Seni dan budaya tidak terserlah dalam Belanjawan Madani | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 27 Feb 2023 08:42 AM

SENI & BUDAYA TIDAK TERSERLAH DALAM BELANJAWAN MADANI

Seni dan Budaya Melayu itu milik kita semua bersama. Untuk Dikongsi. Dicintai. Dan dihargai.

 

 

SEBUAH negara di mana seni dan budayanya dihanyutkan aliran deras pemodenan dan jurang kemiskinan akan terus ketinggalan terutama dari segi kreativiti dan identiti. 

 

Ini menjadi antara sebab tradisi budaya, keilmuan dan tukang pandai semakin luput, dan secara langsung, tahap keyakinan dan cerdik pandai warisan terjejas.  

 

Negara-negara yang mewarisi warisan budaya terus berjuang untuk mengekalkan identiti di tengah-tengah era globalisasi, dan arus pemodenan serta kontemporari. 

 

Malaysia telah melihat perubahan besar dalam landskap kebudayaan negara. Warisan budaya pribumi termasuk Melayu sebagai identiti kebangsaan yang dibayangkan dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971 dan diserikan dengan budaya masyarakat majmuk kita. Pada masa itu, nilai budaya tinggi, kearifan lokal dan cara hidup dipelihara, dipulihara dan diperkasa agar tidak luput sama sekali.

 

 

ninot aziz

 

 

Alangkah merudum sinar dunia Malaysiana jika artisan penenun songket, pembuat batik, pengukir kayu, keris dan tukang tembaga serta pengamal seni budaya kita seperti Makyung, Mek Mulung dan Wayang kulit yang diiktiraf badan dunia seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tiada lagi.

 

Mungkin tidak keterlaluan jika kita bayangkan keadaan sebegini membawa satu natijah kehancuran sesuatu peradaban dan perkembangan budaya tidak se­imbang antara budaya kontemporari dan tradisi. 

 

Keterampilan Seni dan Budaya

Seni dan budaya merangkumi pelbagai aspek - terutamanya kesusasteraan, persembahan pentas, kesenian dan kraf. Ianya mewarnai kehidupan seharian, liku like kehidupan masyarakat melalui bidang penerbitan, perfileman dan menjadi intipati utama industri pelancongan serta  keunikan sesebuah negara. 

 

Baru minggu lepas, kita lihat penggunaan bahasa tinggi semasa pembentangan belanjawan memberi satu ilham kehidupan, dalam mencari penyelesaian islah. 

 

“Kendatipun begitu, saya ingin menggunakan kesempatan ini untuk mengajak pimpinan politik, pengemudi kementerian serta penjawat awam, selain para pengusaha dan rakyat untuk menerima kenyataan bahawa negara mampu mencipta lonjakan agar tatanan ini tidak hanya dapat diteladani negara tetangga serantau tetapi seantero dunia juga, dan pada masa sama membenih keyakinan dalam kalangan rakyat.”

 

Harapan tinggi menggunung kata-kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merangkumi pemerkasaan seni dan budaya tanahair ini. 

 

 

pm

 

 

Mungkin soal pembangunan dan pembendungan ketirisan menjadi tema utama Belanjawan Madani 2023. Banyak perkara yang lebih penting, lebih menggugat, dalam tempoh terdekat ini. ‘Bread and butter issues’ rakyat yang terkesan mesti ditangani dan diberi perhatian. 

 

Namun, demi perancangan jangka panjang, kira harapkan aspek jati-diri dan perpaduan, berlandaskan Rukun Negara, dilestarikan melalui budaya tinggi bangsa. 

 

Aspek Ekonomi melalui Industri Pelancongan

 Kita akui Industri Pelancongan itu satu penyumbang utama negara - lihat saja negeri negeri seperti Melaka, Sarawak dan Selangor menggembeleng jentera  pembangunan melalui pelancongan secara dinamis. 

 

Kita teruja Kerajaan mensasarkan 2025 sebagai Tahun Melawat Malaysia. Ini memberikan peluang semua sektor berkaitan pulih dengan sepenuhnya dari impak pandemik 2020 hingga 2021. 

 

Langkah DBKL dan Tan Sri Rais Yatim mengutarakan sebuah pusat Dunia Melayu baru-baru ini amat dialu-alukan. Selama ini, saya mendukung konsep ini ke pelbagai pihak demi rasa cinta pada negara, jati diri bangsa dan warisan budaya Melayu. 

 

Selama lebih 20 tahun menulis buku-buku bertemakan Hikayat dan Budaya Melayu sebagai satu landasan perpaduan pelbagai etnik di negara kita yang bertuah. Saya katakan, ‘Our legends and foklores belong to ALL of us. To Love. To Share. To Cherish.’ Begitu juga seni dan budaya yang terangkum indah dalam kisah kisah Hikayat ini. 

 

 

tnb

 

 

Melalui penceritaan, kita berkongsi nilai murni (Universal Values), moral tinggi dan kearifan lokal yang boleh dibanggakan. 

 

Dalam pemerhatian saya, apabila saya berkongsi kisah  hikayat ini, ia menggalakkan cinta sesama bangsa, pengenalan pada budaya Melayu secara ‘non-confrontational’. 

 

Sesungguhnya kita tahu bahawa Malaysia, atau dahulunya Malaya, atau lebih awal lagi Aurea Chernosese, begitu tersohor seantaro dunia oleh kerana tingginya nilai kesusasteraan bahasanya, kekayaan khazanah buminya, keindahan busana, keaslian bunyi-bunyiannya, kesenian tari-tariannya, dan keilmuannya serta kearifan diplomasi. 

 

Antara nilai khazanah kita termasuk 10,000 Manuskrip Melayu bertaburan di seluruh dunia di lebih daripada 150 muzium dan institusi di 60 negara - bukti kekayaan  pengetahuan dunia lama yang pernah kita miliki seperti herbologi, metalurgi, bahkan pengetahuan perubatan (Ilmu Tib) sebagai tambahan kepada subjek seperti genealogi raja-raja  dan kesusasteraan dalam manuskrip Melayu lama. 

 

Hari ini, kita melihat negara-negara jiran menggunakan  naratif dunia Melayu sebagai tarikan pelancongan utama - seperti Singapura, Indonesia serta Thailand. 

 

Singapura maju ke hadapan, mengambil satu lembaran dari sejarah Melayu sebagai asas kewujudan mereka. Sang Nila Utama diraikan dalam naratif 700 tahun (pada masa yang sama mengetepikan sejarah dan peranan kita di rantau ini) Singapura telah mengisytiharkan peranannya dalam sejarah Nusantara sebagai pelabuhan maritim dan utama di rantau ini. Hilang Melaka. Lenyap Kedah. Kelantan ditelan zaman. 

 

Indonesia juga telah membina seluruh ekosistem pelancongan yang penuh dengan budaya untuk mempromosikan destinasi utamanya seperti Bali, Medan, Yogjakarta, Lombok dan Ubud. 

 

 

ninot aziz

 

 

Indonesia telah mempromosi budaya, makanan dan Indonesia secara agresif ke seluruh dunia. Kita tidak mengambil peluang untuk menggerakkan Melayu Nusantara secara serius. Kita tidak mengambil iktibar bahawa di banyak negara , industri kreatif termasuk seni dan budaya menjana 7 % ke 10% KDNK. Di Malaysia, ini dikatakan menjangkau 2% sahaja dan mempunyai peluang cerah untuk  menggandakan hasil KDNK. 

 

Kita sebenarnya boleh menggunakan naratif seni dan budaya ditambah naratif kepelbagaian budaya yang sangat besar untuk mengzahirkan produk, daya tarikan dan perkhidmatan yang bercirikan keunikan bangsa. 

 

Kebangkitan 'budaya Melayu' boleh membawa kepada kekuatan bangsa dan membina keyakinan dan identiti negara. Bukan sebagai milik Melayu tetapi milik semua rakyat Malaysia yang boleh dibanggakan!

 

Dari perspektif ekonomi, terdapat banyak peluang mempromosikan dunia Melayu, khususnya melalui pelancongan dan pekerjaan yang diwujudkan dalam sektor perhotelan, runcit, hiburan, industri makanan, industri yang membuat kreatif dan filem. Kenapa Singapura harus menjadi juara Hub Melayu? 

 

Memperkasa dunia Melayu sebagai satu pusat kajian, pelancongan dan perpaduan bukan agenda rasis tetapi satu usaha perpaduan. Bukan sebuah pusat atau taman yang mementingkan aspek luaran semata-mata - falsafah sebagai asas dan paksinya mestilah holistik - bukan dari perspektif seni bina, budaya atau sastera sahaja. Isi kandungan - visual, video, 'voice' mesti diberikan keutamaan. Melayu itu bukan Islam semata-mata. Adab dan adat itu nilai sebenar Budaya Melayu. 

 

 

ninot aziz

 

 

Apabila kita saling mengenali, perasaan kasih pada budaya dan identiti dapat menjalin kebersamaan. 

 

Oleh itu, besar harapan saya Kerajaan menyokong penuh pemerkasaan seni dan budaya warisan berzaman sebagai kebanggaan kita semua.

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : ninotaziz@gmail.com
 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA