BERSEDIAKAH SEKTOR PAWAGAM MENUJU PASCA PROGRAM IMUNISASI?
KINI negara kita dalam fasa PKP 3.0 yang telah bermula sejak 1 Jun yang lalu. Serentak dengan itu, segala aktiviti berkaitan industri kreatif terhenti. Tidak hanya itu, sektor pawagam telah terhenti beroperasi lebih awal dari itu – setelah dibenarkan beroperasi hanya beberapa bulan pada penggal kedua tahun lalu.
Sektor pawagam merupakan antara sektor paling terkesan dalam industri kreatif, yang mana impaknya turut terkait dengan sektor lain dalam industri ini – kerana pastinya ia merupakan kesalinghubungan dalam rantaian industri kandungan kreatif; khususnya bagi filem cereka.
Sektor pawagam kini dalam tempoh bertahan, yang mana kita sedar bahawa COVID-19 tidak akan hilang sepenuhnya dalam masa terdekat – dan kita perlu beradaptasi dengan kehadiran virus ini dalam kehidupan seharian kita untuk beberapa tahun mendatang.
Dalam usaha membolehkan sektor pawagam untuk dapat beroperasi seperti biasa – hanya satu jalan yang dilihat mampu menjadi jalan keluar dari kegelapan kini adalah dengan mencapai sekurangnya 80% kadar vaksinasi dalam kalangan masyarakat, atau apa yang disebut sebagai herd immunity.
Sememangnya negara kini berusaha keras untuk mencapai peratusan tersebut sebagai salah satu indikator untuk membolehkan segala aktiviti sosial dan ekonomi dapat berjalan seperti biasa – termasuklah sektor pawagam.
Namun, dalam usaha tersebut, adakah sektor pawagam sudah bersedia untuk menghadapi pasca program imunasi – atau setelah negara kita mencapai herd immunity ini?
Bagi sektor pawagam, kebenaran pembukaan operasi bukanlah penamat atau penyelesaian mutlak kepada semua isu ketika ini. Paras keyakinan masyarakat untuk kembali ke pawagam serta tempoh yang perlu diambil untuk kembali kepada paras jumlah penontonan ideal mengikut jumlah tempat duduk adalah antara isu utama yang harus difikir.
Pada awal bulan lalu, Lembaga Sensor Film Indonesia (LFS) menganjurkan sebuah webinar yang membincangkan mengenai kesiapsiagaan sektor pawagam di Indonesia pasca program vaksinasi COVID-19 di negara mereka. Indonesia sudah mula memikirkan bagaimana sektor pawagam perlu responsif terhadap situasi mendatang – untuk menjadikan mereka lebih bersedia untuk menghadapinya.
Oleh itu, selain pengusaha pawagam yang saya pasti sentiasa memikirkan tentangnya, saya melihat bahawa pentadbir dan penggubal polisi berkaitan di Malaysia juga harus mula untuk memikirkan persediaan menghadapi pasca program imunisasi ini bermula dari sekarang.
Sektor pawagam memerlukan satu perancangan jangkamasa sederhana dan jangkamasa panjang – bagaimana untuk mengembalikan keupayaan sektor ini bagi menjadi komponen penting dalam rantaian industri perfileman – serta bagaimana industri perfileman melihat relevansi pawagam ketika pasca pandemik nanti?
Kini, platform OTT dan VOD semakin hari semakin memperlihatkan keupayaan memainkan peranan sebagai `1st window` kepada pelbagai kandungan kreatif termasuk filem cereka. Malah trend global termasuk di beberapa negara yang mana pawagam beroperasi seperti biasa - memperlihatkan pawagam kini mula beralih menjadi `2nd window` atau `3rd window` kepada filem-filem baharu kini.
Namun, saya melihat ia bukanlah alasan untuk mengenepikan keperluan untuk kita memikirkan dan merancang yang sewajarnya sebagai pelan pemulihan sektor pawagam.
Tidak kira ia menjadi `window` yang keberapa sekalipun, ia tetap merupakan platform yang menjana kewangan dengan kadar yang signifikan kepada ekonomi dalam industri ini - dan perlu dilihat sewajarnya tentang usaha pengupayaannya kembali.
Ini kerana sifat unik pawagam bukan sekadar sebuah lokasi bagi penontonan filem semata-mata – malah ia turut menjadi wahana kegiatan rekreasi, kekeluargaan, tempat pertemuan sosial, gaya hidup serta pelbagai lagi.
Oleh kerana itu, kita boleh melihat pawagam CJ CGV, iaitu rangkaian pawagam terbesar di Korea Selatan melabelkan pawagam miliknya sebagai `Cultureplex` – berbanding di Malaysia yang lebih sinonim dengan `cineplex`. Mereka menjadikan pawagam sebagai sebuah pusat gaya hidup – yang mana penjanaan kewangannya melangkui sekadar tiket penontonan filem.
Aktiviti hiliran di pawagam yang menjana pendapatan dari sumber selain kutipan tiket – memperlihatkan keupayaan pawagam untuk mempelbagaikan pendapatan bukan teras sebagai usaha meningkatkan nilai dan kedudukan industri kreatif dalam konteks ekonomi.
Malah penontonan layar lebar di pawagam selari dengan tradisi penontonan filem dengan elemen sinematik dan kesan bunyi – yang menjadikan menonton filem di pawagam bukan sekadar penontonan, malah juga sebuah pengalaman – yang pasti akan kembali didambakan oleh penonton setelah pandemik reda nanti.
Malah, saya melihat – dengan saingan yang diberikan oleh pelbagai platform lain terutama OTT ini – akan memberikan nilai tambah dan mempercepatkan inovasi teknologi dan fasiliti di pawagam pada masa mendatang - yang akan turut mengikut trend perkembangan terutama dari aspek interaktiviti.
Malah, sepertimana perkembangan platform digital lain, digital disruption akan membolehkan pawagam akan turut berevolusi – yang mana bakal mempercepatkan proses inovasi di pawagam dari pelbagai aspek, termasuklah peranan, fasiliti dan pengalaman penontonan yang ditawarkan.
Dalam konteks di Malaysia, tempoh masa `rehat` kini mungkin masa yang sesuai untuk reset kembali sektor pemameran di Malaysia. Tempoh ini mungkin boleh digunakan oleh pihak pentadbir untuk melihat kembali landskap dalam sektor ini – serta menilai potensi baharu dalam sektor ini.
Antara perkara yang mungkin boleh dilihat adalah usaha memecah monopoli sektor ini di Malaysia yang setakat ini dikuasai oleh hanya beberapa pemain besar – mahupun melihat kembali potensi mewujudkan pawagam bersifat mikro dan komuniti di Malaysia. Ini mungkin boleh digerakkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) contohnya -bagi mengurangkan kebergantungan sektor ini kepada hanya beberapa pemain tertentu, dan mengelakkan kuasa penentu dalam sektor ini hanya dikuasai oleh pemain besar ini – sepertimana yang berlaku sebelum ini.
Walau bagaimanapun - sektor pawagam – meskipun merupakan platform konvensional yang telah berusia ratusan tahun – ia kekal relevan dengan berinovasi dan beradaptasi dengan dunia semasa, termasuk dunia digital kini. Malah, dengan acuan dan kerangka yang ideal, pawagam akan terus menjadi penyumbang utama dalam rantaian ekonomi kreatif pada masa mendatang.
Ts Azharul Azmir Kamarulzaman merupakan Pengarah Urusan / Penerbit bagi syarikat Kristal Azmir Sdn Bhd dan Pengarah Pengasas Pusat Kajian & Apresiasi Filem (PKAF).
KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI INDUSTRI KREATIF