Mencapai impian Malaysia MADANI | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 7 June 2023

Mencapai Impian Malaysia MADANI

 

 

Malaysia MADANI merupakan rangka kerja dasar dan slogan kerajaan yang berasaskan prinsip dan nilai-nilai Islam yang memberi tumpuan terutamanya kepada tadbir urus kerajaan yang baik, pembangunan yang mampan serta memupuk keharmonian kaum di negara ini.

 

Dari segi konsep, jika semua memahaminya, ia adalah konsep dan satu visi yang jelas di bawa oleh Anwar yang menekankan prinsip-prinsip masyarakat yang harmoni, inklusif dan progresif.

 

Mana-mana yang mengetuai kerajaan pasti sedar bahawa kekuatan Malaysia terletak pada kepelbagaian budaya dan berusaha untuk membina masyarakat yang menerima kepelbagaian ini sambil memupuk rasa identiti dan kekitaan bersama.

 

Dalam mencapai kestabilan ekonomi dan politik, kuncinya adalah keharmonian antara kaum dan agama. Jadi ini bukan perkara baharu, cuma ia membawa konsep yang baharu dengan visi yang sama dengan sebelum ini!

 

Apa pun transformasi yang cuba dibawa oleh kerajaan, baik Wawasan 2020, 1Malaysia, Malaysia Baharu, Keluarga Malaysia mahupun Malaysia MADANI, objektifnya tetap sama iaitu untuk merapatkan jurang, menghilangkan stereotaip serta menggalakkan sifat saling menghormati dan menerima antara satu sama lain.

 

Jika keharmonian dan sikap bersatu padu antara kaum dan agama tidak dapat dipupuk, percayalah transformasi kerajaan ini sampai kiamat mungkin tidak dapat direalisasikan!

 

parafrasa

 

Ketidakjelasan Malaysia MADANI

Apa pun transformasi baharu yang cuba dibawa oleh kerajaan pasti ia takkan terlepas dari sebarang kritikan.

 

Malaysia MADANI juga tidak terkecuali, antara kritikan utama ialah ia tidak jelas. Ada pihak mempersoalkan sama ada transformasi baharu yang diperkenalkan oleh Anwar itu sebenarnya boleh dicapai atau tidak.

 

Kembali kepada asas, mana-mana transformasi kerajaan yang berjaya memerlukan pelan strategi yang jelas dengan matlamat, dalam jangka masa pendek dan panjang serta petunjuk kemajuan (KPI) tertentu.

 

Manakala, Malaysia MADANI jelas dilihat masih samar-samar. Ini menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pihak berkepentingan dan orang ramai.

 

Mana tidaknya, ramai masih keliru dan tidak memahami bagaimana ia akan dilaksanakan sepenuhnya bagi mendapat hasil yang diharapkan atau bagaimana ia akan dicapai.

 

Kekurangan penjelasan dari kerajaan Anwar boleh menjejaskan keyakinan terhadap transformasi baharu kerajaan ini dan sekali gus menghalang pelaksanaannya.

 

Salah satu cara untuk menangani kritikan ini, adalah penting bagi Anwar untuk menyediakan pelan komprehensif dan telus yang menggariskan tindakan tertentu, garis masa, peruntukan sumber serta mekanisme yang berkaitan untuk memantau dan menilai kemajuan dari semasa ke semasa.

 

Dengan menyatakan dengan jelas matlamat dan strategi, program ini dapat memperoleh sokongan yang lebih besar dan memastikan bahawa semua berada di halaman yang sama.

 

parafrasa

 

Publisiti Kerajaan Anwar?

“Ah ni publisiti jelah! Nak mengalihkan perhatian rakyat daripada masalah sebenar yang dihadapi oleh Malaysialah tu!”

 

Kritikan bahawa Malaysia MADANI hanyalah sebagai salah satu publisiti yang digunakan untuk mengalihkan perhatian daripada isu sebenar di negara ini adalah pandangan yang mungkin dipegang oleh sesetengah individu.

 

Ia adalah perkara biasa dan merupakan salah satu cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan hari ini. Adalah penting bagi kerajaan untuk menunjukkan komitmen yang tulen dalam menangani masalah dan cabaran yang dihadapi oleh Malaysia hari ini.

 

Isu kos sara hidup, ketidaksamaan sosio-ekonomi, rasuah, kebajikan sosial, dasar kerajaan yang ‘flip-flop’ serta banyak lagi isu dan masalah yang membelenggu rakyat Malaysia perlu diselarikan dengan transformasi kerajaan baharu ini.

 

Ketelusan dan akauntabiliti adalah penting dalam menangkis persepsi Malaysia MADANI adalah alat untuk meraih publisiti semata-mata.

 

Kerajaan perlu memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah sebenar yang dihadapi negara dan memastikan inisiatif Malaysia MADANI bukan sekadar cubaan untuk mengalih perhatian.

 

Dengan menangani isu-isu seperti yang disebutkan dengan berkesan, kerajaan perlu menunjukkan komitmennya terhadap transformasi yang tulen dalam usaha untuk menangkis tuduhan menggunakan Malaysia MADANI sebagai taktik publisiti semata-mata.

 

parafrasa

 

Kejayaan Malaysia MADANI sebenarnya bergantung kepada keupayaan kerajaan untuk menyampaikan perubahan yang bermakna dan mampan, ini perlu disokong oleh tindakan dan keputusan yang konkrit.

 

Jangan memerangi apa-apa isu atau masalah secara terpilih kerana ramai yang memerhatikan dan hanya menunggu masa untuk bersuara.

 

Pencapaian Malaysia hari ini adalah sumbangan dari semua rakyatnya.

 

Jika kerajaan hari ini hanya memberi tumpuan kepada isu dan masalah terpilih, ini boleh mengakibatkan ketidakadilan dan ketidakseimbangan dalam penyelesaian masalah.  Ini boleh memburukkan lagi ketidaksamaan sosial, merugikan kelompok yang terpinggir dan mengabaikan isu-isu penting yang lain.

 

Oleh itu, adalah penting untuk melibatkan dan mendengar suara semua rakyat, serta mempertimbangkan pelbagai perspektif dalam usaha menangani masalah dan mencapai keadilan sosial.

 

Meraikan Keterangkuman Malaysia MADANI

Teringat bait lirik lagu Cerita Kedai Kopi dendangan Malique dan DJ Fuzz yang menampilkan Salammusik;

 

“Dia pula bercerita tapi bukan tentang dia atau dia

Di Eropah orang bentang idea

Topik-topik intelektual didiskusi

Anjakan paradigma bila kena kopi”

 

Sebenarnya salah atau tidak salah jika seseorang itu mentafsirkan sesuatu dari perspektif yang berbeza dan dalam gaya bahasanya sendiri?

 

Setiap individu memiliki kebebasan untuk menginterpretasikan sesuatu dengan cara yang mereka pilih, berdasarkan latar belakang, pengalaman dan pandangan mereka sendiri.

 

Jadi, tidak ada jawapan yang tepat atau salah mengenai mentafsirkan sesuatu dari perspektif yang berbeza dan menggunakan gaya bahasa sendiri.

 

Namun, ketepatan, keobjektifan, dan pemahaman yang mendalam tetap penting untuk memastikan tafsiran kita mencerminkan realiti dan konteks yang sebenar.

 

parafrasa

 

Jadi apa itu Malaysia MADANI?

Adakah Malaysia berpotensi untuk menjadi negara yang lebih bertamadun dan inklusif, di mana prinsip-prinsip demokrasi, keadilan dan kebebasan ditegakkan seperti yang digarapkan oleh Anwar? - DagangNews.com

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN

Portfolio Tags