Tujuh Riwayat Raja-Raja dari Kepulauan Melayu
MANUSKRIP Melayu yang menceritakan Riwayat Raja-Raja dari Kepulauan Melayu telah menjadi tonggak penting dalam memahami sejarah dan politik kawasan ini.
Sejak abad ke-13 hingga ke-18, pelbagai salasilah Raja-Raja yang berkuasa di rantau ini telah dirakamkan dengan teliti dalam manuskrip-manuskrip bersejarah ini “supaya diketahui dan dibuat pengajaran oleh anak cicit.”
Antara manuskrip yang paling dikenali adalah Riwayat Raja-Raja, yang mengandungi cerita-cerita tentang pergolakan politik dan asal usul keturunan diraja.
Manuskrip-manuskrip ini membawa kita melalui perjalanan zaman dari kegemilangan hingga kejatuhan empayar-empayar yang pernah berkuasa di Kepulauan Melayu.
Manuskrip Hikayat Merong Mahawangsa, misalnya, menceritakan kisah legenda Raja Merong Mahawangsa dari empayar-induk Kedah Zamin Turan, sementara Nagarakretagama dan Pararaton menyentuh pemerintahan empayar Majapahit di Jawa dan Singhasari. Hikayat Patani dan Hikayat Raja Pasai pula turut memberi gambaran tentang sejarah politik dan budaya di Sumatera.
Kumpulan manuskrip lain yang turut penting adalah Kanun-Kanun Undang-Undang yang meliputi Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, Hukum Kanun Perak, Hukum Kanun Kedah, dan Hukum Kanun Patani.
Manuskrip-manuskrip undang-undang ini memberikan pandangan yang unik mengenai sistem undang-undang yang berlaku pada masa itu, menjadikannya rujukan berharga bagi memahami struktur pentadbiran dan keadilan pada zaman tersebut.
Sejarah Melayu
Pada asalnya dinamakan Sulalatus Salatin, Sejarah Melayu menggariskan sorotan sejarah tidak ternilai tentang pelbagai Kerajaan Melayu terutamanya Kesultanan Melaka serta hubungan diplomatik merentasi samudera.
Sejarah Melayu dianggap sebagai salah satu karya sastra klasik dan sejarah terbaik dalam Bahasa Melayu dan disenaraikan dalam Program Memori Dunia UNESCO pada tahun 2001.
Ditulis dalam aksara Jawi, ia merupakan sumber utama maklumat tentang percaturan istana, tempat-tempat lama, tokoh-tokoh penting seperti Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah, serta Tun Fatimah dan Li Po dari Benua China serta kehidupan pada abad ke-15 dan ke-16 di Kepulauan Melayu keseluruhannya.
Hikayat Raja-Raja Pasai
Dipercayai sebagai salah satu karya terawal dalam aksara Jawi mengenai kerajaan Samudera Pasai, Hikayat ini menceritakan legenda Merah Silu yang memeluk Islam selepas mimpi serta penubuhan Kerajaan Samudera Pasai dan serangan dari Majapahit akhirnya. Penceritaan dalam Hikayat ini juga diterapkan dalam manuskrip Melayu lain seperti Misa Melayu, dan Hikayat Patani.
Hikayat Merong Mahawangsa
Hikayat Merong Mahawangsa juga dikenali sebagai Sejarah Kedah, merupakan karya sastera Melayu mengenai kerajaan Melayu Langkasuka, Kedah, Siam, Perak dan Patani. Menggabungkan fakta dan legenda lama, Hikayat ini mengikuti perkembangan pemerintahan Raja-Raja Kedah sejak abad ke-12.
Kakawin Nagarakretagama
Nagarakretagama, juga dikenali sebagai Desawarnana, ialah puisi kuno Jawa oleh Mpu Prapanca pada tahun 1365. Ia mencerminkan penghormatan kepada Hayam Wuruk anak Tribuana Tunggadewi anak kepada pengasas Majapahit Raden Wijaya. Puisi ini menggambarkan Empayar Majapahit semasa zaman kegemilangannya secara terperinci dan politik era tersebut.
Kakawin Pararaton
Pararaton juga dikenali sebagai Katuturanira Ken Angrok (Kisah Ken Angrok), ditulis dalam aksara Kawi, menceritakan kisah penguasaan Ken Arok sebagai pengasas Kerajaan Singhasari pertama. Ia turut mengisahkan tragedi yang mengiringi Ken Arok dan semua keturunannya serta sumpah Keris Mpu Gandring. Ini diikuti dengan penceritaan ringkas mengenai raja-raja Jawa Singhasari dan Majapahit seterusnya.
Hikayat Patani
Hikayat Patani yang ditulis dalam aksara Jawi mengisahkan pemerintahan raja dan bendahara Patani dari abad ke-16 hingga ke-18. Antara yang paling terkenal, Ratu Ijao, Biru, Ungu, dan Kuning kekal tersohor hingga hari ini, begitu juga kisah bendahara Datuk Cerak Kin dan Datuk Sai. Hikayat Patani diakhiri dengan satu set undang-undangnya.
Hikayat Kelantan
Hikayat Seri Kelantan memperkenalkan Encik Siti kepada kita lebih fikenali sebagai Cik Siti Wan Kembang yang hebat memerintah selama beberapa dekad, pemerintah yang paling dikasihi di Kelantan. Puteri Saadong, anak angkatnya meneruskan warisannya, namun pemerintahan yang penuh dengan peristiwa terumbang ambing seketika berlaku selepas campur tangan Siam.
Dengan kepelbagaian manuskrip Riwayat Raja-Raja dari Kepulauan Melayu ini, kita dapat melihat betapa kaya warisan sejarah, politik, dan budaya yang melibatkan raja-raja dan pemerintahan di rantau ini.
Manuskrip-manuskrip ini tidak hanya merupakan warisan berharga bagi masyarakat Melayu, tetapi juga menjadi sumber pengetahuan penting bagi kajian sejarah dan kebudayaan dalam konteks serantau.
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA