Memanfaatkan AI dalam Dagangan Saham | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 24 May 2023 07:00 AM

Memanfaatkan AI dalam Dagangan Saham

 

 

KEHADIRAN kecerdasan buatan (AI) dengan pantas mengubah dunia. Boleh dikatakan, hampir setiap hari kita boleh melihat chatbot, aplikasi dan enjin carian yang baharu berkuasa AI dikeluarkan.

 

Adakah ini satu perkembangan yang bagus? Atau ia bakal menjadi ancaman kepada kita semua? Kenapa?

 

Ini kerana mungkin pada masa hadapan kita bakal melihat penaklukan gaya baharu apabila kita kehilangan kawalan ke atas AI yang dilihat jauh lebih pintar seperti Skynet dalam filem sains fiksyen Terminator.

 

Siapa tahu? Tiada siapa yang mampu meramal masa hadapan.

 

 

Eksponen

 


AI Adalah Model Otak, Bukan Salinan!

Seringkali dibandingkan, sudah tentu kecerdasan manusia tidak dapat menyaingi kemajuan AI kerana kecerdasan manusia bertujuan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru – yang membolehkan kita memberi tumpuan kepada maklumat yang paling penting untuk kelangsungan hidup – dengan menggabungkan pelbagai proses kognitif.

 

AI pula  telah dilatih untuk mengumpul maklumat dari masa ke semasa melalui kaedah pembelajaran pengukuhan. Melalui pembelajaran pengukuhan, ini adalah cara yang unik untuk AI mempelajari satu tugas dengan mengulangi tugas berulang kali sehingga ia menemui kaedah terbaik untuk menyelesaikan masalah dan sebagainya.

 

Dalam erti kata mudah, Otak manusia bertindak serta membuat keputusan yang didorong oleh keadaan, sebaliknya, AI – model matematik dan algoritma – dicipta supaya peranti berkomputer cekap menilai sesuatu keadaan dan situasi.

 

Kehadiran AI bukanlah ancaman! Sepatutnya ini adalah masa terbaik untuk kita memanfaatkan AI bagi meningkatkan keberkesanan dan kecekapan dalam melaksanakan kerja dan tugasan seharian.

 

AI juga dapat membantu dalam membuat keputusan yang lebih baik, cepat dan tepat. Sebagai contoh, AI boleh digunakan untuk membangunkan strategi, menganalisis data serta membantu dalam membuat keputusan perdagangan dan juga pelaburan dalam pasaran saham.

 

Revolusi Perdagangan Algoritma

Tidak dinafikan, revolusi AI dalam bidang perdagangan saham telah mengubah bagaimana analisis saham dilakukan dan memberikan banyak kelebihan kepada pedagang mahupun pelabur. Perdagangan Algoritma adalah bukan sesuatu yang baharu dalam pasaran saham.

 

Dengan kewujudan Perdagangan Algoritma, ia membolehkan pedagang dan pelabur membuat keputusan dengan lebih cepat dan lebih tepat ditambah dengan kecekapan yang lebih besar daripada sebelumnya.


 

parafrasa

 


Peningkatan penggunaan AI dalam analisis pasaran saham juga telah banyak membantu pedagang dan pelabur untuk membuat keputusan yang lebih baik, mengetepikan pengaruh emosi dan yang paling penting, meminimumkan kerugian serta memaksimumkan keuntungan dari pasaran saham.

 

Terdapat beberapa jenis algoritma AI yang biasa digunakan dalam perdagangan algoritma, masing-masing dengan set faedah dan kekurangannya sendiri.

 

Sesetengah algoritma, sebagai contoh, direka untuk mengenal pasti corak pergerakan dalam harga saham kemudian membuat ramalan berdasarkan logik dan menjana model ramalan darinya.

 

Algoritma lain pula dicipta bertujuan untuk memantau maklumat pasaran saham masa nyata, kemudiannya menyesuaikan strategi perdagangan dan pelaburan apabila keadaan berubah.

 

Beberapa strategi perdagangan algoritma adalah seperti pengesanan dan meramalkan corak pergerakan harga saham, mean reversion, arbitraj serta pengimbangan semula dana indeks.

 

Meramal Pergerakan Harga Saham

Kini, teknologi AI telah maju ke tahap di mana ia boleh digunakan untuk meramalkan pergerakan harga saham dengan ketepatan yang tinggi. Keupayaan untuk memproses sejumlah besar maklumat dengan cepat dan tepat telah memberikan AI kelebihan berbanding kaedah manual sedia ada.

 

Terdapat beberapa cara yang berbeza dalam menggunakan AI untuk meramalkan harga saham.

 

Satu pendekatan biasa ialah menggunakan algoritma pembelajaran mesin (ML) seperti regression, classifier dan support vector machine (SVM) untuk mengenal pasti corak pergerakan dalam harga saham dan menggunakan corak ini untuk meramalkan pergerakan harga saham pada masa hadapan.


 

parafrasa

 


Harga saham adalah dinamik serta bergerak secara tidak menentu dan ia bergantung kepada banyak faktor seperti psikologi, tingkah laku rasional serta tidak rasional pedagang dan pelabur dan lain-lain.

 

Ini menjadikannya sangat sukar buat penganalisis pasaran saham untuk meramalkan pergerakan harga saham pada masa hadapan dengan ketepatan yang tinggi.

 

Gabungan algoritma AI dan model ML dilihat dapat membantu meningkatkan ketepatan ramalan pasaran saham.

 

Kebanyakan model ramalan ML dibangunkan dengan menggunakan model Long Short Term Memory Network (LSTM). LSTM adalah algoritma yang sesuai untuk data siri masa. Ia boleh menangkap corak sejarah pergerakan harga serta meramalkan nilai masa depan dengan ketepatan yang tinggi.

 

Selain ML, kaedah lain ialah dengan menggunakan pemprosesan bahasa semula jadi (NLP) untuk menganalisis maklumat pasaran masa nyata seperti laporan dan dokumen kewangan berkaitan serta berita berpotensi yang boleh mengubah pergerakan harga saham.

 

Dengan memanfaatkan NLP melalui analisis sentimen, pedagang dan pelabur dengan cepat dapat memahami nada laporan, sama ada ia positif atau negatif, membantu membuat keputusan yang tepat.

 

Di samping itu, AI juga setapak maju ke hadapan kerana ia juga boleh digunakan untuk mengesan aktiviti yang berpotensi, merujuk kepada manipulasi pasaran saham.

 

AI Tidak Beremosi, Mendidik Berdasarkan Logik dan Fakta

AI juga boleh digunakan untuk mengenal pasti peluang perdagangan dalam pasaran saham. Seperti analisis asas dan analisis teknikal, AI boleh melaksanakan kedua analisis ini dengan lebih cepat menghapuskan keperluan untuk melakukannya secara manual.

 

Analisis asas berkisarkan nilai, dilakukan dengan menganalisis data kewangan syarikat untuk mengenal pasti saham yang dinilai rendah atau terlebih nilai. Walau bagaimanapun untuk memperoleh nilai-nilai ini, penyelidikan yang luas perlu dilakukan. Ia sudah pasti memakan masa yang lama.


 

parafrasa

 


Dengan analisis AI, penganalisis pasaran saham boleh memproses semua jenis maklumat dengan lebih cepat dari pelbagai sumber. Dengan cara ini, proses pemilihan saham yang bersesuaian untuk didagangkan dan dilaburkan adalah menjadi lebih mudah dan cepat.

 

AI berdasarkan analisis teknikal pula digunakan bertujuan untuk mengenal pasti paras sokongan dan rintangan saham. Dengan mengenal pasti paras sokongan dan rintangan sejarah, ia boleh digunakan sebagai isyarat perdagangan - masa yang sesuai untuk membeli atau menjual saham.

 

Kelebihan apabila menggunakan analisis AI berbanding analisis asas mahupun teknikal, ia dapat mengurangkan pengaruh emosi yang sering menghantui pedagang dan pelabur.

 

Emosi, secara dasarnya apabila pedagang dan pelabur membuat keputusan berdasarkan perasaan seperti tamak atau ketakutan. Ini mendorong kepada keputusan yang salah disebabkan oleh emosi kurang bijak.

 

Oleh itu, dengan bantuan AI, pengaruh emosi dapat diketepikan kerana ia memahami logik, algoritma dan maklumat yang diberikan kepadanya. Ia mengurangkan keperluan untuk melakukan perdagangan dan pelaburan berdasarkan pengaruh emosi.

 

Dalam erti kata lain, AI mendidik pedagang mahupun pelabur membuat keputusan menggunakan logik dan fakta, ini secara tidak langsung dapat memaksimumkan keuntungan serta meminumkan kerugian.

 

AI Bukan Magis Mahupun Bola Kristal Ramalan Baharu

Secara keseluruhan, AI adalah revolusi teknologi yang boleh digunakan oleh penganalisis saham dalam membuat keputusan yang lebih baik dalam pasaran saham. Tetapi perlu diingatkan, bahawa AI bukan magis atau boleh dianggap sebagai bola kristal ramalan baharu.

 

Ingat! Perdagangan dan pelaburan saham datang dengan risiko tersendiri. Walaupun model AI tersedia dapat memberikan ramalan yang lebih baik berbanding kaedah tradisional, ia tetap mempunyai risiko.


 

parafrasa

 


Pasaran saham adalah kompleks dan tidak dapat diramalkan dengan sempurna. Faktor-faktor yang tidak dapat dijangka seperti keadaan ekonomi  dunia, keadaan politik semasa atau krisis kewangan boleh memberi impak yang signifikan pada harga saham.

 

Walaupun AI dapat meningkatkan ketepatan ramalan, ia masih tidak mampu memberikan jaminan mutlak buat pedagang mahupun pelabur mengaut keuntungan yang besar dari pasaran saham.

 

Ini kerana kesempurnaan itu tidak pernah wujud! - DagangNews.com

 

 
Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN