WALINONG SARI DIPERKENALKAN PADA AniManGaki 2023
“Mak, Film Walinong Sari ada dalam program Animangaki.”
“Hmmm…Kenapa?”
“Animangaki, Mak! Ini pesta terbesar dunia animasi Malaysia.”
AniManGaki 2023 iaitu pesta konvensyen animasi, komik dan e-game (ACG) tahunan terbesar di Malaysia kini memasuki tahun ke-15 beraksi sejak ditubuhkan pada tahun 2009.
AniManGaki adalah gabungan empat bidang kreativati berasal dari komik: Anime, Manga, Games dan Gaki, cetusan idea Yvonne Sing yang telah mengasaskan Kelab Anime Universiti Sunway. Konvensyen ini berjaya menghimpunkan peminat animasi, komik dan pemain e-games dari semua lapisan masyarakat tidak mengira umur atau bangsa.
Ini adalah acara untuk peminat, fandom dan pengikut setia meraikan karektor kesayangan dari budaya pop Jepun, China, hinggalah ke dunia Marvel-DC dari Barat.
Biasanya diadakan pada hujung minggu - ribuan pengunjung akan berpesta Cosplay, menghadiri pameran, beraksi aktiviti berinspirasikan tema, menyaksikan persembahan pentas dan banyak lagi. AniManGaki merupakan pengalaman yang agak ‘overwhelming’ bagi mereka yang tidak pernah hadir di sesebuah acara sebegini.
Selama beberapa tahun, memang terdetik hati untuk mengenali konvensyen sebegini yang menjadi kegemaran anak-anak. Mereka akan berpakaian lengkap Cosplay mencerminkan karektor e-game kesayangan.
Pada tahun lepas, timbullah cita-cita ingin memperkenalkan Cosplay Dunia Hikayat Fandom selepas berbual santai bersama kenalan rapat dari Balai Seni Visual, Zanita Anwar. Ini masih menjadi cita-cita bakal dijadikan reality satu hari nanti.
Walinong Sari: Film Animasi
Berbalik kepada Animangaki, apabila mendapat tahu keunikan pesta ini, saya pun menghubungi Eugene untuk hadir di sesi beliau dan Honey menceritakan perjalanan Walinong Sari atas jemputan pihak Animangaki.
Honey telah membaca kisah pertama dalam buku Lipur Lara Nusantara pada tahun 2019 dan ingin membuat sesuatu yang hebat bersama Eugene dalam bentuk animasi. Honey terus menghubungi saya untuk menggapai cita-cita besar dunia animasinya.
Oleh itu, sewaktu pandemik pada tahun 2020, kami berpeluang bekerjasama melalui diskusi ‘Telegram’ dalam menggarap film animasi Walinong Sari. Kami pun memulakan perjalanan indah 'menyelami' budaya untuk memberikan citarasa keaslian kepada Walinong Sari.
Walaupun terlibat di awal projek Walinong Sari, saya mencurahkan sumbangan sebagai Penasihat Budaya, kerana kekangan waktu yang amat terhad. Honey dan Eugene telah juga menghubungi 3D artist Melaka tersohor Faizal Rahmat, dan Zarir Abdullah, tukang ukir kayu handalan masa ini untuk memantapkan lagi pengaruh budaya Walinong Sari.
Dalam kisah Lipur Lara Nusantara, Puteri Pahang ini menyelusuri Sg Pahang ke Pura (nama lama Pekan) menaiki Balai Gambang. Saya sememangnya berketurunan darah Pahang, dan pernah diceritakan orang-orang tua, Walinong Sari melewati kampung saya, Bukit Bota dan Bukit Kertau di Kampung Chenor lalu menamakan tempat persinggahannya sebagai Pengkalan Balai.
Honey, Eugene dan saya ceria berbincang tentang latar belakang budaya kisah Walinong Sari, daripada watak, kepada warna-warna, pepohon, dan pakaian dan perhiasan diri puteri.
Betapa gembira dan puasnya hati berkongsi warisan budaya ini dan saya amat berbangga melihat sejauh mana Eugene dan Honey telah membawa Walinong Sari - Filem Animasi untuk dianimasikan pelbagai anak muda dari UTAR.
Mereka turut membawa bersama pelakon handal untuk menjiwai filem animasi ini dan telah memenangi pelbagai anugerah dari seluruh dunia termasuk lagu tema yang begitu membelai jiwa.
Lahirnya HF KomiK
Bersempena PBAKL 2023 tahun ini, Hikayat Fandom telah menzahirkan HF KomiK dengan siri sulungnya, Siri 1 Vol 1: Bentala Naga.
Melalui kerjasama dengan Crystal Creative Enterprise gandingan Moondream dan Elly, HF KomiK bakal diteruskan dengan Vol 2 dan Vol 3 hingga 2024. Siri Bentala Naga diilhamkan kisah dari makyong dari Endeng Tejali, Anak Raja Gondang dan Awang Bongsu Pinang Peribut. (Ramai yang bertanya, bagaimana Ninot dapat menceburkan diri dalam pelbagai media: novel, novel grafik, antologi cerita rakyat, antologi puisi, komik… animasi? Jawapannya, aktif mencari kolaborasi)
Dengan lahirnya HF KomiK sudah tentu Hikayat Fandom ingin mula menjinakkan diri mengambil bahagian dalam konvensyen komik dan pada bulan Disember akan cuba hadir di Comic Fiesta 2023 di Pusat Konvensyen KL.
Namun cabaran kreatif HF Komik sangat berlainan dari membuat novel grafik atau novel, mahupun antologi Hikayat Fandom sebelum ini. Komik sangat tertumpu kepada gaya lukisan komik dan pembawakan cerita yang mesti menangkap imaginasi dan emosi para pembaca, kadangkala tanpa sepatah perkataan pun!
Perasaan cemas, ngeri, sedih dan terluka, kasih sayang dan pengorbanan mesti dibawakan dengan baik melalui adegan komik.
Inilah satu daripada sebab saya melihat pesta tiga hari Animangaki ini begitu berjaya. Peminat dunia animasi dan komik ini begitu ingin mandalami dunia yang didiami karektor atau watak-watak kesayangan.
Melalui e-games mereka berjuang mati-matian bersama pasukan masing-masing untuk ‘survival’. Melalui Cosplay, mereka tinggalkan sebentar dunia, untuk menyelami dunia Sky, Mondstadt dan Fontaine Genshin Impact dan dunia Demonslayer di zaman Taishō, Jepun.
Aspirasi baru? Ingin melihat HF KomiK di Animangaki satu hari nanti. – DagangNews.com
Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin. Emel : [email protected]
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA