Krisis perbankan Amerika Syarikat: Fed dalam dilema? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 29 March 2023

Krisis perbankan Amerika Syarikat: Fed dalam dilema?

 


 

KEGAGALAN bank adalah salah satu ketakutan terbesar buat pelanggan bank terutamanya pendeposit yang mempunyai jumlah deposit yang melebihi daripada apa yang diinsuranskan oleh Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan.

 

Selepas kejatuhan Silicon Valley Bank, satu lagi bank yang berpangkalan di kota New York iaitu Signature Bank turut mengikut jejak yang sama. Ini merupakan kejatuhan bank ketiga terbesar tercatat dalam sejarah Amerika Syarikat.


 

parafrasa

 


Kejatuhan kedua bank ini telah menyebabkan kesan berantai dalam pasaran saham, bukan sahaja dalam kalangan bank serantau, tetapi ia juga melibatkan 10 bank terbesar di Amerika Syarikat.

 

Mengikut rekod, bank-bank di Amerika Syarikat telah mencatatkan kehilangan nilai pasaran, secara anggaran lebih daripada AS$185 bilion rentetan dari krisis perbankan ini.

 

Tidak terhad dengan itu, ia juga mengundang kebimbangan bahawa apa yang berlaku sekarang boleh mencetuskan krisis perbankan yang lebih luas, di mana kejatuhan beberapa bank boleh menular dan mencetuskan krisis kegawatan ekonomi global.

 

Gergasi Perbankan Switzerland

Kemudian dunia pula dikejutkan dengan Credit Suisse. Credit Suisse merupakan gergasi perbankan Switzerland juga turut berada dalam krisis iaitu bergelut dengan masalah peraturan yang berkaitan dengan perbankan dan tekanan kewangan.

 

Tetapi krisis yang dihadapi oleh bank ini tidak mempunyai kaitan dengan krisis perbankan yang berlaku di Amerika Syarikat.

 

Sebelum kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank, sebenarnya Credit Suisse telah terlibat dengan pelbagai skandal yang membingungkan pelabur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

 

Ini melibatkan skandal seperti masalah salah urus dana, gagal menghalang pengubahan wang haram oleh geng pengedar kokain Bulgaria, kerugian disebabkan oleh kebankrapan rakan kongsi dana iaitu Greensill Capital dan kejatuhan Archegos Capital yang merupakan salah satu peminjam terbesar Credit Suisse.


 

parafrasa

 


Krisis Credit Suisse bertambah teruk apabila ia telah melaporkan kerugian tahunan terbesar sejak Krisis Ekonomi Global 2008 dan diikuti oleh Bank Run, krisis sama yang menyumbang kepada kejatuhan bank di Amerika Syarikat – lonjakan pengeluaran deposit yang dilakukan secara besar-besaran oleh pendeposit.

 

Di sebalik krisis perbankan yang berlaku ini, ramai yang mula percaya, kejatuhan dan kegagalan bank menandakan kemelesetan ekonomi bakal berlaku bahkan ia telah memulakan perjalananya.

 

Semuanya Berpunca Dari Kenaikan Kadar Faedah Secara Agresif

Sudah pasti Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (atau The Fed) tidak akan mengaku salah dengan apa yang berlaku ketika ini.

 

Ahli ekonomi berpendapat bahawa langkah yang diambil oleh The Fed sepanjang tahun lalu merupakan salah satu faktor yang menyumbang dan mencetuskan krisis perbankan ini.

 

Kenaikan kadar faedah secara agresif yang dilakukan oleh Fed sepanjang tahun lalu telah menjatuhkan nilai bon perbendaharaan dan bon gadai janji yang dimiliki oleh Silicon Valley Bank. Ia telah menyebabkan “lompong”  dalam penyata kewangan bank tersebut.

 

Dalam usaha untuk menutup kelompangan ini, Silicon Valley Bank telah berusaha untuk mendapatkan suntikan dana tambahan tetapi gagal. Ini telah menyebabkan pelanggan Silicon Valley Bank berasa panik dan mencetuskan Bank Run dalam masa 48 jam yang boleh digambarkan sebagai dahsyat.

 

Selepas 48 jam Silicon Valley Bank telah jatuh akibat Bank Run!


 

feds

 


Fed sekurang-kurangnya perlu bertanggungjawab secara tidak langsung terhadap apa yang berlaku sekarang di Amerika Syarikat.

 

Memahami Operasi Bank, Bank Run dan Kesan Kenaikan Kadar Faedah

Bank mendapat suntikan modal atau pembiayaan dengan mengambil deposit daripada pelanggan. Bank tidak akan membiarkan deposit yang mereka dapat daripada pelanggan terbiar begitu sahaja dalam akaun tanpa menjana sebarang keuntungan kepada bank.

 

Bagi menjana keuntungan pada kadar faedah yang lebih tinggi, bank akan menggunakan deposit jangka masa pendek pelanggan untuk memberikan pinjaman buat pelanggan yang memerlukan serta menggunakan deposit ini untuk membuat pelaburan jangka masa panjang.

 

Dengan melabur deposit jangka masa pendek pelanggan dalam pelaburan jangka masa panjang – merujuk kepada bon perbendaharaan yang dianggap selamat – ia tetap mewujudkan risiko kadar faedah terhadap bank.

 

Ini kerana hubungan songsang diantara pergerakan kadar faedah dan nilai bon. Sebagai contoh, apabila Fed menaikan kaedah faedah, nilai bon perbendaharaan yang dimiliki oleh bank akan jatuh.

 

Dalam memenuhi lonjakan permintaan pengeluaran deposit pelanggan yang berterusan dan berlaku dalam masa serentak (merujuk kepada Bank Run), bank tidak mempunyai alternatif lain selain menjual bon perbendaharaan sedia ada pada nilai yang rendah akibat kenaikan kadar faedah yang diambil oleh Fed.

 

Fed Dalam Dilema

Fed telah mula menaikkan kadar faedah secara agresif setahun yang lalu untuk memerangi inflasi yang naik secara mendadak.


 

Geran Kandungan Digital (DCG)
Pengerusi Lembaga Rizab Persekutian AS )Fed) Jerome Powell 

 


Apabila kenaikan kadar faedah berlaku secara agresif, ia telah menjadikan kos pinjaman wang menjadi lebih mahal buat pelanggan (sama ada syarikat atau individu yang merujuk kepada isi rumah) untuk meminjam.

 

Ia juga menyekat keupayaan untuk berbelanja, mengekang akses kepada wang tunai dan secara langsung ia mengurangkan tekanan ke atas harga barangan dan juga perkhidmatan.

 

Sebelum langkah ini diambil, Fed telah memberi amaran dengan menjelaskan dengan melakukan pengetatan dasar monetari dengan menaikkan kaedah faedah,  ia bakal membawa kesakitan  terhadap ekonomi.

 

Walaupun Fed tidak menjangkakan yang krisis perbankan akan berlaku, ia tetap bertegas untuk meneruskan dasar pengetatan monetari untuk memastikan inflasi akan turun kepada nilai sasaran iaitu sebanyak 2%.

 

Yang menjadi masalah buat Fed pada masa sekarang adalah cabaran ekonomi berkembar. Ia telah meletakan Fed dalam dilema! Ini kerana alat terkuat yang boleh memerangi kadar inflasi telah menjadi pedang bermata dua – yang menyebabkan krisis perbankan tercetus sekarang.

 

Jika langkah agresif dengan menaikan kadar faedah diteruskan, sudah tentu ia akan meningkatkan lagi risiko krisis perbankan serta memberi tekanan kewangan kepada bank yang boleh menyebabkan keseluruhan sistem perbankan berada dalam kedudukan bahaya.


 

parafrasa

 


Pemberhentian sementara kenaikan kadar faedah dilihat sebagai langkah terbaik yang perlu diambil oleh Fed buat masa sekarang.

 

Tetapi, jika kenaikan kadar faedah terhenti atau Fed terpaksa menaikannya pada kadar yang lebih rendah, ia bakal memberi kesan buat Fed dalam perjuangan memerangi inflasi. Dikhuatiri inflasi akan kembali meningkat dan akan jauh tersasar dari nilai sasaran.

 

Jika betul kenaikan kadar faedah dihentikan seketika, Fed perlu merangka strategi terbaru untuk memastikan keseluruhan sistem perbankan tidak runtuh dan tidak mengundang krisis ekonomi global.

 

Apa yang jalan terbaik yang perlu diambil oleh Fed sebenarnya? - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags