Srikandi-Srikandi Tanahair Jiwa Kemerdekaan | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 29 Aug 2022 09:37 AM

SRIKANDI-SRIKANDI TANAHAIR JIWA KEMERDEKAAN

 

 

Lambang Sari Gak Puteri

Terlindung dari pandangan

Indah gerak tari putri

Bagai di dalam kayangan

Inilah lagu Lambang Sari

 

Damai di taman larangan

 

Nasi di hidang, sanggul di cucuk

Tapi apakan daya impian

Hati sayang diri berkecamuk

Nusantara berbelah bagi

 

Raja dan Sultan bermuafakat

Puteri ditugaskan pergi

Negeri berdamai, janji terikat

Gak Puteri membakar diri

 

Comme une bougie

Caché par le regard mortel

Se balançant au vent doux

Princesse au repos et à jouer

Musique comme des roseaux de bambou

 

Une bougie dans le vent - il est magique

Si clair, mais se brûler ... tragique

 

***

 

BULAN kemerdekaan ini sebenarnya membawa kenangan yang memberi banyak tunjuk ajar kepada kita semua. Ini adalah kerana ia juga ulang tahun jatuhnya Melaka ke tangan penjajah.

 

Jadi ada baiknya di saat begini, kita mengenang kesilapan lalu dan menghargai mereka yang menyumbang kepada kebangkitan semula bangsa dan negara.

 

Pada 15 Ogos 1511, Melaka tumbang dikalahkan Feringgi dan bermulalah zaman penjajahan. Ini berterusan hingga penjajahan seluruh negara bermula secara mutlak pada tahun 1824 apabila British mengambil alih seluruh Tanah Melayu melalui Perjanjian Inggeris-Belanda.

 

Campur tangan British ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati dan penentang penjajah seperti Dol Said, Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Datuk Maharajalela, Rosli Dhobi dan tokoh-tokoh wira dan srikandi yang lain bangkit memperjuangkan kebebasan Semenanjung Tanah Melayu.


 

Rosli Dhobi
Rosli Dhobi dibawa ke mahkamah setelah menikam mati Sir Duncan Stewart pada 3 Disember 1949.

 


Namun, bagaimana dengan srikandi, ratu dan permaisuri lama? Bagaimana mereka memainkan peranan dalam hala tuju sesebuah kerajaan Melayu lama? Apakah bukti yang terlihat dari kisah hikayat lama?

 

Kita lihat tokoh seperti Tun Fatimah antara mereka yang memainkan percaturan penting memastikan kerajaan Melayu terus berkembang di seluruh Dunia Alam Melayu.

 

Bagaimana? Apabila takhta kerajaan Melaka terpaksa berundur ke Pahang, Bentan dan akhirnya Kampar, Tun Fatimah setia di samping Sultan Mahmud. Tun Fatimah memastikan puteranya Raja Raden Ali memerintah Johor sebagai Sultan Alauddin Riayat Shah II selama 36 tahun.

 

Manakala putera Sultan Mahmud Shah hasil perkahwinan dengan puteri Onang Kening anak Sultan Mansur Shah dari Kelantan menjadi Sultan Perak yang pertama yang memerintah dari tahun 1528 sehingga tahun 1549.

 

Kita juga mengenali Raja Besar seperti Cik Siti Wan Kembang di Kelantan, Ratu Ijau di Patani serta Arduga Wijamalai dari Langkasuka penuh cekal dan berani pada zaman dahulu.

 

Dari segi memelihara warisan budaya, kita melihat Tengku Mariam dari Pahang menjadi Sultanah Terengganu dan melestarikan seni muzik dan tarian gamelan Melayu, khazanah warisan yang tinggi nilainya. Terlampau ramai puteri Melayu yang dapat mengajar kita kepentingan ilmu, sejarah dan warisan berzaman.

 

Hari ini, siapakah tokoh wanita yang dapat kita banggakan?

 

DATO SERI PADUKA MAIMUNAH SHARIF

Baru baru ini saya berkesempatan bertemu seorang wanita Melayu yang berasal dari Kuala Pilah, Negri Sembilan  daripada kampung dan ayahnya seorang penoreh getah yang kini mendapat tempat di persada dunia bertugas sebagai Timbalan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pengarah Eksekutif UN-Habitat sejak 2017.


 

 Dato Seri Paduka Maimunah Mohd Sharif
                           Dato Seri Paduka Maimunah Mohd Sharif

 


Sejak di bangku sekolah, Dato Seri Paduka Maimunah Mohd Sharif membantu keluarganya sedikit demi sedikit melalui pendidikan. “Kami dari keluarga yang susah dan saya belajar untuk menjadi yang terbaik. Saya pastikan saya dapat membawa pulang hadiah beg sekolah dan baju sekolah,” katanya.

 

Hasil dari keputusan peperiksaan yang cemerlang tahun demi tahun, beliau melanjutkan pelajaran ke  United Kingdom dalam bidang perancangan bandar. Biasiswanya dihantar pulang ke keluarga untuk membantu meringankan beban keluarga.  Setelah selesai pengajiannya dia terus pulang ke tanahair untuk memulakan kerjaya dan mulai bertugas di MPSP Pulau Pinang.

 

Dato Seri Paduka mempunyai kerjaya yang cemerlang dan akhirnya  menjadi wanita pertama dari Asia memegang jawatan Pengarah Eksekutif UN-Habitat, jawatan ke-tiga penting di Persatuan Bangsa Bangsa Bersatu. Kini, apabila Dato Seri Paduka bersuara di ‘platform dunia tentang kelestarian bandar dan masaalah perubahan iklim, dunia mendengar dan menghormati pandangan dan professionalism beliau. Kini, tanggungjawab Dato Seri termasuk menerajui UN-Habitat di seluruh dunia serta mendapatkan sokongan negara-negara untuk program-program UN Habitat.

 

TAN SRI DR JEMILAH MAHMOOD

Tan Sri Dr  Jemilah Mahmood  tersohor serata dunia kerana beliau merupakan presiden yang menubuhkan Persatuan MERCY Malaysia pada tahun 1999. Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia atau MERCY Malaysia diilhamkan oleh Médecins Sans Frontières, merupakan sebuah badan amal perubatan.

 

Bekas pelajar tahun Sekolah Perempuan Assunta, Petaling Jaya  itu menjadi ahli Kolej Diraja bagi Pakar Obstetrik dan Pakar Sakit Puan di United Kingdom. Beliau juga telah menamatkan Program Pembangunan Eksekutif di Institut Antarabangsa Pengurusan dan Pembangunan (IMD) di Lausanne, Switzerland.


 

TAN SRI DR JEMILAH MAHMOOD
                     TAN SRI DR JEMILAH MAHMOOD

 


Pada tahun 2008, Tan Sri Jemilah merupakan salah seorang daripada 16 ahli yang dilantik oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon sebagai Penasihat Kumpulan Tabung Tindakan Kecemasan Pusat. Tan Sri juga pernah berkhidmat  sebagai Ketua sekretariat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia di PBB di New York.

 

TAN SRI NORLIZA ROFLI

Saya mengenali Tan Sri Norliza Rofli sejak tahun 2007 dan paling ketara bagi saya adalah fokus dan dedikasi beliau dalam memastikan pembangunan seni dan budaya tanah air disemarakkan untuk memastikan negara kaya budaya dan kelestarian adat, seni dan budaya.

 

Berasal dari Pahang, Tan Sri Norliza pernah berkata, “Persepsi masyarakat terhadap seni budaya hanyalah seni persembahan, tarian atau permainan tradisi sedangkan ia merangkumi lebih luas termasuk bahasa, adat resam, cara pemikiran, pergaulan dan kerjasama dalam masyarakat.”

 

Mengikuti kerjaya beliau selama bertugas sebagai Ketua Pengarah di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara atau JKKN, ada tiga perkara paling menyerlah memberi manfaat kepada seni dan budaya negara.


 

TAN SRI NORLIZA ROFLI
                              TAN SRI NORLIZA ROFLI

 


Pertama, Tan Sri Norliza telah  bertanggungjawab merealisasi penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) pada 1994. Institusi yang kini dikenali dengan sebagai ASWARA merupakan kebanggaan negara dan mencerminkan betapa pentingnya kekayaan khazanah warisan dipelihara. ASWARA merupakan satu-satunya pusat pengajian pembelajaran seni dan budaya, memperkenalkan empat program kursus dalam bidang tari, teater, pengurusan kreatif dan muzik.

 

Begitu ketara juga adalah minat dan dedikasi mendalam Tan Sri memastikan seni persembahan Makyung dan juga Mek Mulung yang hampir pupus kembali segar di seluruh negara. Kedua-dua seni warisan ini diangkat sebagai pertunjukan tahunan yang dinanti-nantikan ke Istana Budaya.  

 

Makyung pula telah diberikan penghormatan apabila diiktiraf oleh UNESCO sebagai “Masterpieces of the Oral and Intangible Heritage of Humanity” pada tahun 2005. Berikutan pengiktirafan tersebut, JKKN terus prihatin untuk menjalankan program outreach, kriteria penting untuk mengekalkan perisytiharan itu.

 

Tan Sri sebagai Ketua Pengarah JKKN berkata, "JKKN telah menubuhkan satu-satunya Kumpulan makyung profesional di dunia, di mana semua ahlinya adalah dari negeri Kelantan, negeri asal makyung. Di samping itu, JKKN mengiktiraf sumbangan Rosnan Abdul Rahman, satu-satunya pakyong lelaki di Malaysia.”

 

Ketiga, pesta budaya seluruh negara seperti Pesta Angin Timur Perlis, Pesta Air Chenor Pahang, Pesta Kaamatan Sabah, Festival Kesenian Rakyat Kelate,  Living Arts Festival dan banyak lagi begitu penting dalam mendekatkan seni dan budaya pada orang ramai. Tan Sri juga mengetuai perancangan perayaan Kemerdekaan sepanjang perkhidmatan sebagai Ketua Pengarah JKKN dan membawa persidangan tertinggi seni dan budaya iaitu IFACCA ke Malaysia.

 

Malah sepanjang pembabitannya, pelbagai anugerah diraih penggiat seni Negara di pertandingan seni dan budaya seluruh dunia. Sudah tentu sumbangan Tan Sri Norliza Rofli selama 32 tahun di JKKN telah memastikan kelestarian budaya berterusan di tanah air.

 

Pada bulan Kemerdekaan ini,  inilah tiga tokoh utama pilihan saya – tiga wanita yang mengharumkan nama negara menerusi dedikasi dan tahap profesionalisma yang tinggi dalam menjalankan tugas.

 

Siapa pilihan anda pula?

 

Ninot Aziz merupakan penggiat seni dan kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Sabtu.   Emel : [email protected]
 
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA