di mata dan hati Sultan. Lalu Patih Kerma Wijaya mengatur satu fitnah dahsyat memalukan Hang Tuah dengan tuduhan zina.

 

Apabila Patih Kerma Wijaya menyampaikan berita dan memanggil saksi, Sultan tidak ada ruang untuk menegakkan Hang Tuah. Dalam Hukum Kanun Melaka, hukumannya adalah:

 

Fasal yang keempat puluh pada menyatakan hukum zinah itu atas dua perkara; suatu muhsan namanya, lelaki atau perempuan sudah bersuami . Dan tiada muhsan laki-laki yang tiada beristeri dan perempuan belum bersuami. Muhsan itu dihukum rejam dan dilontar dengan batu hingga mati. Yang ghair muhsan didera seratus kali palu dan dibuang keluar negeri setahun lamanya.

 

Dikatakan Sultan menjatuhkan hukuman mati ke atas Hang Tuah dan menitahkan Bendahara Paduka Raja untuk melaksanakan hukuman tersebut. Namun hukuman begini selalunya dijalankan di khayalak ramai sebagai pengajaran. Kenapa Bendahara Paduka Raja dapat menyembunyikan Hang Tuah?

 

Kenapa kisah ini begitu senang disembunyikan dari pengetahuan Sultan?  

 

Kisahnya ditulis, Bendahara Seri Nara Diraja Tun Perak berkata di dalam hatinya, “Belum patut dosanya Hang Tuah ini dibunuh, kerana Hang Tuah ini pada penglihatanku bukan barang-barang orang. Sukar DiPertuan mendapat hamba setara Hang Tuah.” Maka disuruhnya sembunyikan oleh Seri Nara Diraja pada satu dusun. Dipersembahkannya pada Sultan, “Sudah dibunuh.” Maka Sultan pun diam...

 

Puaskah hati Patih Kerma Wijaya itu?

 

hikayat

 

 

RAJA MENDELIAR

Kisah Raja Mendeliar dan SiKitol ini seringkali diceritakan dalam memberi sebab kejatuhan Melaka. Kerajaan jatuh kerana kelemahan dan kelemahan Melaka berpunca dari pembesar yang asyik cemburu, tamak kedudukan dan inginkan restu dari Sultan.

 

Raja Mendeliar seorang kaya Melaka yang inginkan kedudukan tinggi. Hanya Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir yang lebih kaya dari Raja Mendeliar tetapi sebagai Bendahara, Tun Mutahir mempunyai segala kuasa dan kehormatan yang diidamkan oleh Raja Mendeliar. Raja Mendeliar ini juga bermusuhan dengan seorang saudagar bernama Nina Sura Dewana dan mereka bakal dihadapkan ke Bendahara untuk diadili.

 

Nina Sura Dewana mengambil keputusan untuk memberi hadiah kepada Bendahara untuk memastikan ia dapat mengalahkan Raja Mendeliar. Bendahara Seri Maharaja tidak berfikir panjang, menerimanya sahaja tanpa memikirkan akibat perbuatannya. Kisah ini diceritakan dalam Sejarah Melayu. Inilah pengajaran yang kita mesti ambil dari Sejarah Melayu. Rasuah itu pembunuh kerajaan.

 

SiKitol telah mendapat tahu rahsia ini dan memberitahu Raja Mendeliar lalu dikhabarkan kepada Sultan. Raja Mendeliar yakin dia dapat menggantikan Bendahara sebagai penasihat raja tertinggi.



Seluruh keluarga Bendahara dibunuh sebagai hukuman. Dan Melaka terus dicaturkan mereka yang tamak dan haloba, mengejar kedudukan dan pangkat serta kuasa.

 

hikayat

 

Kita mesti ingat pada enam ratus tahun dahulu, hukuman berdasarkan Hukum Kanun Melaka itu amat keras dan berlainan dari zaman ini. Namun percaturan istana dan kuasa orang kaya dan orang besar negeri memberi impak sama di atas kestabilan pemerintahan dan kedaulatan kerajaan.

 

Banyak lagi kisah sebegini dari Manuskrip Melayu lama. Hikayat Patani, Hikayat Raja Pasai dan Misa Melayu penuh dengan kisah percakaran istana yang meruntuhkan kerajaan lama.

 

Semoga kita mengambil iktibar dari kisah-kisah lama sebegini.

 

 

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : [email protected]

 

Klik di sini untuk koleksi DARI HIKAYAT KITA