Tiada Santa Claus di pasaran saham Disember Ini | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Eksponen - 21 Dec 2022 07:00 AM

Tiada Santa Claus di Pasaran Saham Disember Ini

 

 

Apa yang bakal terjadi jika Santa Claus Rally tidak berlaku pada tahun ini? Hari Natal tetap disambut seperti biasa!

 

Jadi adakah Santa Claus akan membuat kejutan dan muncul seperti kebiasaan pada akhir bulan Disember? Ataupun adakah Santa Claus Rally ini hanyalah mitos kewangan yang direka bagi menarik pedagang dan pelabur untuk meningkatkan aktiviti dagangan pada minggu terakhir bulan Disember.

 

Melalui pemerhatian dan kajian, berdasarkan pulangan dan pergerakan indeks harga utama setakat hari ini, boleh dikatakan hampir semua pasaran saham diseluruh dunia berada dalam keadaan pergerakan harga menurun.

 

Jadi, peluang untuk Santa Claus Rally berlaku berkemungkinan tipis! Tapi perlu diingatkan juga bahawa ia berlaku pada 5 hari dagangan terakhir pada bulan Disember dan 2 hari dagangan pertama pada bulan Januari tahun berikutnya.


 

Eksponen

 


Anomali Pasaran dan Hipotesis Pasaran Cekap

Sebenarnya Santa Claus Rally ini terhasil dari ketidakcekapan pasaran yang menyanggah teori Hipotesis Pasaran Cekap. Walaupun teori Hipotesis Pasaran Cekap menyatakan harga saham yang didagangkan dalam pasaran adalah sentiasa BETUL (dinilaikan pada harga sebenar) dan mencerminkan semua maklumat yang ada (termasuk apa yang sudah berlaku, sedang berlaku dan bakal berlaku) serta boleh di akses oleh semua pedagang dan pelabur.

 

Tetapi, secara realistik dan praktiknya, sebenarnya sukar untuk mencipta satu pasaran saham yang cekap mengikut teori ini – pasaran saham yang cekap di mana harga saham yang didagangkan berubah dan menyesuaikan dengan maklumat terbaru. 

 

Kemunculan anomali pasaran seperti Santa Claus Rally sebenarnya telah membuktikan bahawa Hipotesis Pasaran Cekap tidak selalunya betul kerana tidak semua maklumat yang tersedia adalah relevan dan berharga, yang boleh terus memberi kesan terhadap turun naik harga saham di pasaran saham.

 

Oleh itu, pedagang dan pelabur yang tidak berpegang pada (tidak mempercayai) teori ini sentiasa percaya bahawa wujudnya peluang untuk mereka menjana pulangan yang lebih tinggi disebabkan oleh anomali – di mana harga saham tidak mencerminkan sepenuhnya semua maklumat yang tersedia.

 

Selain Santa Claus Rally, sebenarnya terdapat banyak lagi anomali pasaran yang telah menyanggah Hipotesis Pasaran Cekap dan membuktikan teori ini susah untuk dikekalkan. Antara anomali pasaran yang dekat dan mempunyai kesinambungan dengan Santa Claus Rally adalah Kesan Januari (January Effect)

 

Bulan Permulaan Tahun, Kesan Terhadap Pasaran Saham

Kesan Januari adalah merujuk kepada kenaikan harga saham yang cenderung untuk meningkat secara bermusim pada bulan Januari. Antara punca di sebalik anomali pasaran ini adalah disebabkan oleh kerugian cukai, bonus akhir tahun, sentimen pedagang serta pelabur, peningkatan prestasi kewangan akhir tahun dan banyak faktor lain lagi.


 

Eksponen

 


Teori kerugian cukai dianggap sebagai penjelasan paling mudah di sebalik anomali pasaran ini – di mana ramai pedagang dan pelabur mula menjual saham yang rugi pada suku terakhir tahun supaya mereka boleh menuntut kerugian modal bagi mengurangkan jumlah pembayaran cukai. Disebabkan tindakan ini, hasil jualan yang meningkat telah mendorong harga saham untuk jatuh pada bulan Disember dan kembali melonjak apabila mereka membelinya semula pada bulan Januari.

 

Satu lagi penjelasan berkemungkinan bahawa pedagang dan pelabur menggunakan bonus akhir tahun yang diterima untuk dilaburkan di pasaran saham pada bulan Januari. Apabila ramai pedagang dan pelabur menggunakan bonus akhir tahun bagi tujuan ini, ia akan meningkatkan jumlah aktiviti dagangan seterusnya menyebabkan harga saham terus meningkat naik.

 

Selain kerugian cukai dan bonus akhir tahun, anomali pasaran ini juga mungkin didorong oleh sentimen pedagang dan pelabur itu sendiri. Memandangkan Januari adalah bulan permulaan untuk setiap tahun, ramai pedagang dan pelabur percaya bahawa permulaan tahun adalah masa terbaik untuk berdagang dan melabur seiring dengan resolusi kewangan tahun baru mereka, yang membawa kepada peningkatan aktiviti perdagangan.

 

Psikologi dan Tindakan Berat Sebelah

Pengaruh psikologi dan bias boleh menjadi sumber penjelasan yang membawa kepada anomali pasaran samada Santa Claus Rally, Kesan Januari serta anomali pasaran lain. Pengaruh psikologi dan bias ini merujuk kepada tingkah laku pedagang dan pelabur dengan andaian bahawa mereka tidak selalu rasional dalam membuat sesuatu keputusan dan keputusan yang di buat adalah dipengaruhi oleh kecenderungan diri mereka sendiri.

 

Pengaruh psikologi dan bias ini boleh berlaku atas pelbagai sebab, antara sebabnya adalah tingkah laku kawanan. Tingkah laku kawanan merujuk kepada kecenderungan pedagang mahupun pelabur untuk mengikuti keputusan perdagangan atau pelaburan yang di buat oleh individu lain (kawan ataupun berdasarkan tindakan majoriti orang ramai), bukannya dengan melakukan penyelidikan dan analisis mereka sendiri.

 

Sebagai contoh, jika seseorang menyedari individu lain melabur dalam saham tertentu, ia mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara yang sama. Untuk mengelakkan tingkah laku kumpulan ini daripada berlaku, sebaiknya pedagang ataupun pelabur boleh melakukan penyelidikan mereka sendiri untuk membuat keputusan berdasarkan toleransi risiko mereka.

 

Dari dapatan kajian sebelumnya, antara salah satu penyebab anomali pasaran adalah tingkah laku kawanan yang menyaksikan aktiviti penjualan secara besar-besaran ataupun peningkatan mendadak dalam aktiviti pembelian.


 

Eksponen

 


Selain tingkah laku kawanan, jurang emosi (emosi yang melampau) juga mendorong pedagang dan pelabur membuat keputusan yang tidak rasional. Di sini emosi merujuk kepada ketakutan dan ketamakan. Ketakutan dan ketamakan boleh merosakkan pelan perdagangan seterusnya memberi kesan terhadap kestabilan pasaran saham dan ekonomi.

 

Salah satu sebab lagi ialah bias dalam membuat pengesahan di mana kecenderungan pedagang atau pelabur percaya dengan maklumat yang tersedia adalah betul dan boleh diguna pakai untuk membuat keputusan dalam perdagangan atau pelaburan saham. Ini bermakna mereka tidak berusaha untuk menjalankan penyelidikan bagi membuktikan maklumat itu benar-benar sahih atau sekadar tipu helah.

 

Banyak lagi pengaruh psikologi dan bias yang boleh memberi kesan terhadap pasaran seterusnya menyebabkan anomali pasaran berlaku. Tetapi di sini kita boleh simpulkan bahawa apa teori mahupun andaian yang wujud dalam bidang ini, sebenarnya ia cuba merungkai persoalan kenapa anomali pasaran ini berlaku dan boleh berlaku.

 

Sesungguhnya tiada satu jawapan yang tepat boleh menjawab persoalan ini! Ini kerana ilmu kewangan terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan sentiasa berkembang selagi berlakunya anomali pasaran ini!  - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria adalah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan & Perniagaan UiTM Cawangan Johor, Kampus Segamat