Malaysia MADANI: Idea Bernas Anwar tetapi perlu disemarakkan lagi | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 31 May 2023

Malaysia MADANI: Idea Bernas Anwar tetapi perlu disemarakkan lagi

 

 

 

Bercakap mengenai Malaysia MADANI, ramai masih seperti duduk dalam keadaan ‘jernih seperti lumpur’. 

 

Walaupun telah diperkenalkan sejak Januari tahun ini oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, transformasi konsep dan slogan yang merujuk kepada Malaysia MADANI tidak gah seperti 1Malaysia yang diperkenalkan oleh mantan PM Datuk Seri Najib Tun Razak.

 

Adakah ini satu kegagalan dari Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO)? Gagal dalam menjenamakan Malaysia MADANI dalam kalangan rakyat!

 

 

anwar

 

 

Memahami Malaysia MADANI

Jika Pejabat Media dan Komunikasi Perdana Menteri menjalankan kerja dengan baik, tiada seorang pun yang akan menggunakan enjin carian internet untuk mencari maksud ‘MADANI’.

 

Tidak perlu dilontarkan dalam bahasa yang kompleks, yang sukar difahami oleh rakyat, konsep Malaysia MADANI semasa pengenalannya sepatutnya seperti pelancaran 1Malaysia, mempunyai mesej dan hala tuju yang jelas, ke mana Anwar mahu membawa Malaysia selepas ini.

 

Meskipun bersinonim dengan 1MDB, dikaitkan dengan One Israel, sekurang-kurangnya 1Malaysia mempunyai visi dan hala tuju yang jelas ke mana Najib mahu membawa Malaysia pada masa itu.

 

Jadi apa itu Malaysia MADANI? Jika anda masih tidak mempunyai idea apa itu Malaysia MADANI, nyata Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO GAGAL!

 

Logo Suram, Slogan Susah Difahami

Jika dilihat logo Malaysia MADANI, mesti ramai yang setuju, bukan logo yang menjadi masalah. Tetapi warna latar belakang yang dipilih menenggelamkan logo itu sendiri.

 

Berbanding dengan logo 1Malaysia dan warna yang boleh dilihat benar-benar mewakili jenama yang mahu dibawa oleh Najib sebelumnya.

 

Angka 1 menjadi teras kepada logo 1Malaysia dipadankan pula dengan Jalur Gemilang yang dijadikan sebagai latar belakang, ini menjadikannya senang untuk dikenal pasti dengan serta-merta.

 

Sebaliknya Malaysia MADANI pula menggunakan simbol tangan simbolisme kepada rukun negara tetapi ia gagal untuk membawa apa yang cuba digarapkan oleh Anwar.

 

Warna biru pudar yang sentiasa dipilih untuk menjadi latar belakang logo Malaysia MADANI pula menjadikannya lebih hambar. Mungkin berkait dengan warna gabungan parti politik yang dipimpinnya, tetapi kadangkala elok untuk mengetepikan warna ini supaya ia nampak lebih menyerlah!

 

Berlandaskan 6 nilai MADANI, pada dasarnya, konsep MADANI mencerminkan kepercayaan dijalin antara kerajaan dan rakyat atas dasar ketelusan dan kerjasama.

 

 

parafrasa

 

 

Dengan  slogan ‘Membangun Malaysia Madani’, adakah ramai yang benar-benar faham apa yang cuba dibawa oleh Anwar ini?

 

Mengenang 1Malaysia

Ramai bersetuju dan mengakui 1Malaysia adalah transformasi kerajaan yang paling berjaya.

 

Dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan', ia merupakan satu transformasi dalam pentadbiran kerajaan yang menunjukkan pemimpin kerajaan melaksanakan tugas dengan cekap, amanah dan bertanggungjawab demi rakyat.

 

Penggunaan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), metrik dan sasaran yang lebih biasa digunakan dalam dunia korporat dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) digunakan sebagai usaha untuk meningkatkan kecekapan kerajaan.

 

KPI menyediakan mekanisme penilaian kementerian dan agensi kerajaan lain, termasuk semakan prestasi yang dijalankan setiap enam bulan.

 

Setiap kementerian telah diminta untuk mewujudkan KPI tertentu, termasuk memberi tumpuan kepada hasil dasar berbanding penekanan tradisional terhadap input yang biasanya terdapat dalam penilaian dan perancangan prestasi kerajaan.

 

KPI ini termasuk huraian kerja terperinci dan matlamat untuk menteri, timbalan menteri dan beberapa pegawai kanan kerajaan yang lain.

 

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) merupakan enam bidang dasar utama di mana KPI akan memainkan peranan yang amat penting dalam meningkatkan keberkesanan kerajaan.

 

NKRA termasuk pencegahan jenayah, mengurangkan rasuah kerajaan, peningkatan akses kepada pendidikan berkualiti, peningkatan taraf hidup bagi golongan berpendapatan rendah, naik taraf infrastruktur luar bandar dan penambahbaikan pengangkutan awam.

 

UTC, RTC dan Pencapaian Lain

Ketepikan 1MDB, lihat dari perspektif yang berbeza. Untuk menamakan beberapa, yang paling diingati ramai sudah tentu Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang merupakan sebuah pusat kemudahan awam yang terletak di beberapa ibu negara dan kawasan bandar di Malaysia serta Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

 

Kewujudan UTC dan RTC tidak perlu disangkal, inilah antara ‘penukar permainan’ dibawa oleh Najib yang memberi impak dan manfaat secara terus kepada rakyat.

 

 

utc

 

 

Tidak cukup dengan itu, Kedai Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Yayasan 1Malaysia dan kejayaan pelaksanaan pelbagai program yang diwujudkan di bawah Strategi Lautan Biru Nasional (NBOS) telah membawa negara ke satu tahap yang memang boleh dibanggakan.

 

Tetapi kenapa usaha sebegini perlu diberhentikan apabila kerajaan bertukar?

 

Bagi pengkritik 1Malaysia, jangan nafikan, Malaysia berada pada kemuncak dan prestasi terbaik di bawah kepimpinan Najib.

 

Buktinya, pasaran saham Malaysia berada pada tahap kemuncak prestasinya, negara menyaingi kembali negara jiran terdekat dalam usaha mencapai status negara berpendapatan tinggi, pembangunan infrastruktur dan lain-lain.

 

Ia akan terus menerus menjadi penanda aras untuk transformasi kerajaan pada masa hadapan.

 

Malaysia MADANI mungkin kedengaran masih baharu, tidak adil jika terus dihentam tetapi yang menjadi masalah adalah adakah semua memahami apa yang cuba direalisasikan melalui transformasi ini?

 

Tidak Perlukan Genius Jenama dan Pemasaran

Dari Wawasan 2020, Islam Hadhari, 1Malaysia, Malaysia Baharu, Keluarga Malaysia dan kini Malaysia MADANI, sebagai rakyat Malaysia, apa yang kita nak adalah keputusan bukan sekadar slogan semata-mata.

 

Mengubah kerajaan melalui transformasi konsep dan slogan adalah bukan perkara baharu. Ia menjadi salah satu cara bagaimana kerajaan menzahirkan perubahan, menyampaikan visi masa hadapan negara dengan melibatkan rakyat.

 

Jika rata-rata ramai yang tidak memahami apa perubahan yang mahu dilaksanakan melalui konsep dan slogan, adakah kerajaan GAGAL?

 

Terlalu awal untuk memberi jawapan kerana Malaysia MADANI baharu sahaja diperkenalkan pada awal tahun ini. Anwar masih mempunyai banyak masa untuk memperbetulkan kegagalan dari pejabat beliau sendiri.

 

Sepatutnya konsep Malaysia MADANI disampaikan dengan mudah, mudah diingat dan rakyat dapat menangkap intipati konsep dengan cara yang ringkas.

 

Pertimbangkan balik bagaimana kerajaan dapat menyampaikan aspirasi Malaysia MADANI dengan menggunakan pendekatan mudah dan kuat serta dapat menyampaikan transformasi yang diingini, secara tidak langsung dapat mewujudkan hubungan emosi dan meninggalkan kesan yang berkekalan buat semua.

 

 

parafrasa

 

 

MADANI Bukan Retorik

Jangan gah hanya pada konsep dan slogan! Pastikan ia sejajar dengan TINDAKAN yang diambil.

 

Ini kerana slogan dan konsep tidak boleh wujud secara berasingan, ia mesti diselaraskan dengan tindakan diiringi dengan dasar yang konkrit.

 

Buktikan kepada rakyat bahawa kerajaan hari ini benar-benar komited untuk melaksanakan perubahan seperti mana yang tersirat dalam konsep yang dibawakan.

 

Tanpa tindakan, slogan hanyalah retorik! Hanya janji kosong semata-mata.

 

Cabaran sekarang, yang paling penting adalah bagaimana memastikan semua rakyat faham apa itu transformasi kerajaan melalui konsep dan slogan Malaysia MADANI.

 

Anwar sebenarnya tidak perlukan genius jenama dan pemasaran sebenarnya. Beliau mempunyai segalanya apabila memimpin kerajaan.

 

Gunakan dan libatkan pelbagai saluran komunikasi yang ada untuk memaksimumkan jangkauan dan kesan. Tidak dinafikan dengan kewujudan drama pendek, nyanyian oleh kugiran kegilaan anak muda seperti Bunkface, majlis ilmu dan lain-lain adalah antara usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat memahami aspirasi terbaru yang cuba dibawa oleh beliau.

 

Tetapi cukupkah? Jika tidak cukup, mungkin pentadbiran Anwar perlu bekerja dengan lebih keras lagi. Bekerja seperti pentadbiran Najib. Mereka tahu apa yang mereka lakukan dengan 1Malaysia.

 

Bukan hanya gah dengan slogan, tetapi pencapaian telah menjadi bukti kehebatan mereka pada masa itu!

 

Malaysia MADANI: Transformasi Hebat Anwar Ibrahim

Cukuplah dengan politik tidak matang, Malaysia perlukan kestabilan politik untuk survival ekonomi dan rakyat.

 

 

parafrasa

 

 

Melalui Malaysia MADANI, jelas menunjukan pentadbiran Anwar memberi mesej yang jelas. Mereka sedang berusaha untuk menghapuskan amalan rasuah, mengurangkan jarak kuasa, membasmi kemiskinan tegar, memperbaiki infrastruktur negara, mengagihkan subsidi dan banyak lagi.

 

Berikan mereka masa untuk buktikan tanpa sebarang gangguan terutamanya gerakan yang cuba menumbangkan kerajaan hari ini. Adakah konsep MADANI akan membentuk Malaysia baharu?

 

Siapa tahu? Tunggu dan lihat!

 

Apa yang direncanakan oleh Anwar mungkin akan tercapai pada masa hadapan.

 

Pada masa itu, Malaysia MADANI akan dikenang sebagai salah satu transformasi konsep dan slogan kerajaan Malaysia yang hebat seperti 1Malaysia. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat
Portfolio Tags