SENI BUDAYA DAN SASTERA LISAN - ADAKAH RELEVAN UNTUK DUNIA PERFILEMAN HARI INI?
RANCANGAN di FINAS pada Sabtu lalu, bertajuk Seni Budaya Dalam Filem merupakan perbincangan yang mengangkat Seni Budaya terutamanya Sastera Lisan dalam Industri Perfileman hari ini.
Agak menarik kerana program oleh Sharpened Words dikelolakan di Mini Auditorium P Ramlee di FINAS. Sepertimana yang kita tahu, Allahyarham Tan Sri P Ramlee mementingkan perisian seni dan budaya dalam filem-filemnya seperti Nujum Pak Belalang, Sumpah Orang Minyak, dan filem klasik, Hang Tuah.
Boleh dikatakan filem era klasik ini sentiasa memasukkan elemen budaya seperti tarian, kehidupan masa lampau dan bahasa Melayu yang indah.
Majlis diserikan dengan kehadiran Pengerusi FINAS Datuk Kamil Othman, CEO Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib serta ahli panel, pakar animasi, Hassan Muthalib, produser filem Al Jeffree Md Yusop, Kabir Bhatia, Jason Chong, dan saya mewakili dunia seni budaya. Acara turut dihadiri antara lain Anwardi Jamil dan Mansor Puteh, pengarah yang tersohor di negara kita.
APAKAH SENI BUDAYA?
Apakah seni budaya itu sebenarnya? Adakah ia tarian? Persembahan pentas? Nyanyian? Seni Kraf? Sastera? Rata-rata, panel dan sidang hadirin bersetuju bahawa budaya itu merujuk satu cara hidup ‘lifestyle’ dan ini yang ingin ditonjolkan di layar perak. Satu ciri Malaysian yang mencerminkan realiti kehidupan sebenar Malaysia hari ini
Perbincangan juga banyak berkisar tentang persoalan adakah minat terhadap filem yang memasukkan elemen seni budaya. Ada juga yang mempersoalkan penonton Malaysia hari ini. Saya mengajukan pemerhatian bahawa generasi muda hari ini menonton filem, dan content seluruh dunia. Dan mereka dapat menilai seni yang baik dan bermutu.
Oleh itu, kita sebenarnya mempunyai tanggungjawab memberikan seni bertaraf dunia yang menonjolkan budaya bangsa. Barangkali ada baiknya kita melihat semula Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 yang mementingkan budaya dalam semua aspek kehidupan dan ekonomi.
Al Jeffree menceritakan pengalamannya menonton Makyong yang asli dan bagaimana ia memukau persepsinya kepada budaya. Al Jeffree berpendapat sudah sampai masanya kerajaan meluluskan polisi Seni Budaya yang memperkasa industri ini.
Jason Chong pula berkongsi pengalaman mengarahkan Gemencheh Boys dalam loghat Nogori yang menceritakan kejayaan pasukan kriket dari Felda Gemencheh. Kabir Bhatia, berasal dari Mumbai ini pula tidak asing lagi sebagai pengarah berjaya di negara kita. Pak Hassan menceritakan perjalanan perfileman animasi kita di Malaysia yang kini sudah mencecah 40 tahun.
KEJAYAAN MASA LAMPAU
Semasa topik perbincangan, saya mengajukan persoalan, “Jika Dunia Barat memaparkan film Romeo & Juliet setiap dekad, dan China menonjolkan filem epik Lady White Snake dari semasa ke semasa, apakah filem kita yang mempamerkan warisan dan budaya Malaysiana kita?
Saya mencadangkan Puteri Gunung Ledang sebagai satu filem yang mempunyai nilai komersial dan juga seni yang tinggi untuk Malaysia yang boleh dijadikan teras filem bercirikan seni budaya.
Mungkin ramai yang tidak ingat bahawa filem Hang Tuah (1956) yang dilakonkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee diarahkan Phani Majunda serta dialog/penulis Jamil Sulong telah memenangi anugerah Festival Filem Asia Pasifik ke 3 di Hong Kong untuk Penggubah Lagu Terbaik.
Ada banyak lagi filem lama yang berasaskan hikayat lama seperti Raja Bersiong (1968) diarahkan Jamil Sulong, Panji Semirang, (1961) diarahkan Omar Rojik, Semerah Padi (1956) diarahkan P Ramlee, Cucu Datuk Merah (1963) diarahkam M Amin.
Gadis Kretek kini dijadikan kayu ukuran kejayaan filem Nusantara baru-baru ini turut mencapai kejayaan komersial dan mendapat sambutan yang baik di rantau ini melalui Netflix. Filem ini diterima dengan baik oleh penonton. Pengaruh budaya dan cerita yang kuat dalam filem ini telah membuatnya menjadi fenomena di seluruh Asia Tenggara.
Selain mencapai kejayaan komersial, filem Gadis Kretek juga telah mendapat pengakuan dari industri film Asia Tenggara. Filem ini telah memenangkan beberapa penghargaan di festival film, termasuk penghargaan untuk Penampilan Terbaik dan Sutradara Terbaik.
Kejayaan filem Gadis Kretek dari Infobesia serta Queens of Langkasuka dari Thailand mencerminkan potensi dan keunggulan industri film di wilayah ini. Filem filem ini telah membangkitkan minat penonton, serta memperkaya budaya perfilman seluruh Asia Tenggara.
Hikayat dan cerita rakyat itulah bukti keberadaan tamadun silam kita. Kita patut menggunakannya dengan sebaik-baik cara demi memartabatkan identiti, jatidiri dan kekuatan kita ke persada dunia. - DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA