KUALA LUMPUR 15 Julai - Trend kes muflis bagi individu semakin menurun sejak 2016, termasuklah ketika Kadar Dasar Semalaman (OPR) meningkat pada 2018, jelas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Jumlah golongan belia (individu berumur kurang daripada 35 tahun) yang muflis juga menunjukkan trend penurunan yang sama, mencakupi 14% daripada jumlah kes muflis antara Januari hingga Mei 2022 (purata 2017-2019: 24.9%).
Beliau berkata demikian dalam surat terbukanya kepada pengarang di laman web bank pusat itu hari ini ekoran isu muflis acapkali digembar-gemburkan sebagai sinonim dengan keadaan kewangan yang semakin parah.
"Baru-baru ini ada pihak (Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia) mengaitkan kenaikan OPR dengan trend muflis.
"Hakikatnya, apabila dilihat dari segi trend dan maklumat terkini daripada bank-bank dan institusi bukan bank terpilih (penyedia perkhidmatan sewa beli), trend kes muflis bagi individu semakin menurun sejak 2016," katanya.
Pada 2018, sejumlah 5,283 kes kebankrapan direkodkan manakala 2019 dengan 3,948 kes diikuti 2,844 kes pada 2020 dan 2021 pula dengan 1,884 kes.
Bagi tempoh Januari hingga April tahun ini pula, sebanyak 515 kes bankrap direkodkan.
Trend penurunan ini adalah daripada tujuh institusi kewangan domestik yang mencakupi 71% daripada jumlah pinjaman sistem perbankan.
Nor Shamsiah berkata, untuk mengisytiharkan seseorang sebagai muflis bukanlah perkara mudah kerana banyak prosedur yang perlu dipatuhi oleh institusi kewangan atau pemiutang lain.
Katanya, tindakan kebankrapan adalah jalan terakhir oleh institusi kewangan, setelah segala usaha pemulihan lain dilakukan untuk mendapatkan balik pinjaman yang telah diberi kepada peminjam.
Mengikut Prinsip Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh BNM, institusi kewangan dikehendaki untuk memastikan peminjam yang menghadapi kesulitan dalam membayar balik pinjaman dilayan dengan adil dan diberi pertimbangan yang sewajarnya sebelum sebarang tindakan kebankrapan diambil.
"Bagi para peminjam yang menghadapi kesulitan untuk membuat bayaran balik pinjaman, mereka digalakkan supaya mengambil tindakan proaktif untuk menghubungi institusi kewangan masing-masing sebelum pinjaman tersebut menjadi pinjaman tidak berbayar bagi mengelakkan petisyen kebankrapan difailkan oleh institusi kewangan.
"Ini membolehkan institusi kewangan untuk menawarkan pakej bayaran balik pinjaman yang sesuai kepada peminjam bagi membantu mereka ketika menghadapi kesulitan kewangan," jelas beliau.
BNM juga, katanya, mendapati peminjam telah beransur-ansur keluar daripada program bantuan bayaran balik pinjaman dan trend bayaran balik pinjaman sistem perbankan juga mencatatkan penambahbaikan pada suku pertama 2022.
"Trend ini telah meningkat kepada purata 92% daripada tahap bayaran balik pinjaman berbanding sebelum pandemik (suku pertama 2020)," tambahnya.
Beliau turut mengingatkan selain institusi kewangan, tindakan kebankrapan turut diambil oleh pemiutang lain yang berada di luar bidang kuasa BNM, seperti syarikat pemberi kredit, pembekal dan sebagainya.
Sehubungan ini, katanya, kementerian dan agensi yang terbabit dalam hal ini sedang giat berusaha untuk memastikan peminjam/penghutang mendapat layanan yang adil dan bertanggungjawab melalui penggubalan Akta Kredit Pengguna (AKP) dan penubuhan Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna di bawah Kementerian Kewangan serta penetapan standard dan garis panduan yang seragam berkaitan dengan Prinsip Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan dan Amalan Pembiayaan yang Bertanggungjawab. - DagangNews.com