Krisis Perbankan cetuskan panik ekonomi global | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 19 April 2023

Krisis Perbankan cetuskan panik ekonomi global

 

 

 

KRISIS perbankan yang berlaku baru-baru ini di Amerika Syarikat – kejatuhan Silicon Valley Bank dan Signature Bank – telah menimbulkan ketidakpastian sama ada ia bakal menular dan menjadi meluas sehingga menyebabkan keruntuhan sistem perbankan global seterusnya menyebabkan kemelesetan ekonomi.

 

Meskipun banyak penambahbaikan telah diambil dari segi dasar, pengawalseliaan serta peraturan akibat krisis yang berlaku pada masa lalu, seperti mana-mana sektor dalam ekonomi, sektor perbankan akan sentiasa terdedah pada risiko baharu atau risiko berulang yang boleh mencetuskan krisis meluas terhadap ekonomi secara keseluruhan.

 

Krisis perbankan yang kembali menghantui pada tahun 2023 baru-baru ini telah menjadi tanda tanya.

 

Adakah dunia sekali lagi bakal berhadapan dengan satu lagi siri kemelesetan ekonomi? Ini kerana kegagalan institusi kewangan boleh menjadi tanda dan memberi amaran awal bahawa malapetaka ekonomi bakal membadai.

 

 

parafrasa

 

 

Memahami Punca Krisis Perbankan

Krisis perbankan berlaku apabila sektor kewangan gagal berfungsi dengan cekap dan secara langsung menyebabkan kejatuhan satu atau lebih institusi kewangan dalam satu tempoh masa. Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada krisis perbankan.

 

Salah satu faktor krisis perbankan yang paling biasa adalah pengambilan risiko yang berlebihan oleh institusi kewangan.

 

Ini boleh berlaku apabila bank terlibat dalam amalan pinjaman atau pelaburan berisiko tanpa langkah-langkah pengurusan risiko yang mencukupi.

 

Dalam kes sedemikian, bank mungkin menjadi terlalu terdedah kepada sektor tertentu yang mengundang risiko yang unik hanya terdapat pada bank terbabit.

 

Mengambil contoh, Silicon Valey Bank yang hanya menumpukan operasi perniagaan khusus buat pemodal teroka dan syarikat pemula inovatif berasaskan teknologi.

 

Sama juga seperti Signature Bank yang mempunyai risiko tersendiri apabila mempunyai sebilangan besar deposit yang tidak diinsuranskan dan sangat terdedah kepada sektor kewangan digital terutamanya kripto.

 

Risiko eksklusif dan unik inilah sebenarnya menjadi punca kegagalan kedua bank ini.

 

Satu lagi faktor yang boleh membawa kepada krisis perbankan ialah mempunyai banyak Pinjaman Tidak Berbayar atau Non Performing Loan (NPL).

 

Apabila peminjam ingkar terhadap pinjaman mereka, ia membawa kepada peningkatan NPL yang ketara. Secara langsung, ia menjejaskan kestabilan dan kedudukan kewangan bank – penurunan keuntungan bank.

wainuiomata

Ini juga boleh menyebabkan kesan meluas kepada seluruh ekonomi, membawa kepada penurunan aktiviti ekonomi dan menjadi penyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran.

 

Selain itu, krisis perbankan juga boleh disebabkan oleh faktor makroekonomi, seperti kemelesetan ekonomi, kadar inflasi yang tinggi dan juga penyusutan nilai mata wang.

 

Faktor-faktor ini boleh memberi kesan negatif kepada kesihatan dan kedudukan kewangan bank, yang membawa kepada penurunan keuntungan seterusnya menyebabkan kehilangan pelanggan dan menjejaskan keyakinan pelabur.

 

Akhir sekali, kegagalan pengawalseliaan dan penyeliaan terhadap institusi kewangan juga turut menyumbang kepada krisis perbankan.

 

Antaranya, peraturan yang lemah, pengawasan yang tidak mencukupi dan culas dalam penguatkuasaan boleh menggalakkan tingkah laku berisiko oleh bank.

 

Ia membolehkan bank terlibat dalam aktiviti penipuan serta tidak telus dalam menjalankan operasi yang menjadi punca kegagalan bank itu sendiri.

 

Ringkasnya, krisis perbankan adalah peristiwa rumit yang boleh disebabkan oleh pelbagai faktor. Oleh itu, adalah penting bagi pembuat dasar dan institusi kewangan untuk bertindak pantas dan mengambil langkah yang dilihat perlu dalam usaha untuk mencegah dan mengurangkan risiko keberulangan krisis ini.

 

Tanda-tanda Krisis Perbankan

Dalam kitaran ekonomi, fasa kemelesetan pasti tidak dapat dielakkan. Ini kerana kemelesetan ekonomi itu adalah lumrah ekonomi yang mengimbangi kembali keadaan ekonomi. Atau lebih mudah untuk diperkatakan, merujuk kepada fasa pembetulan ekonomi.

 

 

parafrasa

 

 

Sama seperti krisis perbankan, ia juga tidak dapat dielakkan. Hanya masa yang akan menentukan kegagalan sesebuah bank atau lebih berdasarkan faktor seperti di atas.

 

Tetapi, seboleh-bolehnya, krisis perbankan ini perlu dielakkan kerana ia membawa malapetaka besar ke atas keseluruhan sistem ekonomi.

 

Maka, amatlah penting untuk memahami tanda-tanda yang sebenarnya memberi amaran awal yang boleh membawa kepada krisis perbankan.

 

Ini juga penting untuk mengelakkannya daripada berlaku. Bak kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada mengubati.

 

Antara tanda-tanda sebelum tercetusnya krisis perbankan adalah seperti berikut:.

 

  1. Tahap Hutang Yang Tinggi: Apabila bank meminjamkan terlalu banyak wang, ia boleh membawa kepada peningkatan tahap hutang yang menjadi bank itu sendiri tidak mampan. Ini boleh membawa kenaikan kepada NPL yang boleh menyebabkan kerugian kepada bank.

 

  1. Gelembung Aset: Apabila harga aset, seperti hartanah atau saham naik dengan cepat, ia boleh membawa kepada gelembung aset. Sekiranya gelembung ini pecah, ia boleh menyebabkan kerugian besar bagi bank yang telah melabur banyak dalam aset tersebut.

 

  1. Pengurusan Risiko Yang Lemah: Bank yang mengambil terlalu banyak risiko tanpa prosedur pengurusan risiko yang efisien dan efektif boleh meletakkan mereka dalam kedudukan yang terdedah. Ini termasuk cuai dalam melakukan penilaian yang berkaitan seperti memberi pinjaman melibatkan jumlah besar dan berisiko serta membuat pelaburan dalam aset berisiko.

 

  1. Ketidakseimbangan Ekonomi: Jika terdapat ketidakseimbangan dalam ekonomi seperti defisit perdagangan atau inflasi, ia juga boleh membawa kepada krisis perbankan. Ini boleh berlaku jika bank telah memberi pinjaman yang banyak kepada satu sektor ekonomi yang mengalami kemerosotan secara tiba-tiba atau sektor ekonomi yang berisiko.

 

  1. Ketidakstabilan Politik: Sektor perbankan juga boleh dipengaruhi oleh ketidakstabilan politik. Ini kerana ketidakstabilan politik mengganggu aktiviti ekonomi dan mewujudkan ketidakpastian terhadap dasar yang bakal digubal. Ia boleh menyebabkan pelanggan dan pelabur hilang keyakinan terhadap institusi kewangan terutamanya sektor perbankan – mewujudkan turun naik jumlah deposit.

 

 

irsyad

 

 

Justeru, pengawal selia dan pembuat dasar perlu memantau tanda-tanda ini dan mengambil tindakan sepatutnya yang berkaitan untuk mencegah krisis perbankan daripada berlaku.

 

Ini termasuk melaksanakan peraturan dan langkah pengawasan untuk memastikan bank beroperasi dengan cara yang selamat dan utuh.

 

Di samping itu, bank sendiri boleh mengambil langkah-langkah untuk mengurangkan risiko dan memastikan bahawa mereka mempunyai modal yang mencukupi untuk menghadapi sebarang krisis yang berpotensi berlaku pada masa hadapan.

 

Krisis Perbankan Cetus Kebimbangan Kemelesetan Ekonomi

Risiko kemelesetan ekonomi telah dinyalakan semula oleh krisis perbankan yang berlaku baru-baru ini.

 

Boleh dikatakan masih awal dan kesannya belum meluas, telahan bakal berlakunya kemelesetan ekonomi dalam masa terdekat mungkin sama sekali tidak akan terjadi.

 

Ini kerana, kemelesetan ekonomi perlu memenuhi definisi teknikal iaitu kemerosotan atau penurunan yang ketara, meluas dan berpanjangan dalam aktiviti ekonomi.

 

Kemelesetan ekonomi berlaku selepas ekonomi mencapai puncak kitarannya dan tersebar atau merebak melibatkan keseluruhan aktiviti ekonomi yang berpanjangan lebih daripada beberapa suku.

 

Tetapi kali ini, mungkin definisi teknikalnya perlu disesuaikan dalam konteks krisis perbankan. Kelihatan samar tetapi tanda-tanda bakal berlakunya kemelesetan ekonomi sudah dapat dirasakan.

 

 

parafrasa

 

 

Walaupun diungkapkan dalam bahasa berbeza tetapi jika ditafsirkan dalam bahasanya tersendiri, ia ibarat bunga yang dalam proses untuk mekar di kemudian hari.

 

Cepat atau lambat, semuanya bergantung kepada pelbagai faktor! Rumit untuk dijelaskan kerana keadaan ekonomi semasa yang boleh dikatakan tidak masuk akal.

 

Kemungkinan ekonomi bakal  mengalami kemelesetan pada akhir tahun ini amatlah cerah. Ia boleh jadi sudah dimulakan dengan krisis perbankan.

 

Selagi ia belum berlaku, pertanyaan ini takkan pernah padam: Adakah krisis perbankan akan menyebabkan kemelesetan ekonomi? – DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags