The Simpsons: Satira ramalan atau kebetulan mengejutkan? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 06 Sep 2023 08:00 AM

The Simpsons: Satira Ramalan atau Kebetulan Mengejutkan?

 

 

PERNAHKAH anda terfikir bahawa sebuah siri animasi boleh membuat ramalan sehingga mampu "meramal" peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di dunia sebenar?

 

Inilah misteri yang mengelilingi The Simpsons, siri televisyen animasi yang dicipta oleh Matt Groening. Siri ini mula ditayangkan pada 17 Disember 1989, dan setakat Mei 2023, ia telah menghasilkan tidak kurang dari 750 episod yang memukau penonton di seluruh dunia.

 

The Simpsons mengambil tempat di bandar fiksyen Springfield dan berpusat pada kehidupan keluarga Simpson. Watak-watak utama termasuk Homer Simpson, seorang ayah yang mempunyai sifat kadang-kadang keterlaluan; Marge Simpson, isteri yang penyayang dan penyabar; Bart Simpson, si abang yang nakal; Lisa Simpson, adik yang bijak dan mencintai alam sekitar; dan Maggie Simpson, anak bongsu dalam keluarga Simpson.

 

Dengan menggabungkan satira, kehidupan sosial, dan jenaka yang merangkumi pelbagai topik, termasuk kisah keluarga, politik, agama, budaya popular, teknologi, serta kehidupan seharian, The Simpsons telah menjadi fenomena global yang meninggalkan kesan yang sukar dilupakan oleh para penontonnya.


 

Eksponen

 


Ramalan dan Gambaran Kebetulan The Simpsons

Salah satu yang paling menarik tentang The Simpsons adalah kemampuannya untuk seolah-olah meramalkan peristiwa dunia.

 

Ini telah menjadi perhatian ramai terutamanya ahli teori konspirasi yang sering menjadikan rancangan ini sebagai rujukan atau sebagai petanda sebelum peristiwa itu benar-benar berlaku. Apakah ini kebetulan semata-mata atau ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik rancangan ini?

 

Berikut adalah antara beberapa ramalan dan gambaran kebetulan telah dibuat oleh The Simpsons yang berjaya menjadi perhatian ramai:

 

  1. Donald Trump Menjadi Presiden AS (Tahun 2000) Dalam episod bertajuk "Bart to the Future", Lisa Simpson menjadi Presiden dan menyebut mewarisi "kegagalan bajet yang agak sukar daripada Presiden Trump”. Ini telah lama ditayangkan sebelum Trump menjadi Presiden pada 2017.

 

  1. Jam Tangan Pintar (Tahun 1999) Dalam episod bertajuk "Lisa's Wedding", salah satu watak dilihat menggunakan peranti yang menyerupai jam tangan pintar, yang kemudiannya menjadi trend teknologi dunia sebenar.

 

  1. Skandal Rasuah FIFA (Tahun 2014) Dalam episod bertajuk "You Don't Have to Live Like a Referee", Homer terlihat memegang wang tunai dengan logo FIFA, yang ditayangkan sebelum skandal rasuah FIFA menjadi tajuk utama.

 

  1. Mesin Pengundian Rosak (Tahun 2008) Dalam episod bertajuk "Treehouse of Horror XIX", Homer cuba mengundi Barack Obama, tetapi mesin mengundi yang rosak telah memilih John McCain. Ini dilihat sesetengah pihak sebagai ramalan isu mesin mengundi pada pilihan raya 2012.

 

  1. Wabak Ebola (Tahun 1997) Episod yang bertajuk "Lisa's Sax" ini telah memaparkan buku bertajuk "Curious George and the Ebola Virus". Episod ini mendapat perhatian ramai semasa wabak Ebola menyerang Afrika Barat pada tahun 2014.

 

  1. Persembahan Super Bowl Lady Gaga (Tahun 2012) Dalam episod bertajuk "Lisa Goes Gaga", Lady Gaga telah membuat persembahan turun dari langit dengan menggunakan kabel di Springfield yang menyerupai pertunjukan sebenar pada separuh masa Super Bowl 2017.

 

  1. Pandemik COVID-19 (Tahun 1993) Walaupun ini bukan ramalan, tetapi episod bertajuk "Marge in Chains" memaparkan virus yang dipanggil "Selesema Osaka" yang telah merebak ke seluruh dunia. Sesetengah penonton membuat persamaan episod ini dengan pandemik COVID-19.

 

  1. Hadiah Nobel Ekonomi (Tahun 2010) Dalam episod bertajuk "Elementary School Musical", Bengt Holmström, digambarkan sebagai pemenang Nobel dalam adegan pembukaan episod itu dan dia kemudiannya memenangi Hadiah Nobel dalam bidang Ekonomi enam tahun kemudian pada 2016.

 

 

simpsons

 


Sebenarnya masih ada banyak lagi episod yang menjadi gambaran kebetulan dari rancangan televisyen ini, tetapi yang menjadi persoalan di sini, adakah The Simpsons mempunyai kebolehan untuk meramal apa yang berlaku pada masa hadapan? Ataupun ini hanyalah kebetulan semata-mata?

 

Ramalan The Simpsons Sebenarnya Boleh Dirungkaikan

Fenomena The Simpsons yang seolah-olah meramalkan peristiwa dunia sebenar telah menjana pelbagai teori dan menuntut penjelasan saintifik.

 

Walaupun ada sesetengah teori berkaitan fenomena ini boleh diterima, ia sering dikatakan bersifat spekulatif dan tidak dapat diterima dengan baik secara universal.

 

Teori yang boleh diterima ramai terutamanya peminat siri ini adalah "Hukum Nombor Besar" atau dalam bahasa Inggeris, "Law of Large Numbers". Teori ini adalah berasaskan prinsip statistik asas yang menegaskan bahawa apabila bilangan percubaan atau peristiwa meningkat, hasilnya akan cenderung menumpu ke arah nilai yang dijangkakan atau merujuk kepada nilai purata.

 

Dalam konteks The Simpsons, ini adalah salah satu teori yang paling diterima ramai. Ini berkaitan dengan jumlah episod yang telah dihasilkan oleh The Simpsons. Ia menjadi faktor utama bagaimana rancangan televisyen ini dapat membuat ramalan dan gambaran kebetulan dengan peristiwa sebenar yang berlaku.

 

Dengan beratus-ratus episod dan jenaka, rujukan serta senario yang tidak terkira banyaknya, secara statistik, ada kemungkinan sesetengah daripada episod yang ditayangkan ini secara kebetulan akan menyerupai peristiwa sebenar yang berlaku.

 

Teori ini juga hadir dengan hipotesis dan mencadangkan bahawa lebih banyak episod yang dihasilkan, lebih tinggi peluang untuk membuat ramalan dan gambaran kebetulan secara tidak sengaja.


 

parafrasa

 


Bayangkan The Simpsons sebagai dek kad yang sangat besar, dengan setiap kad mewakili kisah keluarga, politik, agama, budaya popular, teknologi, serta kehidupan seharian. Setiap kali episod dicipta, ia seperti melukis kad dari dek yang besar ini.

 

Sebagai contoh, katakan, salah satu kad dalam dek mewakili episod tentang teknologi – jam tangan pintar. Dalam episod ini, ia menggambarkan salah satu watak dalam siri ini telah menggunakan peranti yang menyerupai jam tangan pintar, teknologi yang masih tidak wujud pada masa itu.

 

Kemudian, setelah bertahun-tahun, apabila jam tangan pintar telah dicipta dan menjadi kenyataan. Sudah pasti penonton akan merujuk kembali kepada episod itu dan mengatakan The Simpsons telah membuat ramalan tentang jam tangan pintar dengan terlebih dahulu.

 

Ini dikatakan sebagai penjajaran peluang atau gambaran kebetulan di tengah-tengah pelbagai kandungan yang dihasilkan oleh siri itu.

 

Betul bukan? Kerana dari 750 episod, hanya beberapa episod sahaja yang menjadi kenyataan! Bukan semua!

 

 

parafrasa

 

 

The Simpsons, Anggaplah Ia Hanyalah Sebuah Satira Hiburan

The Simpsons bukanlah bola kristal magis! Ia tidak akan sesekali boleh memberitahu dan meramal apa yang bakal terjadi pada masa hadapan dengan tepat.

 

Ia hanyalah sebuah satira hiburan yang sarat dengan jenaka yang kadang-kadang bertuah secara tidak sengaja kelihatan telah membuat ramalan dan gambaran kebetulan seperti kehidupan sebenar.

 

Yang pasti, The Simpsons akan terus menjadi salah satu sumber hiburan yang menyeronokkan dan kadang-kala tidak masuk akal!

 

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL EKSPONEN 

dagangnews