Debaran hala tuju Pelan Ekonomi Malaysia MADANI | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 21 June 2023

Debaran Hala Tuju Pelan Ekonomi Malaysia MADANI

 

 

PERDANA MENTERI Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan bahawa pelan hala tuju ekonomi Malaysia MADANI bakal diumumkan pada bulan Ogos tahun ini.

 

Pelan ekonomi ini dijangkakan akan memanfaatkan ekonomi hijau sebagai sumber pertumbuhan perniagaan dan menawarkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

 

Tetapi adakah pelan yang bakal diperkenalkan ini dapat memulihkan ekonomi negara yang semakin hari dilihat semakin tidak bermaya ini?


 

parafrasa

 


Mengembalikan Keyakinan Pelabur

Menguruskan ekonomi dengan kekuatan dan daya tahan memerlukan pendekatan pelbagai perspektif tadbir urus ekonomi. Dengan keadaan ekonomi semasa, ini merupakan satu cabaran buat Anwar terutamanya dalam mengembalikan keyakinan pelabur terhadap negara.

 

Peralihan kuasa politik pada tahun 2018 telah menyebabkan negara kehilangan sejumlah besar pelabur akibat perubahan hala tuju kerajaan dan dasar yang menimbulkan kebimbangan dikalangan mereka.

 

Oleh itu, pengurusan ekonomi yang kukuh memainkan peranan penting dalam usaha untuk menarik kembali pelaburan asing sekali gus mengembalikan keyakinan mereka supaya kembali ke sini untuk menjalankan perniagaan.

 

Ini melibatkan pelaksanaan dasar kerajaan yang lebih mesra pelabur seperti yang digarapkan dalam enam nilai teras MADANI dengan mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif, termasuk peraturan yang telus, perlindungan hak harta dan sistem undang-undang yang cekap.

 

Dasar ekonomi dan rangka kerja tadbir urus yang boleh diramal juga dilihat mampu mengembalikan keyakinan pelabur dengan mengurangkan ketidakpastian dan risiko. Apabila pelabur melihat negara semakin stabil dari segi politik dan ekonomi serta mesra perniagaan, secara langsung mereka tidak akan teragak-agak untuk melabur baik dalam bentuk Pelaburan Langsung Asing (FDI) mahupun Pelaburan Portfolio Asing (FPI).

 

Daya Tahan Ekonomi MADANI

Dalam usaha membina daya tahan ekonomi yang mampan, penting untuk mewujudkan persekitaran perniagaan yang mesra dan memberi keutamaan kepada sektor perniagaan. Hal ini melibatkan pelaksanaan dasar yang pro-perniagaan, mengurangkan karenah birokrasi yang berbelit-belit dan meningkatkan kemudahan bagi menjalankan perniagaan.

 

Pelaksanaan dasar pro-perniagaan bertujuan menyediakan persekitaran yang kondusif agar perniagaan berkembang maju dan berinovasi tanpa kawalan serta kekangan yang berlebihan.


 

parafrasa

 


Selain itu, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan adalah penting untuk menarik pelaburan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Ini melibatkan peningkatan akses kepada infrastruktur, menyokong teknologi maklumat dan komunikasi yang canggih serta membangunkan modal insan berkualiti tinggi.

 

Kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan infrastruktur dan membangunkan ekosistem digital perniagaan yang lebih kondusif.

 

Dengan mewujudkan persekitaran mesra perniagaan, Malaysia mampu untuk menarik perhatian pelabur, memangkin hubungan perdagangan yang rancak serta berpotensi untuk mencetuskan ledakan ekonomi yang berterusan dan ini mendorong kepada pembangunan ekonomi ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.

 

Dasar Fiskal Berhemat dan Kesiapsiagaan Krisis

Pelaksanaan dasar fiskal berhemat mempunyai kepentingan yang besar dalam bidang tadbir urus ekonomi. Ia merangkumi pelbagai langkah yang bertujuan memastikan perbelanjaan yang bertanggungjawab, peruntukan sumber yang cekap dan mengekalkan belanjawan negara yang seimbang.

 

Di samping itu, ia juga melibatkan penilaian kritikal keperluan dan keberkesanan setiap inisiatif perbelanjaan, mengelakkan perbelanjaan yang membazir dan menggalakkan ketelusan serta akauntabiliti dalam pengurusan kewangan negara.

 

Ini penting bagi memastikan negara tidak dibebani dengan hutang berlebihan dan defisit belanjawan yang boleh menggugat kestabilan ekonomi. Dengan mengamalkan disiplin fiskal, Malaysia boleh menguruskan kewangannya dengan berkesan, memperuntukkan sumber dengan bijak dan mencegah tahap pengumpulan hutang yang tidak mampan.


 

parafrasa

 


Tambahan pula, pengurusan ekonomi yang kukuh memerlukan pengurusan risiko yang proaktif dan kesiapsiagaan krisis. Membina ekonomi yang berdaya tahan melibatkan jangkaan kemungkinan berlakunya kejutan ekonomi pada masa hadapan, seperti krisis kewangan atau kemelesetan global dan melaksanakan strategi pengurangan risiko yang bersesuaian.

 

Kerajaan perlu mewujudkan rancangan jangka panjang dengan membina sistem kewangan yang mantap dengan daya tahan dan menjalin kerjasama yang kukuh dengan rakan kongsi antarabangsa untuk mengharungi badai ekonomi sekiranya ia berlaku.

 

Keupayaan untuk bertindak pantas dan menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah-ubah dengan melaksanakan langkah-langkah yang tepat pada masanya dilihat sebagai penyumbang kepada ketahanan ekonomi negara.

 

Dengan melaksanakan dasar fiskal yang kukuh, mengamalkan pengurusan kewangan yang berhemat dan bersedia menghadapi krisis yang berpotensi, Malaysia boleh meningkatkan kestabilan dan daya tahan ekonominya. Ini akan membolehkan negara mengharungi cabaran ekonomi, mengekalkan pertumbuhan yang mampan dan melindungi kesejahteraan rakyatnya.

 

Anwar, Konduktor Orkestra Ekonomi Malaysia MADANI

Pelan ekonomi ibarat seperti komposisi muzik yang di buat dengan teliti sebagai strategi pembangunan ekonomi negara. Ia menetapkan matlamat dan pelaksanaan dasar tertentu untuk menggalakkan pertumbuhan, kestabilan dan kemampanan ekonomi.

 

Sama seperti konduktor muzik mengetuai orkestra, menyelaras pergerakan pemuzik untuk mewujudkan keharmonian yang indah, Anwar selaku pemimpin ekonomi perlu bertanggungjawab untuk menyelaraskan dasar, program dan tindakan yang diperlukan untuk mencapai matlamat ekonomi seperti yang direncanakan.

 

Pengalaman dan kemahiran kepimpinan beliau adalah penting dalam menyelaraskan usaha dan memastikan pengurusan ekonomi yang berkesan.


 

parafrasa

 


Seperti konduktor yang berpengalaman dan hebat boleh menyatukan dan membimbing ramai pemuzik dalam satu masa, pemimpin yang hebat juga boleh menyatukan semua rakyat, membina konsensus dan memupuk kerjasama yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi.

 

Berikan Anwar dan kerajaannya ruang serta peluang. Jangan menganggu gugat dan cuba mencetuskan kembali ketidakstabilan politik yang dilihat tidak perlu buat masa ini.

 

Ini kerana kestabilan ekonomi serta pertumbuhan ekonomi negara yang mampan datang dari kestabilan politik negara itu sendiri!

 

Marilah kita bersama-sama sebagai rakyat Malaysia, menyokong dan memulakan lembaran baru kemajuan ekonomi di bawah pimpinan Anwar, konduktor Orkestra Ekonomi Malaysia MADANI. – DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags