Kaoru Mitoma buat tesis bola sepak, kini jadi buah mulut dunia
Dapatan dari hasil kajiannya, “Jika saya berjaya menggerakkan badan pemain lawan, bermaksud saya menang."
Itulah dapatan kajian yang ditulis oleh Kaoru Mitoma, pemain sayap skuad bola sepak Brighton and Hove Albion FC dan juga pemain kebangsaan Jepun di dalam tesis pengajiannya semasa menuntut di Tsukuba University.
Akhirnya apa yang diusahakan oleh Mitoma sepanjang tempoh pengajiannya telah membuahkan hasil. Berdasarkan data permainan, Mitoma sekarang adalah salah seorang penggelecek (pembawa bola) yang paling bahaya dan efektif daripada kalangan pemain lain yang bermain di Liga Perdana Inggeris (EPL).
Mengenali Kaoru Mitoma
Nama Kaoru Mitoma kini menjadi bualan apabila dia meledak gol kemenangan yang cantik mengalahkan kelab bola sepak Liverpool yang menyaksikan Liverpool tersingkir dari Piala FA di pusingan keempat.
Bukan itu sahaja, nama Mitoma juga mencetus kontroversi melalui bantuan gol kemenangan yang menyaksikan Jerman tersingkir dari Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar.
Kini, pemain yang berasal dari Jepun itu menjadi bualan dalam kalangan peminat bola sepak apabila teknik mengelecek beliau telah banyak mengecewakan pertahanan pihak lawan.
Antara yang pernah menjadi mangsa seni gelecekan kaki Mitoma adalah pemain pertahanan Trevoh Chalobah dari Chelsea, Ben White dari Arsenal dan juga Trent Alexander-Arnold dari Liverpool. Bukan itu sahaja, dijangka senarai pemain pertahanan pihak lawan yang bakal tewas akan semakin meningkat.
Jika dilihat, permainan Mitoma adalah lebih daripada menjaringkan gol kerana dia adalah satu-satunya pemain dalam EPL yang berada di antara 10 teratas dari kalangan pemain lain menjaringkan gol yang daripada permainan terbuka dan jangkaan bantuan jaringan daripada permainan terbuka setiap 90 minit.
Ini telah membuktikan, tiada siapa yang boleh menjaringkan gol dan mencipta peluang secara kerap seperti yang dilakukannya.
Sejarah Perjalanan No. 22 Brighton
Pada usia 18 tahun, Mitoma telah ditawarkan kontrak bola sepak profesional dari kelab Kawasaki Frontale yang membolehkan beliau beraksi di J1 League, Jepun. Tetapi Mitoma telah menolak tawaran itu dan sebaliknya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Sukan (Pengajian Fizikal) di Tsukuba University.
Mengikut pensyarahnya, Mitoma adalah pelajar yang sangat bersungguh-sungguh terhadap bidang akademik tidak sama seperti kebanyakan pelajar lain. Apabila menjejakkan kaki di Tsukuba University, dia telah memutuskan tajuk kajian yang hendak dijalankannya dengan sendiri. Tidak sama seperti kebanyakan pelajar, di mana mereka akan bertanya apa yang perlu saya lakukan?
Mitoma telah menjalankan kajian dan menulis tesis bertajuk “Why do I miss my dribble?” jika diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris. Dia berminat untuk melakukan kajian ini kerana untuk dia beraksi di liga bola sepak profesional, ia memerlukan fizikal serta kemahiran yang bersesuaian.
Penyataan masalah bagi kajiannya adalah dia tidak berpuas hati dengan dirinya sendiri yang hanya mampu mengelecek dan melepasi satu pihak lawan. Dia terfikir bagaimana cara untuk dia berjaya mengelecek dan melepasi lebih banyak pihak lawan iaitu pemain kedua, pemain ketiga dan seterusnya.
Di sini, kajian Mitoma menerangkan dengan secara teliti mekanisme mengelecek dalam permainan bola sepak dan bagaimana cara untuk mengatasi pertahanan pihak lawan lalu menghasilkan gol atau mencipta peluang dan bantuan dalam menghasilkan gol.
Mitoma telah melakukan kajian dengan bantuan sebuah kamera aksi kecil iaitu "GoPro" yang dipasang pada kepalanya, sambil mengelecek (membawa) bola ke arah pihak lawan. Rakaman video ini dibuat dengan tujuan untuk menganalisis medan pandangan semasa menggelecek.
Dengan kerjasama dan bantuan orang di sekelilingnya, hasil dari kajian Mitoma telah membuktikan (menunjukkan) terdapat perbezaan dalam garis penglihatan sebelum menerima hantaran bola.
Dalam erti kata lain, Mitoma meneliti ruang dan pada masa yang sama mengawasi pemain lawan sehingga bola datang kepadanya. Apabila dia menerima bola, dia mula menggelecek tanpa melihat ke bawah dan kemudian menghasilkan jaringan atau melakukan bantuan jaringan gol.
Dengan kemahirannya melakukan gerak tubuh palsu (aksi palsu) – sama seperti gerak tubuh yang menghasilkan jaringan gol semasa menentang Liverpool – dia melihat dengan teliti pada ruang termasuk dengan pemain pihak lawan, melakukan gerak tubuh palsu dan menyebabkan pemain pihak lawan mengubah badannya. Kemudian, dia terus menyempurnakannya dengan menjaringkan gol!
Ini seperti apa yang diperkatakan oleh Mitoma:
"Saya perlu mengalihkan pusat graviti pihak lawan. Jika saya berjaya menggerakkan badan pemain pihak lawan, bermakna saya menang."
Tidak terhad dengan itu, Mitoma juga menggunakan sepenuhnya masa pengajian untuk menambah kekuatan dalam mendapatkan tubuh dan fizikal yang ideal sebagai seorang pemain bola sepak.
Mitoma juga selalu dilihat melakukan aktiviti fizikal seperti melakukan larian singkat, berjalan pantas dan lain-lain di sekitar kampus Tsukuba University. Dia juga mengunakan segala fasiliti yang ada dan turut meminta bantuan pakar iaitu Satoshi Tanigawa (salah seorang pensyarah), yang merupakan wakil negara Jepun dalam acara lari berpagar di Sukan Olimpik Sydney dan Athens untuk mengajarnya cara berlari dengan betul.
Dapatan Kajian Membuahkan Hasil
Ken Mukojima, seorang pencari bakat bola sepak yang sentiasa memantau perkembangan Mitoma yang bermain sejak zaman akademinya di Kawasaki Frontale, telah menyaksikan perubahan itu semasa dia masih menuntut di universiti.
Di universiti, bukan sahaja kekuatan Mitoma sahaja yang meningkat, malah kelajuannya juga turut meningkat. Mitoma juga dilihat mempunyai kemahiran mengelecek bola dengan lebih baik dan kemahiran mengeleceknya telah meningkat dua kali ganda. Ini adalah hasil daripada kajian yang telah dilakukan oleh Mitoma sendiri!
Sangat mengagumkan! Tidak disangkal, keputusan Mitoma memilih untuk melanjutkan pengajian berdasarkan minatnya membuahkan hasil. Jelas sekali, Mitoma bukan hanya pelajar yang pakar semasa menulis tesisnya dan kini, dia cemerlang dalam menggelecek pemain pihak lawan di English Premier League.
Dia juga telah membuktikan kepentingan menuntut ilmu kerana melalui ilmu, ia boleh membantu untuk mengubah semua bidang kehidupan, membantu untuk mencapai kejayaan dan membantu untuk mendapat kedudukan dalam kehidupan.
Ilmu juga memainkan peranan dalam setiap apa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian. Ia boleh membantu kita untuk menjana pendapatan (membuat lebih banyak wang), membuat keputusan yang lebih baik, menjadi lebih baik dalam apa jua bidang dan menghalang kita daripada melakukan kesilapan yang sama serta banyak lagi.
Ini adalah kebenaran yang tidak dapat dinafikan! Ilmu adalah segalanya!
Mitoma juga patut dijadikan contoh kerana dia tidak mengetepikan ilmu dalam mengejar impian hidupnya untuk menjadi pemain bola sepak profesional!
Belajarlah dari kisah Kaoru Mitoma. Lihat di mana dia berada sekarang! - DagangNews.com
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN