Warisan dan nikmat hidangan juadah tradisi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Dari Hikayat Kita - 31 Jul 2023 07:00 AM

WARISAN DAN NIKMAT HIDANGAN JUADAH TRADISI 

 

 

WARISAN menu tempatan dari resipi yang telah diturunkan dari generasi ke generasi sesuatu khazanah hidup mengusik panca indera,  rasa dan kenikmatan unik apabila melancong atau melawat sesuatu tempat baru samada dalam atau luar negara. 

 

Menerusi hidangan tradisi, secara tidak langsung kita dapat mengenal masyarakat setampat - budaya tuan rumah, kekayaan flora dan fauna, kearifan dan ilmu seperti gaya masakan, pemerapan dan kekayaan buah-buahan serta sejarah rempah ratus tersohor untuk sama-sama memelihara warisan bangsa yang menjadi kebanggaan. 

 

Pada bulan Jun lalu, Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PERSALIMA) berlepas ke Jakarta, dan kami sempat menjamu selera pelbagai rasa di kawaran seni dan budaya Taman Ismail Marzuki. (Hingga hari ini, saya sedih memikirkan kenapa kita tiada institusi sebegini seperti Taman P Ramlee).


 

pesalima

 


Kepelbagaian ini, contohnya dari warisan ratusan tahun di seluruh alam Nusantara, mengikut provinsi, setiap satu mempunyai warna warni budaya tersendiri. 

 

Walaupun tujuan utama delegasi adalah untuk menghadiri dan membentangkan  kertas kerja masing-masing di Seminar LISAN XII dianjurkan Asosiasi Lisan Tradisi Indonesia, kembara budaya tidak dilupakan. 

 

Antara delegasi kami termasuk pasangan suami isteri Dr Suhaimi Napis pakar botani dan Dr Faridah Noor Mohd Noor, yang cintakan sejarah dan sastera. Mereka boleh dikatakan ‘foodie traveller’ dan telah memperkenalkan juadah makanan Makasar & Padang di Jakarta terenak. 

 

Satu daripada manisan pencuci mulut yang dikongsikan adalah Nagasari, juadah pisang dibungkus pucuk daun pisang. Rasanya, menjadi antara kenangan manis lawatan. 

 

Pada hari kedua tidak lupa juga santapan Sunda dalam perjalanan kami ke Bogor. Dan Cafe Betawi di Botani Mall, Bogor yang cukup kami senangi. 

 

Semuanya berbeda bernaung di bawah satu ´tudung saji', bercorak Nusantara yang disebut Gajah Mada pada kurun ke-14. 

 

POTLUCK TRADISI

Sekembali ke Malaysia, Prof Emeritus Muhammad Haji Salleh mencadangkan PERSALIMA mengadakan satu Potluck Tradisi. Semua sajian yang dibawa mestilah resipi tradisi yang diwarisi keluarga atau komuniti. 

 

Pada Sabtu 29 Julai 2023, Potluck Tradisi PERSALIMA diadakan di perkarangan rumah Penasihat, Prof Emeritus Muhammad Hj Salleh dan turut dihadiri ahli PERSALIMA dari Wilayah, Selangor dan Perak dan juga yang berasal dari Sabah, Sarawak, Pahang, serta Indonesia.  


 

hikayat

 


Antara menu hidangan potluck:

1. Nasi lemuni
2. Nasi lemak bungkus daun pisang
3. Masak lemak rebung udang
4. Masak labu ketumbar jintan 
5. Kerabu pucuk pakis
6. Goreng kantan ikan bilis
7. Pekasam
8. Barongko dan Pisang Epek(Khas Bugis)
9. Bubur jagung labu merah
10. Sira  durian dan pulut
11. Kueh tradisional
12. Ulam-ulaman
13. Sambal jawa
14. Sambal tempoyak
15. Sambal ikan masin
16. Petai jeruk
17. Buah Berangan salai
18. Apam kampung


 

nagasari
                                                      KUIH NAGASARI

 


Sambil menikmati juadah, perbualan  santai mengenai kekayaan bahasa dan betapa tajamnya pemerhatian orang Melayu. Contohnya,

Mencurah air ke daun keladi
Antara aur dengan tebing

 

Kedua-duanya mengesahkan pemikiran saintifik Orang Melayu. Keladi mempunyai permukaan yang kalis air. Kerana itulah air akan meninggalkan permukaan keladi. 

 

Peribahasa bagai aur dengan tebing mencerminkan masyarakat yang hidup saling tolong menolong atau tali silaturrahim  yang akrab. 

 

Aur pula bererti buluh, tumbuhan yang memerlukan air untuk hidup subur dan biasa dijumpai di tebing sungai.
Dengan adanya aur pula, tanah tebing tidak mudah runtuh ketika hujan lebat. 


 

hikayat

 


PERKONGSIAN BUAH FIKIRAN CETUSAN ILHAM

Begitulah antara tukar fikiran dan perbualan ahli PERSALIMA. Sesi begini yang dilihat secara santai sebenarnya begitu bermanfaat mengilhamkan seribu karya, idea dan ilham kembara.

 

Di setiap penjuru ada saja topik menarik yang bercambah. Dari tempat menarik untuk dilawati di Rom, ke sesi Potluck seterusnya di Tanjung Malim, perjumpaan ini begitu menggembirakan dan santai. Malah tidak dapat dielakkan, hal kelestarian dan kucar-kacir dunia dibincangkan. 

 

Ahli ahli yang sedang menulis buku digalakkan membincangkan projek masing masing. Majlis juga meriah dengan pertukaran buku ahli-ahli yang sememangnya menjadi kelaziman di acara PERSALIMA. 

 

PERSALIMA turut membincangkan aktiviti hujung tahun 2023. Kami bakal mengendalikan siri seminar berteraskan Belantara dan Ubat-ubatan 2023 dari bulan Ogos nanti. Sila sertai kami - maklumat lanjut dinaikkan di Facebook PERSALIMA 


 

ninot aziz

 

ninot aziz

 

ninot aziz

 


Setelah selesai menjamu selera dan bertukar idea idea, seluruh ahli bersiar-siar di laman Prof Emeritus Muhammad dan Puan Noraini.

 

Kami dihadiahkan beberapa jambak kantan yang cantik menawan serta buah gelugur dan belimbing kecil yang dipetik segar dari taman. 


 

ninot aziz

 
 

Pisang emas dibawa belayar 
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar 
Hutang budi dibawa mati

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
sebab kasih saya turut.

Nyiur gading puncak mahligai,
Buat ketupat berisi inti;
Hancur daging tulang berkecai,
Kasih sayang sampai ke mati.

 

Hingga ketemu di lain kali. - DagangNews.com

 

 

Ninot Aziz merupakan Presiden Persatuan Sastera Lisan Malaysia 2023/2024 dan adalah penggiat seni serta kebudayaan Melayu, dari bzBee Consult, aktif menulis di dalam pelbagai medium seperti akhbar dan menerbitkan buku-buku seperti Bentala Naga - A Makyung Tale dan Lipur Lara Nusantara dan kini menulis menerusi kolum Dari Hikayat Kita di DagangNews.com, setiap Isnin.   Emel : [email protected]
 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL DARI HIKAYAT KITA

tnb