Semarak festival, pertunjukan dan acara seni budaya di seluruh negara
SEJAK kebelakangan ini, begitu rancak aktiviti budaya dan sastera di serata negara. Ini berikutan pelbagai insentif kerajaan memberi penekanan kepentingan seni dan budaya sebagai pengisian acara dan tarikan pelancongan.
Tidak dapat dinafikan, pandemik selama dua tahun hampir melumpuhkan industri kreatif terutamanya seni dan budaya.
Lebih 70% penggiat seni dan budaya kehilangan mata pencarian dan rata-rata amat terkesan dengan keadaan ini di mana hotel dan pusat tarikan tidak beroperasi selama hampir dua tahun.
Sejak bulan April, kita menyaksikan pelbagai kegiatan seni dan budaya. Baru-baru ini berkesempatan menonton persembahan Mek Mulung di MaTiC oleh Pusat Seni Pentas Tradisional ASWARA (PUTRA).
Persembahan pada 1 dan 2 Julai 2022 membuktikan bahawa Mek Mulung yang telah berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa sebelum ini tetap segar hingga ke hari ini.
Budaya sebenarnya paksi identiti, jatidiri dan kekuatan sesebuah negara. Budaya tradisional kita mementingkan adab dan budi pekerti kita yang disanjung tinggi oleh semua masyarakat Malaysia. Kita mempunyai tradisi budaya yang tinggi.
Hari ini saya ingin mengumpulkan aktiviti seni yang ada sekitar bandar raya, dengan percuma atau dengan bayaran minimum untuk buat orang ramai supaya dapat menggalak orang ramai membawa keluarga ke pusat budaya untuk bersantai menikmati warisan seni budaya yang tinggi di Kota Budaya Kuala Lumpur.
Pameran Dunia Naga ; Mitos Legenda, Muzium Negara
Satu pameran Budaya yang amat menarik sedang berlangsung di Muzium Negara. Ramai yang mengaitkan Naga ini dengan budaya China sahaja.
Namun Timbalan Pengarah Jabatan Muzium Negara, Mohd. Nasrulamiazam Mohd. Nasir mengatakan bahawa Naga ini mempunyai 1,001 cerita yang begitu dekat dengan masyarakat Nusantara termasuk Malaysia dan Indonesia.
Contohnya, kita boleh melihat unsur naga yang dipanggil ular Saktimuna dalam zaman Kesultanan Melayu.
Dalam masyarakat Melayu kita melihat unsur Naga dalam kisah Makyong seperti Bentala Naga, kisah Mek Mulung iaitu kisah Hikayat Putera Cahaya Bulan dan Legenda Naga Tasik Chini.
Pameran Dunia Naga: Mitos dan Legenda bertempat di Galeri 2 Muzium Negara bermula 9 Jun lalu sehingga 9 November, menampilkan artifak bermotifkan naga seperti manuskrip dan pelbagai barangan lain yang mempunyai hubung kait dengan masyarakat zaman silam kita.
Pameran ini mencerminkan kehebatan masyarakat zaman silam terhadap sesuatu hasil kesenian dan teknologi bertemakan naga.
Motif naga turut diterjemah kepada bentuk barangan seperti keris, kendi dan pelbagai lagi.
Pentas Seni Merdeka, Jalan Raja
Pentas Seni Merdeka adalah sebuah usaha pengaktifan ruang awam di Pusat Bandar Kuala Lumpur untuk merealisasikan visi Daerah Budaya dan Kreatif Kuala Lumpur.
Pada setiap hari Sabtu kedua setiap bulan (Julai, September, Oktober, November dan Disember), Think City dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menjemput orang ramai bersama-sama kunjungi Pentas Seni Merdeka di Jalan Raja pada 16 Julai (Sabtu) dari 8:30 malam.
Edisi pertama Pentas Seni Merdeka ini akan menampilkan tarian Ronggeng Melayu oleh Nusantara Performing Arts Research Centre. Artis Budaya dan Kombo Budaya DBKL bakal turut serta memeriahkan majlis ini.
Ada pelbagai aktiviti lain seperti pembuatan terarium, permainan tradisi, food truck dan banyak lagi! Ayuh! Semua di jemput.
Untuk maklumat lanjut, sila layari www.thinkcity.com.my atau gunakan tanda pagar #mythinkcity.
Panggung Seni Tradisional
Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara mempunyai program kesenian sepanjang tahun serata negara.
Di Kuala Lumpur, setiap Jumaat dan Sabtu ketiga, ada persembahan budaya pelbagai bangsa terbaik di MaTIC, Jalan Ampang.
Pada bulan ini, Persembahan Pergendangan dan Tarian Etnik Punjab ‘ Sound of Punjab’ bakal diadakan pada 22 Julai dan 23 Julai.
Terdapat bayaran minimum untuk persembahan Panggung Seni Tradisional ini. Ini diikuti Tarian Klasik Cina pada bulan September dan Himpunan Terinai dari Perlis pada bulan Oktober.
Pesta Permainan Malaysia
Festival Permainan Malaysia dari 23 hingga 25 September bakal diadakan di Dataran Merdeka merupakan sebuah program yang bertujuan untuk memartabatkan kembali permainan tradisional untuk terus dimainkan oleh seluruh rakyat Malaysia seterusnya menjadi produk untuk ditonjolkan kepada para pelancong asing.
Ia secara langsung menjaga nilai seni warisan negara untuk generasi muda dengan menampilkan pelbagai jenis permainan tradisional dan moden pelbagai kaum di Malaysia.
Festival Seni Hidup (Living Cultural Arts)
Rasakan denyutan nadi kepelbagaian kesenian dalam Festival Seni Hidup. Satu-satunya festival yang menghimpunkan kesenian yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Warisan Kebangsaan dan kesenian yang memerlukan perhatian dan kurang ditonjolkan kepada masyarakat.
LACF 2022, akan dilaksanakan pada 6 & 7 November 2022 di MaTIC secara hibrid dengan pelbagai pengisian lain akan turut diadakan antaranya bengkel, pencungkilan bakat, webinar dan pameran.
Persembahan Tarian Budaya, MaTIC, Jalan Ampang
Setiap minggu, dari Rabu hingga Jumaat, pukul 3 petang ke 4 petang, ada persembahan tarian di MatiC secara percuma. Kita mempunyai tradisi seni tarian pelbagai kaum, contohnya Tarian Asyik, Tarian Zapin, Tarian Lilin dan pelbagai lagi.
Muzium Etnologi Dunia Melayu
Bagi yang menonton filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan dan ingin menyelami Dunia Melayu, bolehlah ke Muzium ini bersebelahan Muzium Negara.
Galeri ini mengumpul dan menonjolkan kepelbagaian aspek sosio-budaya masyarakat Melayu melalui koleksi artifak berestetika tinggi seperti kesenian tradisional, busana dan perhiasan diri, permainan tradisional dan persenjataan.
Selain itu, diorama seperti perkampungan Melayu, bangsal Wayang Kulit, Pelaminan Melayu dan pembuatan wau bulan juga turut mengisi ruang pameran galeri ini.
Antara koleksi menarik yang dipamerkan di galeri ini termasuklah pakaian Cik Siti Wan Kembang, pelaminan Perak, watak-watak wayang kulit, pelbagai jenis replika perahu, dan sebagainya.
MEMPERKASA PENGGIAT SENI
Sudah tentu kita tidak dapat menikmati segala aktiviti seni jika penggiat seni tidak dapat meneruskan aktiviti mereka.
Pelbagai bantuan disediakan oleh Kementerian melalui Belanjawan 2022 seperti Geran Sepadan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang merupakan inisiatif Kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Pelancongan MOTAC bagi memastikan ekosistem kesenian dan kebudayaan di negara ini terus kekal berdaya saing dan diperkasa susulan penularan pandemik COVID-19.
Bagi yang berminat, Geran Sektor Kebudayaan ini masih boleh dipohon hingga 31 Ogos 2022.
Bantuan geran juga boleh didapati dari pelbagai badan korporat dan yayasan yang memainkan peranan penting menghidupkan semula seni dan budaya serata negara terutamanya di Kuala Lumpur.
Pihak penggiat Seni diajak beramai-ramai mengambil peluang atas saluran bantuan ini untuk menyajikan persembahan bermutu sepanjang tahun.
Marilah kita bersama-sama menyokong aktiviti dan kegiatan seni dan budaya, yang kekal mewarnakan hidup dengan keindahan budaya. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu. Emel : [email protected]